Fibroid, tumor bukan kanser yang tumbuh di dalam rahim, tidak asing lagi bagi wanita. Dalam kes yang teruk, fibroid ketika hamil boleh berlaku.
Dalam kebanyakan kes, wanita dengan ketumbuhan fibroid tidak menyedari bahawa mereka memilikinya, mungkin kerana saiznya terlalu kecil sehinggalah ia menyebabkan komplikasi yang ketara.
Walau bagaimanapun, fibroid yang lebih besar dikhuatiri boleh mempengaruhi kehamilan, perkembangan janin, atau kelahiran.
Teruskan membaca kerana artikel ini bakal mengupas kesan-kesan fibroid ketika hamil.
Apa itu fibroid?
Fibroid ialah ketumbuhan abnormal yang terbentuk pada rahim wanita. Fibroid rahim tidak berkaitan dengan peningkatan risiko kanser rahim dan selalunya tidak pernah berkembang menjadi barah.
Kadangkala, tumor ini menjadi agak besar dan menyebabkan kesakitan abdomen yang teruk bersama darah haid yang terlalu banyak.
Dalam kes lain, ia tidak meninggalkan sebarang gejala atau simptom langsung.
Cara pengurusannya adalah dengan mengurangkan faktor risiko. Sila berbincang dengan doktor untuk maklumat lanjut.
Simptom-simptom
Simptom fibroid rahim boleh terbentuk perlahan selama beberapa tahun atau secara pantas dalam beberapa bulan.
Simptom paling biasa bagi fibroid rahim termasuklah:
- Pendarahan haid yang terlalu banyak
- Tempoh menstruasi berpanjangan melebihi seminggu
- Tekanan atau kesakitan pada pelvik
- Kencing dengan kerap
- Kesukaran mengosongkan pundi kencing
- Sembelit
- Sakit belakang atau sakit kaki
Ia boleh juga meningkatkan risiko untuk beberapa jenis komplikasi kehamilan seperti uri tercabut, gangguan tumbesaran fetus, dan kelahiran pramatang.
Antara gejala fibroid semasa mengandung termasuk:
- Kekejangan teruk, serupa dengan kekejangan haid
- Kesakitan dan ketegangan di perut
- Masalah pencernaan, seperti sembelit
- Sering terasa ingin membuang air kecil, kerana fibroid memberi tekanan pada pundi kencing
Bakal ibu juga mungkin mengalami kesukaran membuang air kecil atau sakit belakang, tetapi simptom ini agak jarang berlaku.
Ini kesan fibroid ketika hamil
Fibroid ketika hamil secara umumnya tidak mempengaruhi kehamilan dengan ketara.
Walau bagaimanapun, fibroid ketika hamil kadangkala boleh menyebabkan:
- Keguguran
- Kelahiran pramatang
- Pecah membran pramatang janin (PROM)
- Pendarahan tidak lama sebelum bersalin
- Malpresentation, di mana janin tidak berada dalam kedudukan yang betul
- Obstructed labor (bayi tidak memasuki pelvis ibu semasa bersalin)
- Pendarahan selepas bersalin
- Nekrosis, mengganggu bekalan darah atau menyebabkan kematian sel
Fibroid juga kadangkala memberi kesan kepada kesuburan wanita, dengan menyebabkan kemandulan.
Penyelidik masih menyiasat bagaimana ia berlaku, tetapi mereka berpendapat ukuran dan kedudukan fibroid menentukan sejauh mana kesannya pada tubuh.
Selain itu, fibroid boleh mempengaruhi proses persenyawaan dengan menghalang tiub fallopio, saluran yang dilalui telur sebelum disenyawakan oleh sperma.
Oleh itu, telur yang disenyawakan mungkin tidak dapat melekat pada dinding rahim jika fibroid menghalangi.
Bagaimana fibroid ketika hamil dirawat?
Semasa mengandung, rawatan untuk fibroid rahim adalah terhad kerana dikhuatiri akan merisikokan kesihatan janin.
Dalam kes yang sangat jarang berlaku, myomectomy dilakukan pada wanita dalam fasa separuh kedua kehamilan mereka.
Prosedur ini dilakukan untuk membuang fibroid dari bahagian luar rahim atau dari dalam dinding rahim tanpa mengganggu uterus.
Tetapi lain pula bagi fibroid yang tumbuh di rongga rahim, kerana biasanya ia dibiarkan kerana kemungkinan risiko terhadap janin.
Merawat fibroid sebelum kehamilan untuk meningkatkan kesuburan
Membiarkan fibroid rahim sebelum kehamilan boleh merisikokan kesuburan anda. Rawatan-rawatan fibroid yang sering dilakukan bagi mengekalkan kesuburan termasuk:
- Myomektomi: Prosedur pembedahan ini digunakan untuk menghilangkan fibroid. Namun, kaedah ini mungkin meningkatkan risiko kelahiran caesar, dan anda perlu menunggu kira-kira 3 bulan selepas prosedur sebelum cuba untuk hamil
- Pil kawalan kelahiran hormon: Sepanjang di bawah pengambilan pil ini, anda tidak akan dapat hamil. Tetapi alat kontraseptif ini mampu membantu meringankan gejala, seperti pendarahan berat dan haid yang menyakitkan
- Peranti intrauterin (IUD): Seperti pil kawalan kelahiran, IUD juga berfungsi bagi mencegah kehamilan. Walau bagaimanapun, ia dapat membantu menghilangkan beberapa simptom sambil mengekalkan kesuburan
- Gonadotropin-releasing hormone (Gn-RH) agonists: Jenis ubat ini akan menyekat pengeluaran hormon yang menyebabkan ovulasi dan haid, jadi anda tidak akan hamil semasa mengambil ubat tersebut. Pun begitu, ia dapat membantu mengecutkan fibroid
- Myolisis: Prosedur ini berfungsi dengan menggunakan arus elektrik, laser, atau pancaran tenaga frekuensi radio untuk mengecilkan saluran darah yang memberi fibroid ‘makan’
Para wanita mungkin juga dapat menurunkan risiko terkena fibroid dengan menjaga diet yang sihat dan meminimumkan masa yang mereka habiskan di kawasan yang tercemar.
Produk makanan yang mengandungi pemanis tiruan, diproses, dan diawet turut meningkatkan peluang terbentuknya pertumbuhan fibroid.
Konklusinya…
Fibroid adalah ketumbuhan yang sering terjadi kepada kaum Hawa, malah para pakar menganggarkan ia telah mempengaruhi sebanyak 40% sehingga 80% golongan wanita.
Bagi sebilangan kes, pertumbuhan ini tidak akan memberi kesan dan tidak memerlukan rawatan, tetapi kadangkala ia mampu mempengaruhi kesuburan.
Di samping itu, bagi kes fibroid ketika hamil boleh jadi sangat berbeza antara individu.
Sekiranya ia menimbulkan risiko kesihatan terhadap kehamilan, bakal ibu itu mungkin memerlukan rawatan pembedahan.
Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan atau kebimbangan, dapatkan nasihat serta pandangan daripada doktor.
[embed-health-tool-ovulation]