backup og meta

11 Keadaan Ini Punca Tak Datang Haid 1 Bulan (Klu: Bukan Sebab Hamil)

11 Keadaan Ini Punca Tak Datang Haid 1 Bulan (Klu: Bukan Sebab Hamil)

Mesti rasa risau bila lambat datang haid seminggu, apatah lagi sebulan, kan? Tetapi apa yang menjadi sebab tidak datang haid 1 bulan ya? Kenapa darah haid tak keluar? Kenapa period tidak teratur? 

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.

Masalah lambat datang period atau lambat datang haid

Amenorea adalah istilah perubatan bagi individu yang tidak mengalami pendarahan haid semasa tahun reproduktif. 

Ia berlaku apabila anda terlepas kitaran haid selama 3 bulan berturut-turut atau tidak mengalami pendarahan haid pertama pada usia 15 tahun.

Amenorea biasanya berlaku apabila ovari berhenti menghasilkan cukup hormon estrogen. Pelbagai faktor dan keadaan kesihatan boleh menyebabkan kekurangan estrogen.

Sebab tidak datang haid 1 bulan: Jangka pendek

Banyak keadaan boleh menjejaskan keteraturan kitaran haid atau lambat datang haid, termasuklah:

Perubahan berat badan disebabkan gangguan pemakanan

Pertambahan atau penurunan berat badan secara mendadak boleh menyebabkan ketidakseimbangan hormon.

Gangguan pemakanan seperti anoreksia nervosa boleh mengakibatkan disfungsi pada paksi hipotalamus-pituitari-ovari, yang menjadi punca perubahan pada tahap hormon, sekali gus menyebabkan period lambat 1 minggu, sebulan atau terhenti sama sekali.

Stres punca lambat datang haid

Tekanan yang kuat boleh menjejaskan bahagian otak yang mengawal hormon pembiakan. Ini boleh menyebabkan ovulasi dan haid terhenti.

sebab tidak datang haid 1 bulan
Stres boleh sebabkan gangguan haid.

Sebaik sahaja punca tekanan berkurangan atau seseorang individu itu mempelajari strategi untuk mengawal stres, kitaran haid mungkin akan kembali seperti biasa.

Penghasilan prolaktin berlebihan sebab tidak datang haid 1 bulan

Prolaktin adalah hormon yang biasanya dihasilkan oleh badan semasa penyusuan. Ia boleh menjejaskan haid dan kerana itulah kebanyakan wanita menyusu badan tidak mengalami haid. Haid biasanya kembali apabila penyusuan susu ibu dihentikan.

Manakala bagi wanita yang tidak menyusukan bayi, pelepasan susu daripada puting boleh menandakan badan menghasilkan jumlah prolaktin yang luar biasa tingginya. Doktor boleh merawat pengeluaran prolaktin berlebihan dengan ubat.

Sindrom ovari polisistik (PCOS)

PCOS adalah ketidakseimbangan hormon yang boleh menjejaskan kesihatan dan penampilan keseluruhan seseorang wanita, selain mengakibatkan sista ovari.

Ia juga boleh menyebabkan seseorang itu mengalami haid tidak teratur atau period berhenti sepenuhnya.

Selain tidak mengalami haid, wanita dengan PCOS mungkin mengalami gejala lain seperti:

  • Pendarahan ringan, berat atau tidak dapat diramalkan semasa haid
  • Keadaan kulit, seperti jerawat, tompok gelap atau lebihan kulit (skin tag)
  • Berat badan berlebihan atau obesiti
  • Rambut menipis
  • Apnea tidur
  • Kesukaran untuk hamil
  • Lebihan rambut di muka, belakang atau paha
  • Peningkatan keputihan
  • Kekejangan 

Sebab tidak datang haid 1 bulan #Senaman berlebihan

Amenorea adalah keadaan biasa dalam kalangan atlet yang kuat berlatih. Latihan berlebihan boleh menyebabkan badan mengeluarkan hormon tekanan yang boleh mengganggu pengeluaran hormon pembiakan. Kesannya haid tidak teratur atau terhenti.

Kawalan kelahiran hormon

Hormon kawalan kelahiran (kontraseptif) berfungsi dengan menyekat ovulasi. 

Ini bermakna seseorang yang menggunakannya mungkin mengalami perubahan pada haid mereka, termasuklah pendarahan haid awal, lewat atau terhenti sama sekali.

Sebab tidak datang haid 1 bulan dan lebih: Jangka panjang

Sesetengah keadaan kesihatan boleh menyebabkan pendarahan haid seseorang terhenti terus:

Masalah tiroid

Tiroid adalah kelenjar yang menghasilkan hormon untuk mengawal metabolisme badan.

Hipotiroidisme, atau tiroid yang kurang aktif, adalah apabila tiroid tidak menghasilkan cukup hormon ini. Hipertiroidisme, atau tiroid yang terlalu aktif, mengakibatkan tahap hormon tiroid dalam badan terlalu tinggi.

Kedua-dua keadaan di atas boleh menjejaskan kekerapan kitaran haid seseorang.

Simptom lain yang boleh dialami termasuklah:

sebab tidak datang haid 1 bulan
Rambut gugur tanda masalah tiroid.

Perimenopause, salah satu sebab tidak datang haid 1 bulan

Fasa menopaus bernula apabila seseorang wanita itu tidak mengalami haid selama sekurang-kurangnya 12 bulan.

Pun begitu, peralihan kepada menopaus, atau dikenali sebagai perimenopause, boleh menyebabkan gejala mula berkembang pada usia lebih muda.

Simptom lain untuk perimenopause adalah:

  • Pendarahan berat atau ringan
  • Rasa panas (hot flashes)
  • Masalah tidur
  • Perubahan mood
  • Kekeringan faraj
  • Kurang keinginan untuk seks

Diabetes juga sebab tidak datang haid 1 bulan

Individu dengan diabetes jenis 2 berisiko mengalami haid tidak teratur kesan anovulasi – terjadi apabila ovari tidak melepaskan telur ke dalam tiub fallopio.

Apabila keadaan ini dialami, pendarahan haid tidak akan berlaku.

Primary Ovarian Insufficiency (POI)

POI adalah apabila ovari seseorang berhenti berfungsi seperti yang diharapkan sebelum mereka mencapai umur 40 tahun. POI tidak sama dengan menopaus awal atau perimenopause.

Wanita dengan POI mungkin tidak mengalami pendarahan haid bulanan atau mengalami period tidak teratur.

Sindrom Cushing punca lambat datang haid

Sindrom Cushing atau hiperkortisolisme adalah keadaan hormon yang berlaku akibat pendedahan kepada terlalu banyak kortisol atau ubatan yang menyerupai kortisol. 

Individu yang mengalami keadaan ini mungkin mengalami haid tidak teratur atau terhenti.

sebab tidak datang haid 1 bulan
Antara cara untuk cepatkan haid.

Kesimpulan 

Haid tidak teratur atau terlewat adalah perkara biasa, terutamanya pada remaja.

Dalam sesetengah kes, ia boleh disebabkan masalah kesihatan kronik seperti keadaan tiroid, diabetes jenis 2, sindrom Cushing atau PCOS.

[embed-health-tool-ovulation]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. 8 Reasons Why Your Period Is Late. https://health.clevelandclinic.org/why-is-my-period-late/. Accessed on July 28, 2023
  2. Period problems. https://www.womenshealth.gov/menstrual-cycle/period-problems. Accessed on July 28, 2023
  3. Primary Ovarian Insufficiency (POI). https://www.nichd.nih.gov/health/topics/poi. Accessed on July 28, 2023
  4. How Do I Know I’m in Menopause? https://www.menopause.org/for-women/menopauseflashes/menopause-symptoms-and-treatments/how-do-i-know-when-i’m-in-menopause-. Accessed on July 28, 2023 
  5. Polycystic Ovary Syndrome (PCOS). https://www.hopkinsmedicine.org/health/conditions-and-diseases/polycystic-ovary-syndrome-pcos. Accessed on July 28, 2023
  6. Kulshreshtha B, Pahuja I, Kothari D, Chawla I, Sharma N, Gupta S, Mittal A. Menstrual Cycle Abnormalities in Patients with Prolactinoma and Drug-induced Hyperprolactinemia. Indian J Endocrinol Metab. 2017 Jul-Aug;21(4):545-550. doi: 10.4103/ijem.IJEM_515_16. PMID: 28670538; PMCID: PMC5477442. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC5477442/. Accessed on July 28, 2023
  7. Lado-Abeal J, Rodriguez-Arnao J, Newell-Price JD, Perry LA, Grossman AB, Besser GM, Trainer PJ. Menstrual abnormalities in women with Cushing’s disease are correlated with hypercortisolemia rather than raised circulating androgen levels. J Clin Endocrinol Metab. 1998 Sep;83(9):3083-8. doi: 10.1210/jcem.83.9.5084. PMID: 9745407.https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/9745407/. Accessed on July 28, 2023

Versi Terbaru

24/04/2024

Ditulis oleh Asyikin Md Isa

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Diperbaharui oleh: Nurul Nazrah Nazarudin


Artikel Berkaitan

Sakit Nak Bersama Suami Sebab Faraj Kering? Ada 6 Cara Nak Atasi, Pasti Lancar Lepas Ini!

Macam Senggugut Tapi Tak Keluar Haid, Ini Sebab Hamil @ PMS? Kenali Bezanya!


Disemak secara perubatan oleh

Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 24/04/2024

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan