Setiap tahun pada tanggal 7 April, kita akan menyambut Hari Kesihatan Sedunia. Pada tahun ini, dengan tema Membina Dunia Lebih Adil Dan Saksama (building a fairer, healthier world), WHO menyeru masyarakat dunia supaya sebarang ketidakadilan di dalam perubatan dapat dihapuskan.
Walaupun kita hidup di dalam dekad yang lebih aman daripada sebelumnya, namun kita masih lagi belum mampu memberikan khidmat kesihatan yang sama rata kepada semua manusia tanpa mengira bangsa, agama, kepercayaan politik, ekonomi dan kondisi sosial.
Ketidaksamaan ini jadi semakin ketara apabila dunia diselubungi pandemik akibat virus COVID-19.
Walaupun pandemik ini menyerang hampir setiap negara di seluruh dunia, tapi komuniti yang lebih sukar untuk mendapatkan akses kepada kesihatan merupakan golongan yang paling sukar untuk kekal sihat dan terjejas.
Malah, mereka juga tergolong dalam kumpulan yang hidup miskin tegar dengan kondisi pembelajaran yang tidak memuaskan.
Bukan sahaja mereka terpaksa hidup kais pagi makan pagi, mereka juga tidak mempunyai akses kepada air bersih, makanan dan juga perubatan.
Perkara ini bukan sahaja tidak adil, ia sebenarnya merupakan satu masalah yang boleh dielakkan. Dengan kerjasama pemimpin di seluruh dunia, visi ini mungkin dapat direalisasikan pada masa hadapan.
Hari Kesihatan Sedunia – Fakta dan nombor
- Buat pertama kalinya di dalam 20 tahun, jurang kemiskinan makin meluas dan mungkin akan melambatkan kemajuan kita dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals).
- Hampir 60% masyarakat dunia tidak mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan penting.
- Hampir 1 juta manusia yang tinggal di kawasan setinggan menghadapi masalah untuk mengelakkan jangkitan dan penyebaran COVID-19.
- Hampir 5.9 juta kanak-kanak di kawasan Asia-Pasifik tidak dapat kembali ke sekolah disebabkan pandemik yang melanda.
- 52% kanak-kanak di kawasan Asia-Pasifik masih belum mempunyai sambungan kepada internet.
Bukan mudah untuk bertemu doktor
Bagi mereka yang hidup bergelumang dalam kemiskinan, janji temu bersama doktor merupakan sesuatu yang dapat memberikan tekanan dari segi emosi dan kewangan.
Manakan tidak, perjalanan ke hospital atau klinik sahaja sudah memakan wang yang banyak.
Cuba bayangkan anda berada di tempat Aminah, seorang ibu anak satu yang mempunyai 2 pekerjaan yang berbeza.
Aminah bukan sahaja perlu mengambil cuti tanpa gaji, dia juga perlu meminta pertolongan daripada orang lain untuk menjaga anaknya ketika dia ke hospital untuk menghadiri janji temu bersama doktor.
Kalau ditambah duit makan, duit pengangkutan dan sebagainya, ia mungkin memakan ratusan ringgit. Tambah lagi, duit ini boleh digunakan oleh Aminah untuk menyara keluarganya selama beberapa hari.
Malah, Aminah juga runsing apabila memikirkan masa menunggu yang sangat panjang. Berbaloikah untuk Aminah menunggu begitu lama untuk masa bersama doktor yang tidak sampai 30 minit?
Mujurlah, kos perubatan di klinik kerajaan tidak memakan perbelanjaan yang besar seperti di negara lain.
Walau bagaimanapun, masih ada jurang yang besar di antara golongan yang kaya dan miskin terutamanya untuk mendapatkan khidmat kesihatan yang berkualiti.
Maksud kesihatan untuk semua
Menurut WHO, kesihatan untuk semua atau health for all bukanlah bermaksud tiada lagi penyakit di dunia ini.
Maksud sebenarnya ialah sumber untuk kesihatan dapat dibahagikan secara sama rata kepada semua orang tanpa mengira bangsa, jantina ataupun status.
Selain itu, perkhidmatan kesihatan juga haruslah mudah untuk diakses daripada rumah, sekolah ataupun tempat kerja.
Malah, lebih ramai yang mampu mendapatkan khidmat kesihatan untuk kekal sihat, mengelakkan penyakit dan juga kecacatan tertentu.
Lelaki dan wanita juga dapat melakukan ujian saringan secara berkala sebagai langkah pencegahan awal penyakit.
Pada waktu ini, ramai yang mula sedar bahawa kesihatan merupakan hak milik semua.
Malah, tiada lagi alasan untuk mereka yang sakit untuk tidak mendapatkan sebarang khidmat kesihatan.
Walaupun nampak sukar, negara kita telahpun berjaya memberikan khidmat kesihatan yang memuaskan dan dapat diakses dengan harga yang mampu milik.
Oleh sebab itu, tidak mustahil jika kerajaan mampu merealisasikannya pada masa hadapan.
Walau bagaimanapun, pada tahap global, kesihatan untuk semua mungkin lebih sukar untuk dicapai.
Kesimpulan
Kesihatan merupakan salah satu hak asasi manusia. Jadi, tidak hairanlah pemimpin-pemimpin dunia sedang bertungkus lumus menyediakan perkhidmatan kesihatan yang terbaik untuk semua.
Walau bagaimanapun, perkhidmatan kesihatan yang baik dan berkualiti tidak dapat diakses oleh semua orang.
Bertepatan dengan tema Hari Kesihatan Sedunia pada 7 April iaitu Membina Dunia Lebih Adil Dan Saksama, kami berharap artikel ini dapat memberikan kesedaran kepada anda mengenai cabaran orang miskin untuk kekal sihat dan mendapatkan khidmat kesihatan yang bersesuaian.
Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia, marilah kita sama-sama berganding bahu dan saling bantu-membantu. Bersama, kita dapat membantu kerajaan untuk merealisasikan impian ini pada masa hadapan!
[embed-health-tool-bmi]