backup og meta

Alami Pendarahan Selepas Menopaus? JANGAN Abaikan, Itu Mungkin Petanda Kanser!

Alami Pendarahan Selepas Menopaus? JANGAN Abaikan, Itu Mungkin Petanda Kanser!

Menopaus turut membawa maksud putus haid. Dari segi klinikal, anda mengalaminya apabila tidak didatangi haid selama 12 bulan (1 tahun). Pun begitu, jika berlakunya vagina berdarah pasca menopaus, ketahuilah bahawa ia adalah abnormal dan harus dinilai oleh doktor!

Antara contoh pendarahan yang menjadi keperluan untuk melakukan lawatan ke doktor adalah, pendarahan selepas seks atau pendarahan berat yang bukan sekadar ‘spotting’.

Selalunya, masalah pendarahan sebegini tidak berkaitan dengan menstruasi dan mungkin dipicu oleh sebab lain yang perlu dikenal pasti.

Teruskan membaca untuk merungkai kejadian di sebalik vagina berdarah selepas putus haid!

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkan di sini.

Vagina berdarah, apa puncanya?

Pendarahan pasca menopaus boleh diakibatkan oleh beberapa kondisi. Antara contoh yang paling kerap terjadi adalah:

vagina berdarah

  1. Polip: Polip adalah sejenis pertumbuhan yang boleh terbentuk pada lapisan rahim. Ia biasanya tidak bersifat kanser (cancerous) tetapi boleh mengakibatkan pendarahan yang luar biasa atau berat. Polip juga kadang-kadang boleh tumbuh di dalam saluran serviks. Apabila ini berlaku, pesakit mungkin berisiko alami pendarahan ketika bersenggama.
  2. Atrofi endometrium: Apabila hormon estrogen tidak lagi dihasilkan dek kerana menopaus, lapisan endometrium wanita mungkin mula menjadi lebih tipis. Akibatnya, lapisan endometrium juga lebih cenderung untuk berdarah.
  3. Hiperplasia endometrium: Kondisi ini menyebabkan lapisan rahim menjadi lebih tebal dan bukannya lebih tipis, sehingga memicu pendarahan yang berat atau tidak teratur. Puncanya adalah kewujudan estrogen berlebihan tanpa hormon progesteron untuk mengimbanginya. Hiperplasia endometrium kadangkala turut boleh memicu pembentukan kanser endometrium!
  4. Kanser endometrium: Ia adalah barah lapisan endometrium. Dianggarkan sebanyak 10% wanita pasca menopaus mengalami vagina berdarah akibat kanser endometrium.

Potensi-potensi lain yang berkemungkinan memicu pendarahan pasca menopaus turut termasuk:

  • Trauma di pelvis
  • Penyakit tiroid
  • Masalah pembekuan (clotting)
  • Pendarahan dari saluran kencing
  • Jangkitan pada lapisan rahim, dikenali sebagai endometritis

Ubat-ubatan hormon, seperti tamoxifen, juga boleh membuatkan vagina berdarah selepas menopaus sebagai kesan sampingannya.

Diagnosis doktor

Doktor akan memulakan pemeriksaan untuk pendarahan pasca menopaus dengan bertanyakan tentang gejala yang mungkin dialami pesakit.

Pakar mungkin akan bertanya mengenai:

  • Waktu permulaan simptom
  • Berapa berat pendarahan yang dialami
  • Sama ada mempunyai sejarah keluarga pendarahan pasca menopaus

Bergantung pada gejala seseorang wanita, doktor akan mengesyorkan 1 atau lebih daripada beberapa ujian.

Contoh ujian yang digunakan untuk mendiagnosis pemicu vagina berdarah pasca menopaus, merangkumi:

  1. Histeroskopi: Prosedur ini melibatkan doktor memasukkan alatan nipis dengan kamera kecil di hujungnya untuk memeriksa bahagian dalam rahim dan lapisannya. Pendekatan ini membantu doktor mengenal pasti kehadiran polip atau pertumbuhan abnormal.
  2. Sonohysterography: Prosedur ini melibatkan suntikan cecair melalui faraj dan ke dalam rahim. Doktor kemudian akan menggunakan mesin ultrabunyi, yang mempunyai3 gelombang bunyi untuk kenal pasti perbezaan tisu dan mendapatkan gambaran rahim. Ia dikenali sebagai transabdominal ultrasound. Proses ini juga membolehkan doktor menentukan sama ada lapisan rahim pesakit lebih tebal atau nipis.
  3. Dilation and curettage (D&C): Prosedur ini melibatkan pelebaran serviks untuk mengambil sampel tisu yang lebih besar. Ia juga melibatkan penggunaan alatan khas, digelar histeroskop untuk melihat ke dalam rahim untuk mengenal pasti potensi pertumbuhan.
  4. Biopsi endometrium: Prosedur ini pula melibatkan kemasukan tiub kecil dan nipis ke dalam faraj hingga mencecah serviks, untuk mengambil sampel lapisan tisu dari rahim. Tisu ini kemudiannya diuji untuk kesan keberadaan sel abnormal, seperti sel kanser.
  5. Ultrabunyi transvaginal: Ia melibatkan kemasukan probe ultrabunyi khas ke dalam faraj untuk membolehkan doktor mendapat imej rahim dari bahagian bawah rahim, bukannya dari bahagian bawah perut.

Vagina berdarah pasca menopaus, ini pilihan rawatannya!

Untuk pengetahuan kalian, rawatan pendarahan pasca menopaus sering kali bergantung kepada pemicu yang berkaitan dengan kondisi tersebut.

Doktor boleh mempertimbangkan maklumat yang diperolehi daripada ujian untuk mendapatkan rawatan terbaik.

Beberapa contoh rawatan untuk pemicu yang spesifik, merangkumi:

vagina berdarah

  • Kanser endometrium: Selalunya, rawatan untuk kanser endometrium dilakukan dengan membuang rahim dan juga kelenjar limfa yang berdekatan dengan kawasan barah itu dapat merebak. Prosedur ini dikenali sebagai histerektomi. Bergantung pada penyebaran kanser, pesakit mungkin juga perlu menjalani rawatan kemoterapi berserta radiasi
  • Polip: Rawatan polip boleh merangkumi pembedahan penyingkiran polip agar masalah vagina berdarah terhenti
  • Hiperplasia endometrium: Wanita yang memiliki kondisi ini boleh mengambil ubat progestin, yang dapat bantu mencegah lapisan endometrium daripada menjadi terlalu tebal. Pun begitu, doktor mungkin akan mengesyorkan pesakit melakukan pemeriksaan berkala untuk sel-sel barah di dalam rahim bagi memastikan mereka tidak mempunyai kanser endometrium

Sekiranya wanita mengalami pendarahan faraj akibat penipisan tisu endometrium, doktor boleh mempreskripsikan estrogen faraj. Ubat ini dapat mengurangkan kesan penipisan tisu.

Akhir kata…

Dianggarkan sekitar 4% hingga 11% wanita mengalami kejadian vagina berdarah setelah mereka mengalami menopaus.

Walaupun pendarahan yang tidak teratur semasa menghampiri fasa pramenopaus (perimenopause) boleh dikatakan normal, tetapi vagina berdarah pasca putus haid adalah sebaliknya.

Jika anda didapati mengalami kondisi ini selepas menopaus, jangan sesekali ambil mudah!

Rujuk doktor atau pakar sakit puan kerana dikhuatiri ia merupakan indikasi kepada sesuatu yang lebih parah, seperti kanser endometrium.

[embed-health-tool-ovulation]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Bleeding after menopause. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/menopause/expert-answers/bleeding-after-menopause/faq-20058396. Accessed 1 June 2022.
  2. Bleeding after menopause. https://www.nhs.uk/conditions/post-menopausal-bleeding/#:~:text. Accessed 1 June 2022.
  3. Bleeding after menopause. http://www.health.harvard.edu/womens-health/abnormal-uterine-bleeding-in-peri-and-postmenopausal-women. Accessed 1 June 2022.
  4. Bleeding after menopause. https://www.nia.nih.gov/health/publication/menopause. Accessed 1 June 2022.
  5. Bleeding after menopause. http://www.acog.org/Patients/FAQs/Perimenopausal-Bleeding-and-Bleeding-After-Menopause. Accessed 1 June 2022.

Versi Terbaru

01/06/2022

Ditulis oleh Nisreen Nadiah

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Diperbaharui oleh: Nurul Halifah


Artikel Berkaitan

Nampak Benjolan Abnormal Di Leher? Itu Mungkin Tanda Ketumbuhan, Nodul Tiroid!

Kanser Endometrium


Disemak secara perubatan oleh

Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 01/06/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan