backup og meta

Perempuan Gemar Makan Timun Ada Banyak Keputihan: Fakta Atau Mitos?

Perempuan Gemar Makan Timun Ada Banyak Keputihan: Fakta Atau Mitos?

Makan timun boleh menyebabkan keputihan yang banyak? Eh, betul ke? Mungkin ramai wanita yang pernah dengar kenyataan ini. Malah, ada juga yang terpengaruh sehingga tidak mahu makan timun.

Sebenarnya, timun merupakan makanan yang sangat berkhasiat. Ia kaya dengan vitamin A, B dan C.

Malah, kandungan mineralnya yang tinggi juga membolehkan timun digelar sebagai makanan super yang amat baik untuk kesihatan badan.

Namun, benarkah ada kaitan antara timun dan jumlah keputihan wanita?

Untuk pengetahuan anda, selalunya, perbezaan dari segi jumlah keputihan ini berlaku disebabkan kitaran haid.

Jika anda mahu tahu lebih lanjut, mari ikuti penjelasan kami dalam artikel di bawah.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.

Keputihan adalah sesuatu yang normal

keputihan yang banyak

Benar, keputihan sebenarnya merupakan sesuatu yang sangat normal!

Tetapi, jumlah, bau dan warnanya mungkin berbeza mengikut kitaran haid seorang wanita.

Ketika dalam ovulasi, wanita akan mengalami keputihan yang lebih banyak daripada biasa. Setelah ovum dilepaskan, jumlah keputihan akan berkurang dan mungkin menjadi lebih likat.

Malah, keputihan juga mungkin akan berwarna coklat atau merah gelap beberapa hari selepas datang haid.

Keputihan yang normal selalunya tidak berbau, berwarna putih susu dan melekit.

Walau bagaimanapun, jika keputihan anda mengalami perubahan yang drastik seperti berbau hanyir dan berubah warna, pastikan anda berjumpa doktor secepat mungkin.

Lebih-lebih lagi jika anda mengalami simptom lain seperti gatal-gatal dan rasa sakit ketika membuang air kecil.

Tetapi, benarkah makan timun boleh menyebabkan masalah keputihan?

makan timun

Jarang sekali makanan, lebih-lebih lagi sayuran seperti timun boleh menyebabkan masalah keputihan dalam kalangan wanita.

Malah, setakat ini masih belum ada lagi sebarang kajian yang membuktikan bahawa timun boleh menyebabkan wanita mengalami masalah keputihan yang banyak.

Timun merupakan makanan yang sangat berkhasiat. Selain mengandungi pelbagai vitamin dan mineral, ia juga mempunyai antioksidan seperti flavonoid dan tannin yang dapat membantu kita mengelakkan penyakit kronik.

Selain itu, sayur ini juga mengandungi kalori yang sangat sedikit. Secawan timun hanya mempunyai 16 kalori. Oleh sebab itu, ia merupakan makanan yang sangat baik untuk individu yang ingin menurunkan berat badan.

Malah, makan timun juga boleh mengelakkan kita daripada mengalami dehidrasi disebabkan kandungan airnya yang tinggi.

Tidak dinafikan, ada sesetengah makanan yang dapat memperbaiki kesihatan vagina. Antaranya ialah probiotik, prebiotik serta makanan yang ditapai.

Jangan lupa, keputihan juga mempunyai fungsinya yang tersendiri.

Cecair ini mengandungi bakteria baik yang dapat mengekalkan keseimbangan pH vagina daripada sebarang jangkitan.

Malah, vagina juga merupakan satu ekosistem yang menjadi ‘rumah’ untuk pelbagai bakteria baik.

Jika keseimbangan ini terganggu, Miss V akan terdedah kepada pelbagai jenis jangkitan dan mungkin mengalami inflamasi.

Keputihan banyak? Mungkin bukan sebab makan timun!

makan timun

Jadi, apakah penyebab sebenar masalah keputihan yang selalu wanita alami?

Kebanyakan punca keputihan yang abnormal adalah tidak berbahaya. Namun, ia akan menyebabkan ketidakselesaan bagi wanita.

Keputihan yang berwarna hijau, kuning atau kelabu juga merupakan tanda jangkitan.

Antara jangkitan yang lazim berlaku ialah jangkitan yis, vaginosis bakteria dan STI seperti trichomoniasis, klamidia atau gonorea.

Disebabkan jangkitan ini boleh merebak ke rahim, ovari dan juga tiub falopio, pengesanan dan rawatan untuk STI amatlah penting.

Jika penghidap STI tidak berhati-hati, mereka mungkin akan menyebarkan penyakit ini kepada pasangan masing-masing.

Kadangkala, keputihan yang berwarna merah boleh menjadi tanda kanser serviks.

Antara penyebab lain masalah keputihan yang banyak ialah:

  1. Terlupa mengeluarkan tampon.
  2. Penyakit radang pelvis (PID).
  3. Amalan meruang (douching) atau menggunakan sabun wangi pada alat sulit.
  4. Kanser serviks.
  5. Kanser vagina.
  6. Kehamilan.

Walau bagaimanapun, jarang sekali keputihan menjadi tanda kanser. Malah, makanan seperti timun juga tidak akan menyebabkan masalah keputihan yang abnormal. 

Perlukah saya berjumpa doktor?

makan timun

Jika anda perhatikan terdapat perubahan yang luar biasa terhadap warna, jumlah, kelikatan dan juga bau keputihan, pastikan anda berjumpa doktor secepat mungkin.

Masalah keputihan yang abnormal boleh menyebabkan kegatalan. Malah, bau yang tidak enak juga boleh membuatkan penghidapnya rasa tidak selesa dan malu untuk berjumpa orang lain.

Selain itu, jumpa doktor jika anda mengalami:

  1. Kegatalan di sekitar alat sulit.
  2. Rasa sakit dan pedih ketika membuang air kecil.
  3. Sakit ketika melakukan hubungan seks.

Kesimpulan

Timun merupakan makanan yang sangat berkhasiat, menyegarkan dan amat mudah untuk dimasukkan ke dalam diet seharian.

Bukan sahaja ia mengandungi kalori yang rendah, sebiji timun juga mempunyai banyak vitamin dan mineral yang penting. Sebab itulah, individu yang ingin menurunkan berat badan amat digalakkan untuk makan timun.

Timun juga tidak akan menyebabkan kaum Hawa mengalami keputihan yang banyak.

Namun, ada pelbagai penyakit lain yang mungkin menjadi punca di sebaliknya. Salah satunya ialah jangkitan pada kawasan Miss V.

Sebagai wanita, kita haruslah menjaga kawasan intim dengan lebih baik. Antara tip yang dapat membantu mencegah masalah keputihan ialah:

  1. Pastikan vagina sentiasa bersih. Gunakan sabun untuk membasuh bahagian luar Miss V. Anda tidak perlu letakkan sabun di dalam vagina, cukup sekadar basuh di luar sahaja.
  2. Jangan gunakan sabun yang mengandungi pewangi. Selain itu, elakkan amalan meruang atau douching.
  3. Lap kawasan intim dari depan ke belakang untuk mengelakkan jangkitan bakteria.
  4. Gunakan seluar dalam yang diperbuat daripada kapas. Elakkan menggunakan material yang ketat.

[embed-health-tool-ovulation]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Cucumber, with peel, raw. https://fdc.nal.usda.gov/fdc-app.html#/food-details/168409/nutrients. Accessed Jan 19, 2022.
  2. Keeping your vagina clean and healthy. https://www.nhs.uk/live-well/sexual-health/keeping-your-vagina-clean-and-healthy/. Accessed Jan 19, 2022.
  3. Vaginal Discharge. https://familydoctor.org/condition/vaginal-discharge/. Accessed Jan 19, 2022.
  4. Vaginal Discharge. https://www.nationwidechildrens.org/conditions/vaginal-discharge. Accessed Jan 19, 2022.
  5. What You Need To Know About Vaginal Discharge. https://www.keckmedicine.org/what-you-need-to-know-about-vaginal-discharge/. Accessed Jan 19, 2022.

Versi Terbaru

17/06/2022

Ditulis oleh Fatin Zahra

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman

Diperbaharui oleh: Maria Stork


Artikel Berkaitan

Eh, Keputihan Warna HITAM Pada Faraj! Adakah Ini Tanda Bahaya?

Ini Ujian Untuk Tahu Masalah Keputihan Pada Wanita Normal Atau Tidak!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 17/06/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan