backup og meta

Penyakit Vaginitis, Apa Yang Perlu Para Wanita Tahu Mengenai Kesihatan Faraj?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 25/07/2021

    Penyakit Vaginitis, Apa Yang Perlu Para Wanita Tahu Mengenai Kesihatan Faraj?

    Jangkitan yis… Vaginosis bakteria… Antara penyakit vaginitis yang sering melanda kaum Hawa.

    Apa sebenarnya punca disebalik kejadianya? Adakah ia hanya mempengaruhi wanita hamil? Bagaimana pula dengan mereka yang berumur?

    Jika kalian berminat untuk ketahui dengan lebih lanjut, teruskan pembacaan!

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.

    Vaginitis

    Vaginitis adalah keradangan pada faraj yang boleh mengakibatkan keputihan, kegatalan dan rasa sakit.

    Penyebab yang sering menyumbang kepada punca adalah perubahan pada keseimbangan normal bakteria dalam faraj atau jangkitan.

    Antara jenis vaginitis yang paling kerap terjadi adalah:

    • Vaginosis bakteria (BV)
    • Jangkitan kulat

    Penyakit vaginitis, vaginosis bakteria

    Vaginosis bakteria (BV) adalah sejenis jangkitan pada faraj. Ia disebabkan oleh perubahan dalam keseimbangan normal bakteria faraj.

    BV biasanya tidak menyebabkan masalah kesihatan yang lain. Tetapi ia berupaya menimbulkan masalah, terutamanya ketika hamil atau berusaha untuk mengandung.

    BV juga boleh terjadi akibat hubungan seksual, terutamanya jika kerap bertukar-tukar pasangan seks.

    Punca-punca

    faraj

    Vaginosis bakteria disebabkan oleh pertumbuhan berlebihan daripada salah satu bakteria yang terdapat secara semula jadi di dalam faraj.

    Untuk keseimbangan yang sihat, bakteria ‘baik’ (lactobacilli) biasanya melebihi bakteria ‘buruk’ (anaerob).

    Justeru, apabila jumlah bakteria anaerob tumbuh berlebihan, ia boleh ganggu keseimbangan mikroorganisma semula jadi di dalam faraj lantas menyebabkan vaginosis bakteria.

    Simptom-simptom

    Tip-tip pencegahan

    Untuk bantu mencegah vaginosis bakteria, kalian harus:

    • Mengurangkan kerengsaan faraj, dengan menggunakan sabun tuala wanita bebas pewangi atau bahan kimia kasar
    • Jangan meruang. Pembasuhan yang kerap mengganggu keseimbangan faraj dan boleh meningkatkan risiko jangkitan
    • Elakkan jangkitan kelamin. Guna kondom, batasi bilangan pasangan seks atau elakkan daripada melakukan persetubuhan bagi mengurangkan risiko jangkitan seksual

    Rawatan vaginosis bakteria

    • Ubat antibiotik (metronidazole, clindamycin, tinidazole)
      • Boleh diperolehi dalam bentuk tablet oral atau gel untuk dimasukkan ke dalam faraj
      • Rawatan perlu dijalani selama 5 ke 7 hari
      • BV cenderung untuk berulang, antibiotik mungkin perlu diambil dalam jangka masa lama

    Penyakit vaginitis, jangkitan kulat

    Jangkitan yis adalah kulat yang menyebabkan kerengsaan, keputihan dan gatal-gatal pada faraj serta vulva.

    Keadaan ini mempengaruhi hingga 3 daripada 4 wanita pada satu-satu masa sepanjang hayatnya.

    Ia berlaku apabila terdapat pertumbuhan organisma kulat yang berlebihan, Candida albicans di dalam faraj.

    Punca-punca

    Pertumbuhan kulat  yang berlebihan boleh berlaku akibat:

    • Penggunaan antibiotik, yang menyebabkan ketidakseimbangan flora faraj secara semula jadi
    • Kehamilan
    • Diabetes yang tidak terkawal
    • Sistem imun terjejas
    • Mengambil pil perancang atau terapi hormon yang meningkatkan tahap estrogen

    Candida albicans adalah jenis kulat yang paling kerap menyebabkan jangkitan yis.

    Gejala-gejala

    • Kegatalan dan kerengsaan pada faraj dan vulva
    • Sensasi terbakar, terutamanya semasa melakukan persetubuhan atau membuang air kecil
    • Kemerahan dan pembengkakan vulva
    • Kesakitan faraj
    • Ruam di faraj
    • Keputihan yang tebal, putih, bebas bau seakan keju kotej
    • Keputihan tekstur berair

    Tip-tip pencegahan

    Untuk mengurangkan risiko jangkitan yis faraj, amalkan untuk memakai seluar dalam yang diperbuat daripada kapas dan tidak terlalu ketat.

    Elakkan juga daripada:

    • Douching (meruang), mengganggu keseimbangan bakteria normal di dalam faraj, yang melindungi daripada jangkitan
    • Produk wanita dengan bahan pewangi
    • Mandian yang sangat panas
    • Penggunaan antibiotik yang tidak diperlukan, seperti selesema atau jangkitan virus lain
    • Memakai pakaian basah, seperti pakaian renang dan sukan, untuk jangka masa yang panjang

    Menguruskan jangkitan yis

    faraj

    Krim antikulat, salap atau supositoria yang dijual bebas (miconazole atau clotrimazole) adalah kaedah sering digunakan untuk merawat jangkitan yis.

    Sekiranya hamil, lebih selamat untuk menggunakan krim atau supositoria, tetapi elakkan pil flukonazol oral.

    Sekiranya menghidap diabetes atau sistem imun lemah, anda mungkin mendapat jangkitan yis berulang kali. Keadaan ini disebut sebagai recurrent vulvovaginal candidiasis (RVVC).

    Sekiranya anda mendapat jangkitan yis sekurang-kurangnya 4 kali setahun, doktor akan mengesyorkan untuk ambil pil flukonazol mingguan selama 6 bulan.

    Remedi rumah

    Sesetengah remedi melibatkan bahan semula jadi, mampu merawat jangkitan yis.

    Harus pembaca faham, keberkesanan mereka adalah berbeza-beza dan bukti kejayaan kebanyakannya bersifat anekdot (tidak boleh dipercayai dan jarang diterima).

    Antara bahan yang dikatakan dapat memberikan kelegaan jika digabungkan dengan rawatan doktor, merangkumi:

    • Yogurt Greek
    • Asid borik
    • Suppositori dan suplemen probiotik
    • Minyak kelapa
    • Minyak tea tree
    • Cuka epal sider
    • Bawang putih

    Namun, tiada bukti saintifik yang membuktikan bahan di atas boleh merawat jangkitan yis. Malah, ada juga yang boleh membawa mudarat. Oleh sebab itu, pastikan anda berjumpa doktor terlebih dahulu sebelum mencuba sebarang remedi di rumah!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 25/07/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan