Mulai tahun hadapan, jenama produk bayi terkemuka, Johnson & Johnson tidak lagi menjual bedak baby yang berasaskan talkum di seluruh dunia. Bedak baby Johnson atau bedak Johnson baby ini akan dihentikan penjualannya disebabkan penggunaan talkum yang dikatakan boleh menyebabkan kanser. Namun, adakah ini punca sebenarnya?
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kesihatan, anda boleh klik di sini.
Johnson & Johnson hentikan penjualan bedak talkum
Bedak talkum bayi, Johnson & Johnson sudah lama dihentikan penjualannya di Kanada dan Amerika Syarikat sejak 2020. Malah, mereka telah menggantikan talkum dengan alternatif yang lebih selamat iaitu bedak berasaskan tepung jagung.
Keputusan ini dibuat rentetan ribuan saman yang diterima daripada pengguna bedak bayi ini terutamanya oleh wanita yang disahkan menghidap kanser ovari setelah bertahun-tahun menggunakan produk yang sama.
Bedak bayi mereka dikatakan mengandungi asbestos, sejenis bahan yang boleh menyebabkan masalah kesihatan serta kanser jika digunakan dalam satu tempoh masa yang lama.
Walau bagaimanapun, Johnson & Johnson masih lagi berpegang teguh mengenai keselamatan produk mereka. Menurutnya, kajian saintifik yang dijalankan selama bertahun-tahun telah membuktikan bahawa penggunaan talkum tidak akan menyebabkan kanser.
Pada tahun 2019, FDA telah menemui kesan asbestos di dalam produk Johnson & Johnson. Kemudian, para pengkaji dari Mount Sinai Hospital juga telah memeriksa 19 sampel bedak baby Johnson. 10 daripadanya dikesan mengandungi 2% hingga 20% asbestos.
Namun, sebagai pengguna yang bijak, anda pasti ingin tahu apa sebenarnya yang berlaku kepada syarikat bedak bayi ini. Dalam artikel kali ini, kami akan mengupas lebih lanjut mengenai penggunaan talkum, apa itu asbestos dan bagaimana ia boleh menjejaskan kesihatan kita.
Apa itu talkum dalam bedak baby?
Talkum merupakan sejenis mineral yang sering digunakan di dalam bedak bayi, beberapa jenis alat solek seperti pemerah pipi, pembayang mata dan bahan kosmetik lain. Ia telah digunakan bertahun-tahun untuk menyerap lembapan, mengelakkan wajah bercapuk dan meningkatkan konsistensi pada kawasan kulit.
Selain itu, talkum juga terdiri daripada beberapa elemen seperti magnesium, silikon dan oksigen.
Dalam bentuk bedak, ia dapat menyerap lembapan dan mengelakkan geseran antara kulit. Sebab itulah, ia selalu digunakan pada bayi terutamanya untuk mencegah ruam.
Dalam bentuk semula jadi, talkum juga mengandungi asbestos. Bahan inilah yang boleh menyebabkan kanser jika ia berjaya memasuki paru-paru ketika dihidu.
Apa pula maksud asbestos?
Talkum dan asbestos boleh terbentuk bersama secara semua jadi. Malah, aktiviti melombong talkum juga tidak dapat mengasingkan kedua-dua bahan ini secara 100%. Namun, bukan semua talkum dicemari dengan asbestos.
Risiko mungkin berbeza mengikut tahap pendedahan dan faktor lain, namun asbestos terbukti dapat menyebabkan kanser paru-paru dan masalah kesihatan yang lain. Individu yang bekerja dalam bidang perlombongan dan pembinaan lebih berisiko mengalami pendedahan terhadap asbestos.
Selalunya, penggunaan talkum ini akan memberi kesan terhadap:
- Individu yang terdedah dengan talkum di tempat kerja.
- Wanita yang sering menggunakan talkum di kawasan intim.
Berdasarkan ujian terhadap produk yang mengandungi talkum dari organisasi yang berbeza, ada beberapa produk di pasaran yang dikesan mengandungi asbestos termasuklah bedak bayi Johnson & Johnson.
Selama ini, ramai orang menggunakan bedak bayi setiap hari sebagai satu bentuk penjagaan diri. Disebabkan baunya yang wangi dan teksturnya yang lembut, wanita juga menggunakannya di kawasan intim untuk mengelakkan kulit melecet.
Namun, setelah pihak Johnson & Johnson menerima saman demi saman, The American College of Obstetricians and Gynecologists tidak lagi menggalakkan penggunaan talkum, lebih-lebih lagi di kawasan Miss V.
Baca juga:
- Ada Asbestos Dalam Bedak Bayi?
- Ini 5 Punca Utama Kanser Ovari, Betul Ke Bedak Talkum Pun Boleh Jadi Penyebab?
- BERHENTI Percaya Bedak Talkum Ada Kaitan Dengan Kanser Ovari! Ini Penjelasan Pakar Sebenar
Bolehkah saya kurangkan pendedahan terhadap bedak baby?
Walaupun Johnson & Johnson telah disaman disebabkan kandungan asbestos dalam produk mereka, namun kajian masih lagi belum dapat memastikan sama ada pemakaian bedak talkum dapat meningkatkan risiko kanser.
Pada waktu ini, bukti yang mengaitkan bedak talkum dan kanser masih lagi sedikit. Jika anda risau mengenai bedak talkum, elakkan menggunakan bedak baby yang mengandungi talkum.
Soalan lazim
S: Bagaimanakah asbestos boleh termasuk ke dalam bedak talkum?
Talkum dan asbestos merupakan mineral yang terbentuk secara semula jadi. Kadangkala, talkum yang dilombong akan dicemari oleh asbestos. Kedua-dua bahan ini sukar untuk dipisahkan.
S: Produk apa yang mengandungi talkum di dalamnya?
Talkum lazimnya digunakan di dalam pelbagai jenis produk, contohnya perkakas rumah, lampu bilik mandi, kabel elektrik, alat ganti automotif dan gasket getah. Talkum bergred kosmetik juga boleh ditemui di dalam alat solek, deodoran, krim dan termasuklah bedak baby.
S: Bagaimanakah bedak ini menyebabkan kanser?
Asbestos dalam bedak talkum boleh dihidu secara tidak sengaja semasa penggunaannya. Jika digunakan pada kawasan intim, asbestos boleh memasuki badan dan bergerak ke kawasan tisu sensitif – seperti pelvis, dada dan perut – perlahan-lahan menyebabkan kanser.
[embed-health-tool-bmi]