backup og meta

Senaman Boleh Kurangkan Sakit Senggugut - Fakta @ Auta? Ini Jawapan Kajian!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 06/10/2022

    Senaman Boleh Kurangkan Sakit Senggugut - Fakta @ Auta? Ini Jawapan Kajian!

    Sakit senggugut menyerang kembali! Ia merupakan antara kesakitan disebabkan haid yang paling menjengkelkan bagi para wanita setiap bulan!

    Sakit pinggang, kekembungan perut atau kekejangan adalah antara simptom sakit senggugut.

    Untuk mengurangkan gejala, golongan wanita biasanya akan mengambil sama ada ubat tahan sakit, memakai heating patch, tuaman bahkan kesemua sekali!

    Tetapi tiadakah cara yang lain untuk merawat masalah ini? Terutamanya rawatan tanpa memerlukan bantuan ubat-ubatan.

    Ternyata ada yang mengatakan senaman dapat membantu dalam melegakan sakit senggugut ketika haid, benar atau tidak?

    Jika anda berminat untuk mengetahui kebenarannya, jom ikuti artikel ini!

    Sakit senggugut ketika haid

    Rasa kejang atau sakit ketika haid, turut dikenali sebagai dysmenorrhea adalah kesakitan yang dirasai pada bahagian bawah perut, yang boleh berlaku sebelum dan semasa tempoh haid.

    Tahap kesakitan itu boleh berlaku dari tahap biasa dan menjengkelkan kepada kronik dan melampau.

    Kekejangan ini cenderung bermula selepas telur dilepaskan ke dalam ovari dan bergerak ke bawah tiub fallopia (ovulasi).

    sakit senggugut

    Apakah punca-puncanya?

    Masalah ini boleh terbahagi kepada 2 jenis iaitu senggugut primer dan senggugut sekunder.

    • Senggugut primer

    Sering berlaku dalam kebanyakan remaja perempuan yang tidak mempunyai patologi di pelvis dan rahim.

    Kebiasaannya terjadi antara 6 hingga 12 bulan selepas akil baligh setelah kitaran ovulasi bermula.

    Senggugut primer kebiasaannya sakit dalam tempoh masa sehari atau dua hari.

    Rasa sakit dialami boleh diatasi dengan memakan ubat penahan sakit seperti ibuprofen.

    • Senggugut sekunder

    Sakit senggugut sekunder ini berlaku sepanjang anda period. Ia turut disebabkan oleh patologi di pelvis dan rahim.

    Senggugut ini sering berlaku dalam kalangan wanita yang lebih berumur dan masih subur. Punca-puncanya:

    1. Endometriosis: Penyakit ini dihidapi oleh 5 hingga 15% wanita yang didatangi haid.
    2. Jangkitan pada rahim atau penyakit radang pelvis.
    3. Cyst ovari atau tumor.
    4. Kongenital: Rahim bicornuate atau rahim subsepta.
    5. Fibroid: Bengkakan pada rahim dan kesakitan berlaku semasa darah haid yang banyak.
    6. Alat pencegah kehamilan dalam rahim (IUCD): Alat ini boleh menjadikan senggugut lebih teruk pada sesetengah wanita yang menggunakannya.

    Bersenam dapat kurangkan sakit senggugut? Ini dapatan kajian

    Untuk menjawab persoalan tersebut, sebuah kajian dijalankan terhadap 754 wanita untuk mengkaji semua bukti yang relevan antara senaman dan senggugut.

    Kajian itu memilih wanita muda di bawah usia 25 dengan kesakitan yang sederhana hingga parah.

    Di samping itu, 9 daripada 10 kajian membandingkan golongan yang bersenam dan sebaliknya.

    Hasil penyelidikan menunjukkan senaman berintensiti rendah seperti yoga terbukti memberikan pengurangan tahap kesakitan yang besar apabila haid jika dibandingkan dengan mereka yang tidak bersenam.

    sakit senggugut

    Senaman yang dilakukan adalah selama 45 sehingga 60 minit, sebanyak 3 kali seminggu. Kajian itu juga mendapati:

    • Hubungan antara senaman dengan masalah sakit belakang dan keletihan masih tidak dapat dipastikan
    • Bersenam untuk mengatasi masalah senggugut mungkin mampu mengurangkan pengambilan ubat tahan sakit
    • Tidak ada bukti daripada kajian ini bahawa melakukan senaman dengan masalah senggugut mengundang bahaya
    • Kualiti kajian yang dilakukan ini masih dikategorikan sebagai ‘rendah,’ maka penyelidikan yang lebih lanjut diperlukan

    Jenis senaman yang boleh dilakukan ketika haid

    Beberapa hari pertama haid boleh menjadi suatu tempoh yang paling menyakitkan dan tidak selesa buat kaum Hawa.

    Disebabkan itu, aktiviti senaman dan pergerakan fizikal pada tempoh masa ini haruslah berintensiti ringan dan lebih ‘lembut.’

    Pakar Sakit Puan, John Thoppil mengatakan bahawa senaman terbaik saat haid anda adalah aktiviti fizikal yang digemari.

    Namun, beliau menekankan kepentingan untuk mempelbagaikan jenis senaman sepanjang minggu tersebut.

    Oleh itu, berikut adalah beberapa idea aktiviti senaman berintensiti rendah yang boleh dipraktik semasa haid:

    • Berjalan atau kardio ringan

    Pastikan senaman kardiovaskular atau aerobik dilakukan pada intensiti yang lebih rendah.

    Anda juga boleh pertimbangkan senaman kardio ringan, seperti berjalan kaki atau latihan aerobik yang lebih mudah.

    • Senaman yoga atau pilates

    2 ke 3 hari menjelang menstruasi, merupakan masa yang tepat untuk melakukan aktiviti seperti yoga atau pilates, yang membantu merehatkan badan dan berpotensi mengurangkan simptom seperti kekejangan, kesakitan payudara, keletihan dan kesakitan otot.

    Tetapi, sekiranya anda tidak mengalami sebarang masalah senggugut ketika haid, usah ragu-ragu untuk meneruskan rutin senaman yang sudah biasa anda lakukan.

    Apa yang penting, jangan sesekali memaksa diri untuk melakukan aktiviti senaman semasa menstruasi, jika badan anda tidak bertindak balas dengan baik, berikan diri masa untuk berehat ya!

    sakit senggugut

    Apa yang dapat disimpulkan?

    Seperti yang telah dijelaskan, kajian mungkin menunjukkan bersenam ketika haid boleh mengurangkan rasa sakit senggugut.

    Namun, masih banyak penyelidikan harus dijalankan untuk mengatakan bahawa senaman berkesan dalam merawat masalah wanita ini.

    Apa pun, masalah senggugut adalah subjektif bagi setiap wanita kerana pengalaman dan tahap kesakitan dialami adalah berbeza-beza.

    Jika anda sering berdepan masalah yang menjengkelkan ini setiap bulan, tidak salah untuk mencuba senaman berintensiti ringan ini.

    Mana tahu jika ia ternyata berkesan dalam mengurangkan kesakitan anda. Selamat mencuba!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 06/10/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan