Gatal pada kemaluan? Keputihan berbau hanyir dan berwarna aneh? Sah! Ini petanda jangkitan vaginosis bakteria (BV).
Faraj yang sihat sememangnya mempunyai sejumlah bakteria di dalamnya. Tetapi perubahan keseimbangan jenis bakteria dalam faraj berupaya memicu kondisi yang dikenali sebagai BV.
BV juga boleh terbentuk apabila seseorang individu kerap bertukar pasangan seks, dan ia sangat jarang berlaku jika tidak pernah terlibat dengan hubungan seksual.
Bukan itu sahaja, ia turut meningkatkan risiko memperoleh jangkitan kelamin (STD). Pun begitu, BV tidak dianggap STD.
BV adalah jangkitan faraj yang paling kerap menyerang wanita berusia dalam lingkungan 15 hingga 44 tahun.
Jom ikuti artikel ini untuk memahami kejadian disebalik kondisi yang mengakibatkan gatal pada kemaluan dengan lebih lanjut!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.
Vaginosis bakteria, apa puncanya?
Vaginosis bakteria atau disebut BV adalah jangkitan bakteria yang terjadi apabila pelbagai jenis bakteria sihat di faraj menjadi tidak seimbang dan tumbuh dengan banyak.
Untuk mengekalkan keseimbangan faraj, bakteria ‘baik’ (lactobacilli) sepatutnya melebihi bakteria ‘buruk’ (anaerob).
Perbuatan yang mengubah kimia keseimbangan pH Miss V anda boleh mengganggu tahap bakteria dan memicu jangkitan, seperti meruang, penggunaan deodoran faraj atau produk lain yang bersifat merengsakan hingga gatal pada kemaluan.
Perlu anda tahu, vaginosis bakteria bukan sejenis jangkitan kelamin. Namun, tabiat bertukar-tukar pasangan seks berupaya meningkatkan risiko terhadap BV dan gatal pada kemaluan.
Kadangkala, seks itu sendiri mengakibatkan BV sekiranya elemen kimia semula jadi pada alat sulit pasangan mengubah keseimbangan dalam faraj, lantas menyebabkan bakteria tumbuh.
Simptom gatal pada kemaluan
Ada penghidap BV yang mengalaminya tanpa gejala, dan ada juga sebilangan wanita mempunyai simptom.
Bagi yang bersimptom, ia boleh merangkumi rasa gatal pada kemaluan, keputihan, atau sensasi terbakar.
Ciri-ciri keputihan dialami mungkin bersifat:
- Berair dan tipis
- Berwarna kelabu, kehijauan atau putih
- Mempunyai bau yang kuat dan tidak menyenangkan; hanyir
Gejala yang lebih jarang terjadi, tapi boleh berlaku merangkumi:
- Sensasi terbakar semasa membuang air kecil
- Gatal pada kemaluan
Untuk makluman, sekitar 50% ke 75% wanita dengan BV tidak mempunyai gejala. Kondisi ini sahaja tidak dianggap berbahaya, namun komplikasi boleh timbul sekiranya tidak dirawat.
BV, bolehkah kondisi ini dicegah?
Jika diikutkan, tiada kaedah spesifik untuk mencegah BV, kerana penyebabnya masih kurang jelas.
Walau bagaimanapun, beberapa tip mudah berkemungkinan dapat bantu mencegahnya seperti berikut:
- Mengurangkan punca kerengsaan faraj: Guna sabun dengan kandungan kimia yang tidak terlalu kuat dan selamat, serta pilihlah tampon atau tuala wanita tanpa pewangi tambahan.
- Jangan meruang! Faraj bersifat self-cleanse dan tidak memerlukan pembersihan selain cucian biasa. Meruang dengan kerap akan mengganggu keseimbangan faraj dan meningkatkan risiko jangkitan. Meruang juga tidak akan membersihkan jangkitan faraj.
- Elakkan jangkitan kelamin: Ingat, sentiasa amalkan langkah penjagaan seks seperti penggunaan kondom lateks, mengehadkan bilangan pasangan seks atau hindari aktiviti seksual untuk mengurangkan risiko jangkitan kelamin.
Bagaimana cara saya merawat BV?
Berita baiknya, BV sering sembuh dengan sendirinya tanpa memerlukan sebarang rawatan, tetapi mereka yang punyai gejala harus mendapatkan rawatan untuk mengelakkan risiko komplikasi.
Sekiranya berlaku simptom keputihan yang tidak normal, pastikan untuk segera mengunjungi klinik atau hospital berdekatan sebelum kondisi bertambah melarat.
Malah, BV bergejala yang tidak dirawat juga boleh akibatkan komplikasi, terutamanya semasa kehamilan.
Perubatan antibiotik
Antibiotik dilaporkan menjadi rawatan berkesan sehingga 90%, namun kondisi ini selalu berulang dalam tempoh beberapa minggu mendatang.
Metronidazole adalah antibiotik yang paling kerap digunakan dalam merawat BV yang boleh didapati dalam bentuk berikut:
- Tablet: Diambil secara oral, 2 kali sehari selama 7 hari. Ia dilihat sebagai rawatan yang paling berkesan dan disarankan untuk wanita yang sedang menyusu atau hamil.
- Tablet tunggal: Diambil secara oral yang berdos sekali sahaja. BV lebih cenderung untuk kembali dengan rawatan ini, berbanding tablet 7 hari seperti di atas.
- Gel: Disapukan pada faraj sekali sehari, selama 5 hari.
Clindamycin adalah antibiotik alternatif. Ia boleh digunakan jika metronidazole didapati tidak berkesan atau alami jangkitan berulang.
Tinidazole pula adalah pilihan antibiotik lain yang kadangkala digunakan untuk merawat BV jika metronidazole tidak berfungsi atau BV berulang.
Adakah BV boleh berjangkit?
Walaupun vaginosis bakteria bukan penyakit berjangkit, peranan penyebaran bakteria dalam kalangan individu masih tidak diketahui sepenuhnya.
Disebabkan kekerapan pertukaran pasangan seks boleh meningkatkan risiko kondisi ini, ia menunjukkan penyebaran bakteria di antara individu berupaya mengubah keseimbangan bakteria faraj, lantas memicu pembentukan vaginosis bakteria.
Fakta tambahan, anda juga boleh mendapat BV dari tempat duduk tandas awam, kolam renang atau terdedah dengan benda tercemar.
[embed-health-tool-ovulation]