
Jangan Takut @ Tangguh Lagi, Ini 5 Kebaikan Derma Darah Terhadap Kesihatan!
Pernahkah anda menderma darah sebelum ini? Jika belum, anda boleh cuba untuk mendermanya kerana terdapat beberapa kebaikan derma darah yang mungkin anda belum tahu. Kami akan kongsikan kepada anda lima kepentingan menderma darah dalam artikel ini.

Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan kesihatan, anda boleh klik di sini.
Kebaikan derma darah: untuk kelangsungan nyawa orang lain
Darah merupakan salah satu komponen terpenting dalam tubuh badan manusia.
Oleh itu, jika anda membuat keputusan untuk menderma darah anda, ia sebenarnya dapat menyelamatkan beberapa nyawa yang amat memerlukan darah bagi meneruskan hidup.
Ini merupakan antara kebaikan derma darah kepada penerima darah tersebut.
Dalam proses menderma darah, biasanya darah akan diambil dengan jumlah sekitar 480 mililiter.
Bagi orang lelaki, anda boleh mendermakan darah anda bagi setiap tiga bulan sekali. Manakala bagi wanita pula, anda boleh mendermakan darah dalam tempoh empat bulan sekali.
Ini kerana, orang lelaki pada kebiasaannya mempunyai kandungan zat besi dalam darah yang lebih banyak berbanding wanita.
Setelah anda menderma darah, darah tersebut akan diperiksa dan diuji terlebih dahulu bagi memastikan keselamatan penggunaannya.
Ia juga akan disimpan mengikut jenis atau kumpulan darah.
Antara jenis keadaan atau penyakit yang sangat memerlukan penggunaan darah ialah seperti kemalangan, pemindahan organ, kanser, anemia, talasemia dan juga hemofilia.
Kebaikan derma darah yang anda mungkin belum tahu
Walaupun menderma darah boleh memberikan banyak manfaat kepada penerimanya, anda sebagai penderma juga akan mendapat beberapa faedah daripada proses ini.
Antara kepentingan menderma darah kepada diri penderma tersebut ialah:
#1. Mengurangkan risiko kanser
Percaya atau tidak, antara kebaikan derma darah ialah menurunkan risiko penyakit kanser.
Hal ini berkait rapat dengan jumlah zat besi dalam tubuh.
Berdasarkan kajian yang diterbitkan dalam Journal of National Cancer Institute, zat besi yang berlebihan dalam tubuh boleh menyebabkan kerosakan akibat radikal bebas.
Ini akan merisikokan seseorang individu tersebut kepada penuaan dan juga penyakit kanser.
#2. Menurunkan risiko penyakit jantung
Selain itu, antara kepentingan menderma darah ialah ia boleh mengurangkan risiko penyakit jantung.
Menderma darah secara rutin boleh mengurangkan kekentalan darah dalam tubuh.
Ini kerana, jika darah semakin pekat atau kental, maka semakin tinggi kadar geseran yang berlaku antara darah dengan pembuluh darah.
Geseran yang berlaku ini boleh merosakkan sel-sel dinding pembuluh darah, yang kemudiannya boleh meningkatkan risiko penyumbatan pembuluh darah.
Apabila salur darah mula tersumbat, ia boleh meningkatkan peluang anda untuk mendapat penyakit jantung.
#3. Kebaikan derma darah: membantu menurunkan berat badan
Berdasarkan kajian oleh University of California San Diego, menderma darah sebanyak 450 mililiter boleh membantu membakar sebanyak 650 kalori.
Oleh kerana itu, menderma darah dikatakan boleh membantu menurunkan berat badan anda, sekali gus mengurangkan risiko obesiti daripada berlaku.
Namun, tidak bermakna bahawa menderma darah merupakan cara terbaik untuk menurunkan berat badan.
Jika anda menderma darah secara berlebihan, ia juga boleh merisikokan kesihatan anda.
#4. Kebaikan derma darah: menjadikan kita lebih panjang umur
Sebuah kajian dalam bidang psikologi menunjukkan bahawa, mereka yang mendermakan darah dengan tujuan untuk menolong orang lain akan memiliki risiko kematian yang lebih rendah.
Hasil kajian ini telah dibandingkan dengan mereka yang menderma darah untuk kepentingan peribadi dan juga mereka yang langsung tidak menderma darah.
Selain itu, ia juga akan memberikan kepuasan kepada diri kita secara psikologi.
#5. Kebaikan derma darah: boleh membantu mengesan penyakit lebih awal
Setiap kali sebelum anda menderma darah, anda akan menjalani pemeriksaan rutin seperti pemeriksaan tekanan darah, berat badan, denyutan nadi dan paras haemoglobin.
Selain itu, anda juga mungkin dikehendaki untuk menjalani ujian darah bagi mengesan sebarang penyakit seperti hepatitis B, HIV, sifilis dan malaria.
Ini bertujuan untuk mengelakkan penularan penyakit sewaktu transfusi darah.
Melalui pemeriksaan dan ujian seperti ini, ia boleh mengesan sebarang penyakit yang mungkin anda alami dengan lebih awal.
Ia boleh dikatakan sebagai pemeriksaan kesihatan secara percuma untuk penderma darah.
Syarat umum sebelum menderma darah

Terdapat beberapa syarat umum yang perlu dipenuhi sebelum anda boleh mendermakan darah anda.
Syarat ini bertujuan untuk memastikan anda berada dalam keadaan sihat sebelum dan selepas proses menderma darah.
Ia juga bertujuan untuk menjaga kualiti dan keselamatan darah yang akan didermakan nanti. Antara syarat tersebut ialah:
- Sihat tubuh badan
- Berusia antara 17 hingga 66 tahun
- Berat badan melebihi 45 kilogram
- Suhu tubuh antara 36.6 hingga 37.5 Celsius
- Perlu makan dengan cukup sebelum menderma darah
- Pastikan anda tidur dengan cukup sebelum hari pendermaan darah
- Minum banyak air sebelum menderma darah
Kesimpulan
Kini anda telah tahu lima kebaikan derma darah untuk diri anda sendiri.
Ternyata bahawa proses menderma darah ini bukan sahaja bermanfaat kepada penerimanya, tetapi juga kepada penderma darah tersebut.
Kongsi artikel berkenaan kepentingan menderma darah ini agar lebih ramai tampil untuk menderma darah.