Definisi
Apa itu trauma?
Trauma merujuk kepada kecederaan fizikal serius pada badan yang disebabkan oleh daya luaran. Terdapat dua jenis trauma fizikal yang utama iaitu jenis trauma tumpul dan juga jenis trauma tembus. Selain dua kategori utama tersebut, terdapat juga jenis trauma terkawal yang disebabkan oleh pembedahan dan juga prosedur perubatan tertentu. Kecederaan traumatik pula adalah sejenis kecederaan fizikal mengejut yang memerlukan rawatan pada kadar yang segera. Ini kerana kecederaan traumatik boleh mengakibatkan maut ataupun ketidakupayaan/kecacatan untuk jangka masa yang panjang.
Apakah kebarangkalian trauma?
Tidak ada sebarang kajian atau mekanisma bagi meramal kebarangkalian seseorang itu untuk mengalami kecederaan fizikal kerana ia boleh datang daripada pelbagai sumber dan disebabkan oleh pelbagai perkara yang berbeza. Bagi mendapatkan maklumat tentang trauma atau kecederaan traumatik yang khusus, sila berbincang dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Ketahui simptom-simptomnya
Apakah simptom-simptom trauma?
Simptom kecederaan fizikal akibat daya luaran adalah sangat luas dan pelbagai. Ini kerana simptom trauma sangat bergantung kepada lokasi kecederaan (pada badan), tahap kecederaan dan juga mekanisma kecederaan.
Secara amnya simptom untuk trauma tumpul boleh melibatkan perkara seperti berikut:
- Rasa sakit.
- Lebam/bengkak.
- Luka dan pendarahan.
- Simptom berkaitan dengan kehilangan darah yang banyak atau shock (jantung berdegup laju, tidak sedarkan diri, kekeliruan, kulit jadi rasa sejuk, berpeluh, sakit dada).
- Kuantiti air kencing menjadi sedikit dan air kencing menjadi pekat.
Simptom untuk trauma tembus adalah seperti berikut:
- Rasa sakit melampau
- Luka yang dalam atau tembus (dalam kes tembakan)
- Pendarahan yang banyak
- Simptom berkaitan dengan kehilangan darah yang banyak atau shock (jantung berdegup laju, tidak sedarkan diri, kekeliruan, kulit jadi rasa sejuk, berpeluh, sakit dada).
Simptom untuk kecederaan traumatik terhadap kepala (traumatic brain injury) pula dapat dibahagikan mengikut tahap keterukan.
Simptom kecederaan trumatik kepala tahap rendah boleh melibatkan perkara seperti:
- Tidak sedarkan diri untuk beberapa saat ke beberapa minit.
- Mengalami kepeningan dan kekeliruan untuk seketika.
- Loya dan muntah.
- Gangguan pertuturan.
- Gangguan imbangan.
- Masalah tidur.
- Letih dan lesu.
- Telinga berdesing.
- Pandangan kabur.
- Perubahan dalam deria bau dan rasa.
- Lebih sensitif terhadap cahaya dan bunyi.
- Gangguan fokus dan juga ingatan.
Simptom kecederaan traumatik kepala tahap sederhana dan teruk pula adalah seperti berikut:
- Tidak sedarkan diri sehingga beberapa jam.
- Sakit kepala yang berkekalan atau bertambah teruk.
- Kerap muntah dan rasa loya.
- Mengalami sawan.
- Pupil kedua-dua mata mengembang.
- Cecair jernih keluar daripada hidung atau telinga.
- Hilang kawalan koordinasi.
- Kekeliruan dan kepeningan yang teruk.
- Pertuturan terganggu (slurred speech).
- Perubahan tingkah laku menjadi agresif.
- Koma.
Mungkin terdapat beberapa tanda atau simptom yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang simptom-simptom tersebut, sila berjumpa dengan doktor anda.
Bila saya harus berjumpa doktor?
Anda perlu segera dibawa berjumpa dengan doktor jika:
- Mengalami pendarahan yang banyak.
- Kecederaan pada lebih daripada satu bahagian badan.
- Sakit yang terlalu teruk.
- Tidak sedarkan diri atau ingin pitam.
- Mengalami kekeliruan.
Jika anda mengalami mana-mana tanda dan simptom yang disenaraikan di atas atau anda mempunyai sebarang persoalan, sila berunding dengan doktor anda. Setiap tubuh manusia bertindak dengan berbeza. Oleh itu, cara yang terbaik adalah untuk berbincang dengan doktor anda bagi menentukan penyelesaian terbaik untuk situasi anda.
Ketahui puncanya
Apa yang mengakibatkan trauma?
Kecederaan fizikal atau trauma boleh disebabkan pelbagai perkara. Antaranya adalah:
- Kemalangan jalan raya.
- Kecederaan sukan.
- Kecederaan di tempat kerja.
- Keganasan rumah tangga.
- Penderaan.
Ketahui faktor risiko
Apa yang meningkatkan risiko saya?
Tiada faktor risiko yang jelas untuk meramal peningkatan risiko untuk anda alami kecederaan fizikal. Secara amnya, perkara-perkara berikut mungkin boleh menyebabkan anda lebih cenderung untuk mengalami kecederaan traumatik:
- Tidak mematuhi peraturan keselamatan di tempat kerja (tidak memakai topi keselamatan).
- Tidak mematuhi peraturan jalan raya (memandu melebihi had laju).
- Tidak mengambil langkah keselamatan ketika memandu (memberi isyarat, memakai tali pinggang keledar).
- Bermain sukan lasak, khususnya tanpa menggunakan alat perlindungan yang mencukupi.
Diagnosis dan rawatan
Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.
Bagaimana trauma fizikal didiagnosis?
Trauma fizikal dapat didiagnosis oleh doktor melalui pemeriksaan fizikal yang rapi di samping penggunaan ujian-ujian tertentu khususnya ujian pengimejan diagnostik. Antara ujian yang kerap digunakan dalam kes kecederaan traumatik adalah:
- Sinaran X (X-ray).
- Imbasan CT.
- Pengimejan Magentik Resonans (MRI).
- Ultrabunyi (ultrasound).
Bagaimana trauma dirawat?
Rawatan untuk trauma adalah berbeza mengikut tahap kecederaan, lokasi badan yang cedera dan juga jenis kecederaan. Walaupun rawatan jangka panjang dan matlamat rawatan mungkin berbeza, rawatan akut yang diberikan untuk trauma lazimnya membabitkan perkara berikut:
- Kawalan kesakitan.
- Menstabilkan keretakan tulang (jika ada).
- Mengelakkan sebarang kecederaan lanjutan.
- Menyaring untuk sebarang komplikasi atau kecederaan lain.
- Mengawal pendarahan.
- Menyediakan pesakit untuk pembedahan segera (jika perlu).
- Membekalkan hidrasi atau darah kepada pesakit.
- Melakukan penilaian berkala untuk memastikan pesakit stabil.
Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor untuk memahami penyelesaian terbaik untuk anda.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.
[embed-health-tool-bmi]