Ramai individu yang menggunakan koyok kepala atau koyok badan bagi melegakan kesakitan yang dialami. Koyok yang ditampal di kepala biasanya digunakan bagi menghilangkan sakit kepala atau menurunkan suhu badan sewaktu demam. Koyok badan pula biasa digunakan bagi menghilangkan sakit sendi atau sakit otot.
Ini kegunaan koyok yang sebenar dan cara penggunaannya yang betul.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kesihatan, anda boleh klik di sini.
Apa itu koyok?
Koyok merupakan sejenis plaster berubat yang mengandungi formulasi ubatan.
Ia akan ditampal pada permukaan kulit agar kulit boleh menyerap ubatan yang terdapat pada plaster tersebut.
Bagi mereka yang tidak mahu mengambil sebarang ubat-ubatan berbentuk pil atau suntikan, penggunaan koyok boleh menjadi pilihan yang lebih selesa.
Bagaimana koyok kepala dan koyok badan berfungsi?
Sistem penghantaran ubat transdermal seperti koyok ini adalah satu kaedah dengan memasukkan ubat melalui permukaan kulit.
Pada masa sekarang, ramai daripada kita yang memilih untuk menggunakan koyok kepala atau koyok badan bagi mengurangkan rasa sakit atau lenguh.
Pernahkah anda terfikir, bagaimana koyok ini boleh membantu menghilangkan rasa sakit pada badan? Jawapannya terletak pada kandungan bahan kimia atau ubatan yang terdapat pada koyok tersebut.
Koyok akan melepaskan sejumlah kecil ubatan ke dalam aliran darah dalam tempoh masa yang panjang.
Kandungan ubat daripada koyok ini diserap oleh kulit luar sebelum masuk ke bahagian kulit yang lebih dalam.
Ketika ubat telah sampai ke lapisan kulit dalam, ia kemudiannya akan diserap ke dalam aliran darah sebelum pergi ke seluruh bahagian tubuh.
Antara kandungan bahan kimia yang terdapat pada koyok ialah seperti biofreeze dan icy hot yang mana kedua-duanya mempunyai sifat panas dan sejuk yang berasaskan alkohol.
Selain itu, terdapat juga kandungan bengay dan aspercreme yang bermanfaat bagi mengurangkan keradangan pada bahagian sendi.
Kandungan capzasin dan zostrix pula mampu mengurangkan rasa sakit jika ditampal pada bahagian tubuh yang mengalami kesakitan.
Apabila kesemua bahan ini digabungkan, maka ia akan menyebabkan rasa panas atau sejuk yang kemudiannya menghantar isyarat kepada tubuh bagi mengurangkan rasa sakit tersebut.
Oleh sebab itu, sekeping koyok yang ditampal pada kulit sebenarnya boleh mengurangkan rasa sengal, lenguh atau sakit pada otot.
Cara menggunakan koyok dengan betul
Cara penggunaan yang betul dapat memastikan ubat yang ada pada koyok kepala atau koyok badan diserap oleh tubuh seperti yang dikehendaki.
Oleh itu, anda perlu mengetahui cara menampal koyok dengan betul agar ia berkesan dengan baik untuk menghilangkan rasa sakit otot anda.
Berikut ialah cara menampal koyok dengan betul:
#1. Bahagian bahu
Tampal koyok pada bahagian tengah bahu, iaitu antara leher dan hujung bahu.
Jangan tampal koyok pada hujung bahu kerana ia kurang berkesan disebabkan kedudukan tulang pada kawasan tersebut.
#2. Bahagian lengan
Elakkan menampal koyok badan pada sendi lengan yang terlipat (bahagian dalam siku).
Sebaliknya, tampal koyok pada bahagian atas selepas sendi lengan tersebut.
#3. Pergelangan tangan
Anda perlu menampal koyok pada bahagian dalam atau bahagian bawah pergelangan tangan.
Elakkan daripada menampal pada bahagian luar atau bahagian atas pergelangan tangan anda.
#4. Buku lali
Tampal koyok pada bahagian kulit atas daripada buku lali anda. Jangan sesekali menampal koyok betul-betul di atas buku lali.
Anda juga boleh menampal koyok badan pada bahagian bawah daripada buku lali anda.
#5. Bahagian leher
Untuk kawasan belakang leher, bagi koyok bersaiz besar, anda boleh mengguntingkan koyok tersebut menjadi dua bahagian. Kemudian, tampalkan setiap satu koyok pada satu sisi.
Anda boleh juga menampal satu bahagian koyok di tengah-tengah belakang leher jika ia bersaiz kecil atau sederhana.
#6. Lutut
Elakkan daripada menampal koyok pada bahagian atas lutut anda.
Sebaliknya, anda disarankan untuk menampalnya pada bahagian belakang lutut, iaitu di bawah lipatan sendi lutut tersebut (bukan di atas sendi).
#7. Bahagian kepala
Tampalkan koyok kepala pada bahagian dahi kepala dan elakkan menampalnya berdekatan dengan kawasan kening dan mata.
Jika tidak, mata anda pasti akan berasa pedih disebabkan penyerapan kandungan dalam koyok tersebut.
#8. Bahagian belakang badan
Untuk belakang badan pula, konsepnya sama seperti di bahagian belakang leher. Guntingkan koyok kepada dua bahagian dan tampalkan koyok badan tersebut pada dua bahagian belakang badan.
Elakkan menampal satu koyok yang bersaiz besar di tengah-tengah bahagian belakang badan (kawasan tulang belakang).
Amaran penggunaan koyok kepala dan badan
Kini anda telah mengetahui cara menampal koyok kepala dan koyok pada badan dengan betul. Namun ada beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian.
Antaranya ialah:
- Pastikan kulit bersih dan kering sebelum menampal koyok
- Elakkan menampal koyok pada bahagian kulit yang luka atau mengalami iritasi
- Cuci bersih tangan selepas menampal koyok
- Gunakan koyok hanya untuk sekali penggunaan sahaja
- Biarkan koyok selama sekurang-kurangnya 30 minit pada permukaan kulit
[embed-health-tool-bmi]