Kini, semakin ramai orang dewasa yang pasang pendakap gigi. Selalunya, mereka yang memasang braces inginkan senyuman yang menawan di samping membetulkan struktur gigi yang berlapis atau senget. Namun, tahukah anda, ada juga beberapa jenis gigi yang tak boleh pakai braces?
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan Mulut, sila dapatkannya di sini.
Pendakap gigi
Pendakap gigi selalunya dipakai ketika kanak-kanak atau sewaktu meningkat remaja. Walau bagaimanapun, orang dewasa juga semakin lazim memakai pendakap gigi. Malah, kini hampir 20% pengguna braces adalah orang dewasa.
Di dunia ini, hanya 35% sahaja manusia yang mempunyai gigi yang tersusun dengan sempurna. Malah, menurut sebuah kajian yang dijalankan pada tahun 1998, ramai orang yang memerlukan braces, namun tidak mampu untuk memakainya.
Tinjauan yang dimuatkan di dalam The International Journal of Adult Orthodontics & Orthognathic Surgery ini juga mendapati bahawa hampir 15% orang dewasa mempunyai masalah gigi yang menyebabkan mereka tidak dapat menggigit dengan baik.
Gigi yang senget bukan sahaja akan membuatkan kita rasa rendah diri, ia juga akan memberikan impak yang negatif terhadap kesihatan oral. Malah, risiko untuk menghidap kaviti juga akan meningkat kerana wujudnya lebih banyak tempat untuk bakteria merebak.
Bukan itu sahaja, gigi yang senget juga boleh memberi kesan pada rahang dan membuatkan percakapan menjadi kurang jelas. Ada juga yang mengalami kesukaran untuk menggigit disebabkan kondisi gigi masing-masing.
Jika anda ingin pasang pendakap gigi, anda perlu tahu bahawa ada jenis gigi yang tak boleh pakai braces. Ini penjelasannya.
Mengapa anda perlu memakai braces?
Kebanyakan orang memakai pendakap gigi untuk tujuan kosmetik. Namun, ada banyak lagi faktor yang memerlukan pemakaian braces. Antaranya:
- Gigi yang terlalu senget atau rapat.
- Sukar untuk memberus atau flos kerana kondisi gigi.
- Selalu tergigit lidah dengan gigi.
- Anda tidak boleh menutup mulut dengan betul.
- Sukar untuk menyebut perkataan atau bunyi tertentu.
- Rahang berbunyi ‘klik’ ketika anda mengunyah atau semasa bangun tidur.
- Rasa sakit di sekitar rahang apabila anda mengunyah.
Selalunya, doktor gigi menyarankan pemakaian braces sejak kecil. Jadi, jika anak anda mempunyai masalah gigi, mari tanya pendapat pakar di Komuniti Keibubapaan Hello Doktor.
Adakah jenis gigi yang tak boleh pakai braces?
Untuk mengetahui sama ada anda perlu memakai pendakap gigi ataupun tidak, anda perlu mendapatkan konsultasi daripada doktor terlebih dahulu. Selalunya, gigi yang senget atau tidak tersusun boleh diperbaiki dengan pemakaian pendakap gigi.
Walau bagaimanapun, ada beberapa kondisi yang boleh menyebabkan pemakaian braces menjadi sukar dan tidak selesa. Antaranya:
1. Gigi anda reput
Pemakai pendakap gigi haruslah rajin menjaga kebersihan mulut. Disebabkan braces mempunyai wayar besi, makanan yang tersangkut di antara kawasan tersebut sukar untuk dibersihkan.
Lama-kelamaan, sisa makanan yang tersangkut di kawasan tersebut akan berkumpul dan meningkatkan risiko gigi reput dan penyakit gusi. Jadi, jika anda malas berus gigi, fikir 1,000 kali ya sebelum memasang pendakap gigi!
Jenis gigi yang tak boleh pakai braces #2: Anda mempunyai alahan
Individu yang mempunyai alahan terhadap besi atau getah mungkin tidak boleh pasang pendakap gigi melainkan jika anda ada masalah gusi atau gigi yang teruk.
Walau bagaimanapun, ada bahan lain yang boleh digunakan sebagai ganti.
Jadi, sebelum memasang braces, pastikan anda berbincang dengan doktor terlebih dahulu mengenai sebarang alahan yang dihidapi.
3. Lebih kerap mengalami ulser
Apabila anda memakai braces, bahagian dalam pipi, bibir dan juga gusi akan sering terluka dan sakit, lebih-lebih lagi pada kawasan yang berdekatan dengan bracket dan wayar.
Jika anda kerap mengalami masalah ini, jumpa doktor secepat mungkin. Doktor gigi anda boleh bekalkan ubat-ubatan yang bersesuaian untuk merawat sebarang luka di dalam mulut.
Pun begitu, anda masih boleh menggunakan braces kerana ia mungkin tidak membawa mudarat yang terlalu teruk.
4. Lebih mudah mengalami kaviti
Seperti yang dijelaskan sebelum ini, pemakai pendakap gigi haruslah menjaga kebersihan mulut. Jika tidak, masalah kaviti akan menjadi semakin teruk, lebih-lebih lagi jika anda jarang memberus gigi, flos atau suka mengambil makanan atau minuman yang manis.
Malah, jika anda tidak berjaga-jaga, gigi anda akan mempunyai beberapa kawasan putih yang turut dikenali sebagai dekalsifikasi. Namun, masalah dekalsifikasi boleh diatasi jika anda sering menjaga kebersihan gigi.
Baca juga:
- Trend Pemakaian Braces Terhad Untuk Orang Muda Saja Ke? Tak Sesuai Untuk Golongan Berusia?
- Rimas Pakai Braces? Ini Jawapan TEPAT Berapa Lama Anda Perlu Pakai Pendakap Gigi!
Ikuti konsultasi untuk tahu jenis gigi yang tak boleh pakai braces!
Sebenarnya, tidak ada jenis gigi yang tak boleh pakai braces. Pemakaian pendakap gigi oleh profesional selalunya berkualiti dan mampu memperbaiki masalah gigi yang berlapis, jarak-jarak ataupun senget.
Malah, pemakaian pendakap gigi juga dapat membantu mereka yang jongang atau mempunyai masalah untuk mengigit.
Walau bagaimanapun, braces merupakan satu pelaburan yang sangat mahal. Oleh sebab itu, lakukan konsultasi untuk tahu jenis gigi yang tak boleh pakai braces serta harga yang ditawarkan. Selalunya, sesi konsultasi dijalankan secara percuma.
Tidak kiralah apapun sebab anda ingin memakai pendakap gigi; sama ada untuk tujuan kesihatan atau untuk senyuman yang lebih menawan, prosedur ini perlulah dilakukan oleh doktor gigi yang bertauliah.
Jangan sesekali terpedaya dengan sebarang iklan di media sosial mengenai pemakaian braces yang murah. Besar kemungkinan, ia dilakukan oleh individu yang tidak mempunyai kepakaran. Malah, gigi anda mungkin akan menjadi semakin teruk selepas memakai braces!
[embed-health-tool-bmi]