Bilakah masa yang sesuai untuk melakukan ujian kehamilan bagi wanita yang mengalami sindrom ovari polisistik (PCOS)? Menerusi perkongsian artikel ini, Hello Doktor akan berkongsikan tanda PCOS mengandung yang boleh anda kenal pasti.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.
Memahami apa itu sindrom ovari polisistik
Sebelum anda mengetahui apakah tanda PCOS mengandung, berikut penerangan ringkas mengenai sindrom ovari polisistik.
PCOS adalah keadaan hormon pada wanita di mana tahap androgen (hormon lelaki) meningkat, mengakibatkan haid tidak teratur kerana ovulasi bulanan tidak berlaku.
Punca PCOS tidak difahami sepenuhnya. Namun dipercayai didasari oleh tahap abnormal hormon luteinizing (LH) dan hormon lelaki yang tinggi (androgen) mengganggu fungsi normal ovari.
Simptom PCOS
Tanda dan simptom PCOS biasanya bermula sekitar akil baligh. Pun begitu ada sesetengah wanita mungkin tidak mengalami gejalanya sehingga lewat remaja atau awal dewasa.
Gejala PCOS termasuk:
- Tiada pendarahan haid, haid tidak teratur dan/atau tidak kerap
- Peningkatan pertumbuhan bulu badan biasa pada atas bibir, dagu, kawasan jambang, leher, dada, perut, lengan atas dan paha dalam
- Keguguran rambut
- Jerawat
- Ketidaksuburan
- Pertambahan berat dan obesiti
- Peningkatan risiko penyakit jantung
- Apnea tidur
- Risiko masalah lain:
- Kemurungan
- Kebimbangan
- Disfungsi seksual
- Gangguan makan seperti bulimia dan makan berlebihan (tetapi bukan anoreksia)
Tetapi apakah tanda pcos mengandung?
Tanda PCOS mengandung: Waktu untuk melakukan ujian kehamilan di rumah
Selain daripada tidak datang haid atau morning sickness, wanita PCOS akan mengalami gejala yang sama seperti mereka tanpa sindrom ini. Sebab itulah, wanita yang mengalami PCOS perlu melakukan ujian kehamilan (UPT) sekiranya mengesyaki diri mungkin hamil.
Ini termasuklah gejala biasa seperti:
- Kerap keletihan
- Payudara sakit atau lembut
- Kembung perut
- Sakit kepala
- Perubahan emosi
- Sakit pinggang
Kedengaran seperti gejala biasa dialami wanita ketika datang haid, bukan? Bagi wanita yang mengalami masalah haid tidak teratur, anda mungkin merasakan ia adalah petanda kedatangan haid atau simptom PCOS.
Berikut adalah beberapa perkara yang perlu diingat:
- Tidak mengalami simptom tersebut tidak bermakna anda tidak hamil
- Jika anda telah melakukan hubungan seks tanpa perlindungan 2 hingga 3 minggu (atau lebih) yang lalu dan tidak mengalami haid, mungkin berbaloi untuk melakukan UPT – walaupun anda tidak mengalami haid selama berbulan-bulan dan tidak mengharapkan kehamilan berlaku
Ujian kehamilan positif palsu
Walaupun ia jarang berlaku, tetapi ada kemungkinan untuk mendapat positif palsu pada UPT. Walau bagaimanapun, PCOS bukanlah penyebabnya jika anda mendapat keputusan ini.
Ketika melakukan UPT, ia bergantung pada kehadiran human chorionic gonadotropin (hCG) – hormon kehamilan – untuk menentukan sama ada anda hamil atau tidak dan ia bukanlah hormon yang akan terjejas secara langsung disebabkan sindrom ini.
Tetapi jika anda sedang menjalani rawatan kesuburan yang memerlukan pengambilan ubat tertentu, kemungkinan hCG daripada ubat boleh menyebabkan keputusan UPT menjadi positif palsu.
Penyebab umum lain seperti:
- Menggunakan kit kehamilan tamat tempoh
- Tidak mengikut arahan dengan betul
- Menunggu terlalu lama untuk menyemak keputusan ujian
Seperkara lagi yang mungkin mengakibatkan berlakunya positif palsu, risiko penghidap PCOS untuk mengalami keguguran awal adalah lebih tinggi. Ini memungkinkan anda mendapat hasil positif dan dalam ujian lain keputusan menjadi negatif.
UPT negatif palsu
Tahap hormon tidak teratur apabila anda menghidap PCOS,menjadikan risiko negatif palsu cenderung terjadi.
Anda boleh mencuba ujian kehamilan apabila terlepas haid dan mendapat keputusan negatif walaupun telah hamil. Bahkan, tanda PCOS mengandung juga mungkin tidak disedari sehingga beberapa minggu selepas persenyawaan berlaku.
Baca juga: