Definisi
Apa itu Kepanasan / Hangat Memerah?
Hangat memerah adalah perasaan kepanasan yang mendadak, yang biasanya paling teruk di bahagian wajah, leher dan dada. Kulit anda juga boleh menjadi kemerahan. Hangat memerah juga boleh menyebabkan anda berpeluh dengan banyak dan kemudiannya menyebabkan anda berasa sejuk pula.
Walaupun masalah hormon yang lain boleh menyebabkan keadaan ini, namun hangat memerah ini paling kerap berpunca daripada menopaus – waktu ketika haid wanita mula berhenti. Malah, ia adalah simptom yang paling umum dalam fasa peralihan menopaus. Kekerapan ia berlaku berbeza-beza dari seorang wanita ke wanita yang lain, tetapi julat yang paling biasa adalah antara sekali atau dua kali sehari hinggalah kepada sekali dalam satu jam.
Apakah kebarangkalian Kepanasan / Hangat Memerah?
Hangat memerah adalah sangat lazim. Ia boleh menjejaskan pesakit pada mana-mana lapisan umur. Ia boleh diuruskan dengan mengurangkan faktor risiko anda. Sila berbincang dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Simptom-simptom
Apakah simptom-simptom Kepanasan / Hangat Memerah?
Simptom umum bagi hangat memerah adalah:
- Rasa kepanasan yang merebak ke seluruh badan dan muka anda;
- Rupa yang kemerahan dengan warna merah yang bertompok;
- Degupan jantung laju;
- Berpeluh, kebanyakannya pada bahagian atas badan anda;
- Rasa sejuk setelah hangat memerah hilang sedikit demi sedikit.
Hangat memerah bervariasi dalam pelbagai frekuensi – anda mungkin mengalami hanya beberapa kali atau banyak kali dalam sehari – dan setiap serangan biasanya hilang dalam masa beberapa minit. Ia sangat biasa pada waktu malam. Kebanyakan wanita yang mengalami hangat memerah akan merasainya sehingga dalam tempoh lebih daripada setahun, namun ia biasanya berhenti sendiri dalam tempoh empat hingga ke lima tahun.
Mungkin terdapat beberapa simptom yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang apa-apa simptom, sila berjumpa dengan doktor anda.
Bila saya harus berjumpa doktor?
Jika anda mempunyai sebarang tanda atau simptom yang disenaraikan di atas atau mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor anda. Tubuh setiap orang bertindak secara berbeza. Adalah dinasihatkan untuk anda membincangkan dengan doktor tentang apa yang terbaik untuk keadaan anda.
Punca
Apakah punca Kepanasan / Hangat Memerah?
Punca/sebab sebenar hangat memerah masih tidak dapat dikenal pasti, tetapi ia mungkin berkaitan dengan beberapa faktor. Ini termasuk perubahan dalam hormon pembiakan (reproduktif) dan perubahan pada termostat badan anda (hypothalamus), yang menjadi lebih sensitif terhadap perubahan suhu badan yang sedikit.
Punca daripada ubatan dan makanan yang anda ambil:
- Hangat memerah mungkin merupakan kesan sampingan daripada beberapa ubatan preskripsi. Raloxifene (Evista), yang lazim ditetapkan untuk osteoporosis, dan Tamoxifen (Tamoxifen dan Nolvadex), sejenis rawatan untuk kanser payudara, boleh menyebabkan kemerahan kulit dan kepanasan. Ia juga mungkin merupakan kesan sampingan bagi kemoterapi. Anda juga mungkin merasa kepanasan selepas mengambil tramadol, sejenis ubat preskripsi penahan sakit. Walau bagaimanapun, kesan sampingan ini jarang terjadi.
- Sesetengah ubatan belian kaunter juga boleh menyebabkan simptom yang menyerupai hangat memerah akibat menopaus. Semak label semua ubat yang anda ambil dan pastikan anda membincangkan simptom yang anda alami dengan doktor anda.
- Beberapa makanan pedas tertentu – terutama cili dan lada – adalah penyebab biasa. Makanan yang mengakibatkan rasa pedas boleh meluaskan saluran darah dan merangsang penghujung saraf. Perubahan biologi ini akan mewujudkan rasa kepanasan yang melampau. Alkohol pula untuk sesetengah orang, juga mempunyai kesan yang menyerupai hangat memerah. Tindak balas ini boleh terjadi pada bila-bila masa dalam kehidupan seseorang.
Punca dari tekanan perasaan dan emosi: tubuh anda boleh melepaskan hormon tekanan iaitu epinephrine dan norepinephrine apabila anda tertekan, gemuruh, atau kecewa. Hormon ini akan meningkatkan pengepaman aliran darah dan menghasilkan rasa kepanasan di seluruh badan. Sama seperti kemerahan, “kepanasan’ boleh berlaku daripada pelbagai faktor – sama ada tekanan, lesi pada saraf tunjang ataupun sakit kepala – migrain. Ia akan menyebabkan seluruh bahagian tubuh anda menjadi merah dan berasa sangat panas. Walau bagaimanapun, ia juga boleh jadi hanya reaksi alahan kulit terhadap makanan atau unsur alam sekitar yang tidak berkaitan dengan tekanan.
Punca masalah kesihatan: hangat memerah boleh berpunca daripada hormon, walaupun ia tidak berkaitan dengan menopaus atau perimenopaus (tempoh peralihan dari haid biasa hingga menopaus).
Faktor-faktor Risiko
Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Kepanasan / Hangat Memerah?
Terdapat banyak faktor risiko untuk keadaan ini seperti:
- Merokok: Wanita yang merokok lebih cenderung untuk mengalami hangat memerah.
- Obesiti: Indeks jisim badan yang tinggi (BMI) dikaitkan dengan kekerapan hangat memerah yang lebih tinggi.
- Ketidakgiatan fizikal: Jika anda tidak bersenam, anda mungkin lebih berkemungkinan mengalami hangat memerah semasa menopaus.
- Etnik: Lebih banyak wanita Afrika-Amerika melaporkan hangat memerah akibat menopaus berbanding wanita keturunan Eropah. Ia didapati kurang biasa pada perempuan keturunan Jepun dan Cina berbanding wanita berketurunan Eropah.
Tidak semua wanita yang melalui menopaus mengalami keadaan ini. Ia masih tidak jelas mengapa hanya beberapa wanita yang mengalaminya.
Diagnosis dan Rawatan
Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.
Bagaimana pesakit Kepanasan / Hangat Memerah didiagnosis?
Doktor biasanya boleh mendiagnosis keadaan ini berdasarkan penjelasan simptom anda. Untuk mengesahkan punca hangat memerah anda, doktor mungkin akan mencadangkan ujian darah untuk memeriksa sama ada anda berada dalam peralihan menopaus atau tidak.
Bagaimana pesakit Kepanasan / Hangat Memerah dirawat?
Rawatan yang paling berkesan untuk hangat memerah akibat menopaus adalah estrogen, namun pengambilan hormon ini dapat meningkatkan risiko anda mengalami masalah kesihatan yang lain. Ubat-ubatan seperti ubat antidepresan dan ubat-ubatan anti-sawan juga boleh membantu mengurangkan hangat memerah.
Sila berbincang tentang kebaikan dan keburukan pelbagai jenis rawatan dengan doktor anda. Jika ia tidak mengganggu hidup anda, anda mungkin tidak memerlukan rawatan. Bagi kebanyakan wanita, hangat memerah akan hilang secara beransur-ansur dalam beberapa tahun.
Terapi hormon: Estrogen dan progesteron adalah hormon yang digunakan untuk mengurangkan hangat memerah. Wanita yang menjalani histerektomi boleh mengambil estrogen sahaja. Tetapi jika anda masih mempunyai rahim, anda harus mengambil progesteron bersama-sama dengan estrogen untuk melindungi daripada risiko kanser pada lapisan rahim (kanser endometrium). Kombinasi ubat bazedoxifene dengan estrogen berkonjugat (Duavee) telah diluluskan untuk rawatan bagi simptom menopaus. Ubat ini boleh mengelakkan peningkatan terhadap risiko kanser, tetapi lebih banyak kajian masih diperlukan. Terapi estrogen bukanlah pilihan yang baik jika anda pernah mengalami masalah pembekuan darah atau kanser payudara.
Antidepresan: Dos antidepresan tertentu yang rendah boleh mengurangkan simptom hangat memerah. Contohnya seperti Venlafaxine (Effexor XR, Pristiq), Paroxetine (Brisdelle, Paxil, Pexeva), Fluoxetine (Prozac, Sarafem). Brisdelle adalah satu-satunya ubat antidepresan yang diluluskan oleh badan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat untuk merawat hangat memerah. Namun ia adalah lebih mahal berbanding ubatan formulasi generik. Manakala ubatan dan formulasi lain boleh diberikan secara preskripsi off-label (tidak mengikut garis panduan). Antidepresan tidak berkesan sebagai terapi hormon untuk hangat memerah yang teruk, tetapi ia boleh membantu wanita yang tidak boleh atau tidak mahu menggunakan hormon. Kesan sampingan yang mungkin terhasil meliputi sakit kepala, keletihan, loya, pening, penambahan berat badan, mulut kering, disfungsi seksual, pemikiran ingin bunuh diri dan sindrom penarikan sekiranya ubatan itu dihentikan secara tiba-tiba. Sesetengah kesan sampingan mungkin akan berkurangan dari masa ke masa atau dengan penyelarasan semula dos. Jika anda mempunyai pemikiran ingin bunuh diri semasa mengambil salah satu daripada ubat ini, segera dapatkan bantuan perubatan.
Ubatan preskripsi lain: Ubat-ubatan lain yang mungkin menawarkan kelegaan bagi sebahagian wanita termasuklah:
- Gabapentin (Neurontin, Gralise): Gabapentin adalah ubat anti-sawan yang sangat berkesan dalam mengurangkan hangat memerah. Kesan sampingan termasuklah mengantuk, pening kepala dan sakit kepala.
- Clonidine (Catapres, Kapvay, yang lain): Clonidine, sejenis ubat dalam bentuk pil atau penampal yang biasanya digunakan untuk merawat tekanan darah tinggi, boleh memberikan sedikit kelegaan daripada hangat memerah. Kesan sampingan termasuklah pening, mengantuk, mulut kering dan sembelit.
Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan
Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Kepanasan / Hangat Memerah?
Gaya hidup dan kaedah pengubatan sampingan yang berikut mungkin boleh membantu anda menghadapi hangat memerah:
- Kekal sejuk: Peningkatan yang sedikit dalam suhu teras badan anda boleh mencetuskan hangat memerah. Ketika musim sejuk, berpakaianlah dalam jumlah yang berlapis (bukan pakaian tebal) agar anda boleh menanggalkan sahaja selapis pakaian jika anda merasa hangat. Buka tingkap, gunakan kipas angin atau penghawa dingin. Kurangkan suhu dalam bilik, jika boleh. Sekiranya anda mula merasa kepanasan, minum minuman yang sejuk.
- Berjaga-jaga dengan apa yang anda makan dan minum: Makanan yang panas dan pedas, minuman berkafein, dan alkohol boleh mencetuskan hangat memerah. Sila kenal pasti pencetus bagi anda dan elakkan pengambilannya.
- Berehat santai: Sesetengah wanita mendapat kelegaan dari hangat memerah yang ringan melalui meditasi; suatu kaedah pernafasan yang perlahan dan mendalam; ataupun melalui teknik pengurangan tekanan yang lain. Walaupun pendekatan ini tidak menghilangkan punca hangat memerah anda, ia mungkin memberikan manfaat lain, seperti mengurangkan gangguan tidur yang cenderung berlaku ketika menopaus.
- Jangan merokok: Merokok juga dikaitkan dengan peningkatan insiden hangat memerah. Dengan tidak merokok, anda boleh mengurangkan keadaan ini, serta risiko banyak masalah kesihatan lain yang serius, seperti penyakit jantung, strok dan kanser.
- Kurangkan berat badan: Jika anda berlebihan berat badan atau obes, penurunan berat badan mungkin akan membantu mengurangkan hangat memerah anda
Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.
[embed-health-tool-bmi]