backup og meta

Jangan Ambil Remeh Jika Kena Gigitan Anjing Gila! Hampir 100% Mati Sebab Tak Dapat Rawatan!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 26/05/2021

    Jangan Ambil Remeh Jika Kena Gigitan Anjing Gila! Hampir 100% Mati Sebab Tak Dapat Rawatan!

    Penyakit anjing gila ataupun rabies merupakan sejenis penyakit yang jarang berlaku di Malaysia. Ia merupakan sejenis penyakit yang mempengaruhi sistem saraf dan otak seseorang.

    Tanda penyakit rabies muncul dengan perlahan, oleh sebab itu, apabila penyakit ini dikenal pasti, terkadang ia sudah terlambat untuk pesakit. 

    Penyakit rabies berlaku di seluruh dunia kecuali di Antartika. Namun, hampir 95% kematian disebabkan oleh rabies berlaku di benua Asia ataupun Afrika.

    Ramai yang tahu penyakit anjing gila terjadi apabila seseorang itu digigit ataupun dicakar oleh anjing yang membawa virus rabies.

    Namun, tahukah anda virus anjing gila juga boleh disebarkan oleh haiwan lain seperti musang, rakun, serigala, monyet dan kelawar?

    Apabila seseorang itu sudah mula menunjukkan simptom anjing gila, pesakit mungkin sudah tidak ada peluang lagi untuk hidup.

    Hampir 100% pesakit yang menunjukkan simptom rabies akan meninggal dunia.

    Apa yang terjadi sekiranya terkena penyakit rabies?

    penyakit rabies

    Pesakit selalunya dijangkiti penyakit anjing gila setelah digigit binatang yang mempunyai virus rabies.

    Walau bagaimanapun, penyakit ini masih boleh menjangkiti manusia menerusi cakaran ataupun luka yang terdedah kepada air liur haiwan tersebut.

    Apabila seseorang itu digigit haiwan, virus rabies perlukan masa untuk bergerak daripada tempat jangkitan ke otak pesakit. Tempoh masa ini dipanggil tempoh inkubasi (incubation period).

    Tempoh inkubasi mungkin berbeza-beza mengikut pesakit. Selalunya ia memakan masa selama 2-3 bulan, tetapi tempoh masa berbeza dari 1 minggu hingga 1 tahun.

    Sebagai contoh, individu yang digigit pada bahagian kaki mempunyai tempoh inkubasi yang lebih panjang berbanding individu yang digigit pada bahagian tangan.

    Simptom atau tanda awal penyakit rabies menyerupai simptom demam biasa. Antara simptomnya termasuklah rasa lemah, tidak selesa, demam ataupun pening kepala.

    Simptom ini mungkin akan berlaku selama beberapa hari.

    Apabila penyakit ini mula jadi semakin teruk, pesakit akan mengalami kecelaruan mental (delirium), tingkah laku yang abnormal, halusinasi, takut terhadap air (hydrophobia) dan insomnia.

    Penyakit rabies boleh dirawat dengan vaksinasi

    penyakit rabies

    Post-exposure prophylaxis atau PEP merupakan rawatan yang akan dijalankan serta-merta ke atas pesakit setelah digigit haiwan yang mempunyai virus rabies.

    Rawatan ini akan menghalang kemasukan virus ke dalam sistem saraf pusat. PEP dilakukan dengan cara:

    • Membasuh dan merawat kawasan luka gigitan secepat mungkin
    • Mengambil vaksin rabies serta-merta. Vaksin rabies diberikan sebanyak 4 kali kepada pesakit pada hari 0, 3, 7 dan 14
    • Pemberian rabies immunoglobulin (RIG) kepada pesakit. Suntikan ini akan memberikan pelindungan kepada pesakit ketika vaksin mula bertindak

    Kombinasi vaksin dan globulin yang diberikan kepada pesakit dapat membantu menghalang penyakit ini daripada terus merebak.

    Pemberian vaksin merupakan sesuatu yang sangat efektif. Malah, jarang sekali vaksin yang diberikan tidak berfungsi ataupun tidak dapat melawan penyakit rabies.

    Walau bagaimanapun, individu yang lewat mendapatkan rawatan mungkin tidak dapat diselamatkan walaupun dengan pemberian vaksin.

    Digigit anjing liar? Apa yang patut anda lakukan?

    Menurut KKM, jika anda digigit anjing liar, anda perlu lakukan langkah-langkah ini dengan kadar segera untuk mengelakkan daripada dijangkiti rabies:

    1. Cuci luka gigitan dengan sabun dan air bersih yang mengalir. 
    2. Berjumpa dengan doktor dalam kadar yang segera. Doktor akan menentukan sama ada anda memerlukan suntikan rabies ataupun tidak.
    3. Ikuti arahan doktor dan ambil suntikan anti rabies mengikut jadual sekiranya diperlukan.

    Jika anda ternampak ada anjing ataupun kucing liar di kawasan kediaman anda, sila laporkan kepada pihak berkuasa tempatan lebih-lebih lagi jika ia berkelakuan pelik dan cuba menggigit anda.

    Sebagai satu langkah untuk mengelakkan penyakit anjing gila, pastikan anda melakukan vaksinasi kepada haiwan peliharaan anda.

    Pastikan anda sentiasa memberi amaran kepada anak anda untuk tidak menyentuh kucing ataupun anjing yang berkeliaran di kawasan perumahan. 

    Selain itu, elakkan daripada mendekati binatang liar seperti kelawar, rakun, dan musang. Untuk pengetahuan anda, rabies juga boleh disebarkan melalui gigitan kelawar.

    Walau bagaimanapun, tidak seperti gigitan anjing liar, gigitan kelawar lebih sukar untuk dirasai dan dikenal pasti.

    Jika anda terjumpa kelawar yang sudah mati, elakkan daripada menyentuh haiwan tersebut.

    Kesimpulan

    penyakit rabies

    Penyakit anjing gila merupakan satu penyakit yang amat berbahaya. Disebabkan ia tidak ada penawar, hanya pencegahan sahaja yang boleh melindungi anda dan ahli keluarga daripada rabies.

    Oleh itu, elakkan daripada menyentuh haiwan yang sakit dan laporkan apa-apa kejadian yang melibatkan gigitan anjing kepada pihak berkuasa tempatan.

    Salah satu tanda penyakit rabies yang popular ialah pembentukan buih pada bahagian mulut haiwan yang telah dijangkiti.

    Selain itu, satu lagi simptom yang diketahui ramai ialah rasa takut tercekik ataupun takut terhadap air.

    Di Malaysia, 99% kes rabies berpunca daripada gigitan anjing dan 40% mangsa penyakit anjing gila merupakan daripada kalangan kanak-kanak.

    Oleh itu, sentiasalah pantau keberadaan anak anda. Jangan lupa ingatkan mereka untuk menjauhi sebarang haiwan liar yang mereka nampak sama ada hidup ataupun mati. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 26/05/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan