Beberapa nama penyakit dalam Bahasa Melayu seringkali menyalahkan angin sebagai penyebab sesuatu masalah. Seringkali topik yang saya kongsi dengan anda agak berat dan memerlukan analisa minda dan perasaan. Hari ini, kita santai dengan penerangan tentang jenis-jenis angin yang lazim dibincangkan dalam konteks kesihatan masyarakat kita.
1) Angin Pasang
Diagnosis sebenar: Hernia.
Merujuk kepada gumpalan usus yang terkeluar dari tempat asalnya lalu mengakibatkan benjolan yang dapat dilihat dengan mata kasar. Terdapat hernia jenis langsung dan tidak langsung.
Yang langsung disebabkan oleh tekanan kawasan abdomen yang tinggi. Ini melemahkan otot yang menjaga kedudukan usus lalu menyebabkan benjolan. Ini boleh berlaku akibat kekerapan mengangkat barang berat tanpa mengamalkan postur yang betul.
Yang tidak langsung disebabkan oleh ketidaksempurnaan anatomi kawasan bawah perut ke pinggul lalu menyebabkan benjolan usus keluar di kawasan berhampiran alat sulit (hanya berlaku pada kaum Adam).
2) Angin Ahmar
Diagnosis sebenar: Strok.
Stroke terbahagi kepada dua. Jenis pertama adalah disebabkan sumbatan salur darah otak. Ini menyebabkan sel-sel otak yang dijaga oleh salur darah tersebut mati. Kesannya, bahagian badan yang dikawal oleh bahagian otak tersebut tidak dapat berfungsi. Faktor-faktor risiko yang harus dijaga adalah tekanan darah, kencing manis, kawalan kolesterol, amalan merokok dan berat badan.
Jenis kedua adalah salur darah dalam otak pecah akibat tekanan darah yang terlalu tinggi. Bergantung kepada kawasan yang terlibat, sesetengah pesakit akan dinasihatkan untuk menjalani pembedahan bagi mengurangkan kesan tekanan yang lebih tinggi akibat pendarahan berterusan. Namun begitu, bukan semua pesakit dengan pendarahan sebegini memerlukan pembedahan. Ada yang dirawat secara konservatif dan ada juga yang mengalami pendarahan terlalu besar yakni tidak dapat dibantu sekalipun dibedah.
3) Perut masuk angin
Diagnosis sebenar: gastritis.
Ada juga sesetengah yang memanggil penyakit ini sakit ulu hati. Keadaan ini berlaku akibat lebihan rembesan asid dalam perut yang melawan arus dan naik ke salur pemakanan. Keadaan perut yang terlalu lapar, alkohol, makanan pedas/panas/bercuka, berat badan, perokok, amalan jadual pemakanan yang kucar-kacir dan tekanan adalah antara faktor-faktor yang menyebabkan keadaan ini berlaku.
4) Angin dari sendi
Diagnosis sebenar: tidak dapat dikenal pasti.
Kebanyakan masyarakat nusantara terutama Malaysia dan Indonesia ada satu kelaziman untuk kerap sedawa apabila mendapat urutan badan. Lebih mengelirukan, terdapat ramai tukang urut yang turut sedawa bersama lalu meyakinkan orang yang diurut bahawa kesakitan badan mereka telah diambil lalu dilepaskan.
Bagaimana urut membantu melegakan badan? Saraf yang menjaga deria sentuh sakit dan tekanan adalah saraf yang sama. Saraf ini juga dapat merasa kelegaan sakit apabila tekanan diberikan kerana ia hanya dapat melakukan satu kerja dalam satu masa.
Contoh mudah. Gatal adalah jenis sakit yang paling rendah. Bila gatal anda garu (sejenis tekanan). Sedapnya ketika garu hanya Tuhan yang tahu. Anda berhenti garu? Gatal balik.
Sama dengan lenguh-lenguh otot dan sendi. Lebih banyak tekanan, lebih sedap. Saya sangat suka mencuba bermacam-macam jenis urutan (Jawa, Thai, Swedish, Indian, Chinese etc.) dan amat yakin saya boleh terangkan hanya orang kita yang sedap bersedawa sambil diurut.
Salah satu teori (hanya teori) tentang mengapa seseorang mula bersedawa ketika urutan adalah kerana urutan mengaktifkan sistem saraf parasimpatetik yakni bahagian badan yang menjaga tindakbalas “rest and digest”. Salah satu kesannya adalah pengaktifan usus dan salur makan lalu sedawa.
Ada apa-apa lagi angin yang anda pernah dengar dan inginkan lebih maklumat? Silalah bertanya dan jangan malu-malu. Saya boleh cuba tolong terangkan kalau mampu.
*Artikel ini pertama kali diterbitkan di blog Dr. Saful Adni dan disiarkan semula atas kebenaran beliau. Segala pandangan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel ini adalah bersifat peribadi dan tidak semestinya mencerminkan polisi Hello Doktor. Hello Health tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
[embed-health-tool-bmi]