backup og meta

Nak Rangsang Si Kecil Bercakap? Apa Kata Cuba 7 Tip Yang Dikongsikan Pakar Pediatrik Ini

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 17/01/2023

    Nak Rangsang Si Kecil Bercakap? Apa Kata Cuba 7 Tip Yang Dikongsikan Pakar Pediatrik Ini

    Sememangnya perkembangan semula jadi tidak boleh dipaksa. Tetapi anda boleh merangsang perkembangan bahasa anak. Ada cara ajar anak bercakap yang boleh ibu bapa cuba!

    Pentingnya perkembangan bahasa anak

    Perkembangan bahasa adalah fasa penting dalam tumbesaran kanak-kanak.

    Kenapa?

    Ini kerana ia menyokong kemampuan anak untuk berinteraksi serta memahami dan meluahkan perasaan mereka.

    Barulah kita sebagai ibu bapa tahu apa yang anak fikirkan atau rasai, kan?

    Selain itu, ia juga menyokong proses pemikiran dan penyelesaian masalah serta mengembangkan dan menjaga hubungan.

    Kemampuan untuk belajar memahami dan menggunakan bahasa adalah langkah penting dalam literasi.

    Bahkan ia juga asas untuk mengembangkan kemahiran membaca serta menulis.

    Secara amnya, dalam 12 bulan pertama kehidupan mereka, anak akan mengembangkan banyak asas yang menyokong perkembangan pertuturan dan bahasa.

    Perkembangan bahasa anak ini akan ditingkatkan pada kadar yang luar biasa dalam tempoh 3 tahun pertama kehidupan.

    Ini bermakna ia adalah kemahiran penting buat si kecil. Jadi apakah cara ajar anak bercakap yang boleh dicuba?

    cara ajar anak bercakap

    Cara ajar anak bercakap: Bertutur dengan si kecil

    Banyak cara yang boleh kita sebagai ibu bapa gunakan untuk menggalakkan perkembangan bahasa anak.

    Bercakap tentang apa yang berlaku dalam kehidupan seharian adalah cara yang baik dan mudah untuk meningkatkan bilangan perkataan yang didengar anak.

    Hmmm..apa yang sesuai untuk dibualkan dengan si kecil, ya?

    Anda boleh bercakap mengenai perkara yang masuk akal kepada anak, seperti apa yang dilihat atau dilakukan bersama.

    Kunci paling mustahak adalah menggunakan perbendaharaan kata dan perkataan berbeza dalam konteks yang berlainan. 

    Misalannya, berboraklah dengan si kecil mengenai bunga serta jenis warna-warna yang ada.

    Ia dapat membantu anak mengetahui makna dan fungsi perkataan dalam dunianya. 

    Mesti anda terfikir boleh ke anak yang berusia tak sampai setahun itu untuk memahami apa yang dikatakan.

    Hakikatnya, situasi itu bukan satu masalah besar. Ini kerana pemahaman mereka akan bertambah seiring perkembangan bahasa anak.

    Cara ajar anak bercakap: Tip daripada pakar pediatrik

    Bercakap dan berbual dengan si manja secara berterusan sepanjang hari adalah cara ajar anak bercakap yang terbaik untuk diamalkan.

    Tak dinafikan, mungkin sekali sekala anda mungkin rasa kelakar untuk melakukannya. Tetapi percayalah, pendedahan berterusan ini membantu perkembangan bahasa anak. 

    Menurut Dr Redza Zainol, melalui perkongsiannya di laman Twitter memberitahu, semakin banyak perkataan digunakan ibu bapa ketika bercakap dengan si kecil berusia 8 bulan, lebih besar jumlah perkataan tersimpan dalam memori mereka.

    cara ajar anak bercakap
    sumber: Twitter Dr Redza Zainol

    7 tip galakkan anak bertutur

    Beliau yang merupakan seorang pakar pediatrik ini juga turut berkongsikan tip untuk merangsang dan menggalakkan anak bercakap, seperti:

    1. Cara ajar anak bercakap: Mulakan dengan perkataan pendek dan mudah

    Dalam merangsang perkembangan bahasa anak, anda harus bercakap dengan jelas dan ringkas.

    Contohnya, untuk perkenalkan anggota badan, sebutkan perkataan sebenar ‘mata’.

    Apabila usia anak semakin meningkat, anda boleh menyanyikan lagu-lagu mudah. Ia dapat membantu si kecil mempelajari irama pertuturan.

    Secara mudahnya sebagai ibu bapa, jadilah model pertuturan yang baik.

    2. Beri masa untuk anak proses apa yang sudah disebut

    Semasa bercakap dengan anak, jangan meletakkan harapan yang tinggi bahawa mereka akan dapat menangkap dan menyebut apa yang diajarkan.

    Banyak sebab kenapa perlunya untuk anda tidak boleh tergesa-gesa ketika mengajar anak bercakap

    Percayalah apabila anda memperlahankan rentak semasa bertutur dengan anak, mereka akan lebih mendengar dan memahami.

    3. Kekalkan pandangan mata dan sentiasa tersenyum

    Berikan tumpuan kepada anak semasa mereka bercakap dengan anda.

    Berikan pujian dan senyuman kepada si kecil apabila mereka menyatakan sesuatu kepada anda dengan betul.

    Ini dapat menunjukkan bahawa anda memahami apa yang dikatakan mereka.

    4. Ekspresi wajah berbeza

    Bayangkan seseorang berborak dengan anda dan menggunakan mimik muka yang pelbagai? Sudah tentu anda lebih berminat untuk mendengarnya, kan?

    Begitu juga keadaannya dengan si kecil.

    Salah satu cara ajar anak bercakap adalah dengan menunjukkan ekspresi wajah yang pelbagai.

    Anda boleh mengedipkan mata, mengangakan mulut dan sebagainya saat berbual atau membacakan buku cerita kepada mereka.

    cara ajar anak bercakap

    5. Gunakan suara yang berbeza tona (high pitch) dan irama

    Sama seperti penggunaan ekspresi wajah, nada suara yang berbeza dapat menarik minat dan tumpuan anak kepada apa yang anda ucapkan. 

    Usahlah menjerit kerana ia boleh membuatkan anak terkejut.

    Cuma pastikan ungkapan anda jelas dan berirama mengikut situasi.

    Sebagai contoh, anda boleh bermain dengan penggunaan suara atau bunyi haiwan, seperti bunyi katak atau kambing. 

    Ia secara tidak langsung membantu anda meniru dan berlatih suara serta nada yang berbeza.

    6. Gunakan sebutan yang jelas

    Antara kesilapan yang sering dilakukan ibu bapa saat merangsang kemahiran bahasa anak adalah mengikut pelat anak.

    Haaa…mesti ada yang terasa, kan?

    Walaupun anda berasakan cara itu seolah-olah dapat mendekatkan diri dengan si kecil, namun ia sebenarnya tidak membantu perkembangan bahasa anak.

    Sebaiknya, sebut perkataan yang betul dan jelas. Jika anak pelat, perbetulkan kesilapan tersebut.

    7. Gunakan perkataan yang betul 

    Dalam perkongsian cara ajar anak bercakap terakhir dikongsikan oleh Dr Redza, ibu bapa perlu menggunakan perkataan yang betul.

    Contohnya, jika mengajar anak makan, sebut ‘makan’ dan bukannya ‘mamam’.

    Dengan menggunakan perkataan sebenar dan bukannya bahasa bayi, ia dapat membantu mengembangkan perbendaharaan kata mereka. 

    cara ajar anak bercakap

    Berjumpa doktor

    Walau apa pun setiap ibu bapa harus sedar bahawa setiap anak akan melalui proses tumbesaran yang berbeza.

    Pun begitu, sekiranya anda mempunyai sebarang kebimbangan mengenai perkembangan bahasa anak, disarankan untuk melakukan pemeriksaan dan rundingan dengan doktor.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 17/01/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan