backup og meta

Gigi Makin Ngilu? Mungkin Enamel Gigi Anda Dah Mula Terhakis Sebab Makanan Ni!

Enamel gigi ialah lapisan keras yang menutupi bahagian luar gigi, melindungi tisu dalaman seperti dentin dan saraf daripada bakteria serta asid makanan. Apabila enamel semakin haus atau rosak, gigi jadi lebih sensitif, mudah berlubang dan boleh menjejaskan senyuman.

Gigi Makin Ngilu? Mungkin Enamel Gigi Anda Dah Mula Terhakis Sebab Makanan Ni!

Jadi, penting untuk kita faham apa yang boleh melemahkan enamel, cara menjaganya dan makanan yang diam-diam boleh “menghakis” perlindungan semula jadi ini.

Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan Mulut, anda boleh klik di sini.

Ketebalan enamel gigi: tak semua orang sama

Ketebalan enamel berbeza bagi setiap individu dan biasanya dipengaruhi oleh faktor genetik, usia dan tabiat harian. 

Enamel yang tebal memberikan perlindungan lebih kuat terhadap asid dan bakteria, manakala enamel yang nipis lebih mudah terhakis.

Antara faktor yang boleh menipiskan ketebalan enamel gigi ialah:

  • Pengambilan makanan atau minuman berasid seperti soda, kopi dan jus sitrus
  • Memberus gigi terlalu kuat atau menggunakan berus gigi berbulu kasar
  • Gigi yang digesek (bruxism) ketika tidur
  • Kekurangan air liur yang membantu meneutralkan asid dalam mulut

Semakin lama, masalah ini boleh meningkatkan risiko kerosakan gigi kekal.

Enamel gigi terhakis: punca dan tanda yang perlu diberi perhatian

enamel gigi
Enamel melindungi daripada kerosakan dan rasa ngilu.

Apabila enamel terhakis, gigi kehilangan lapisan pelindung semula jadi dan menjadi sensitif terhadap makanan panas, sejuk, atau manis.

Antara tanda-tanda enamel gigi terhakis termasuk:

  • Warna gigi menjadi kekuningan kerana lapisan dentin mula kelihatan
  • Gigi terasa ngilu bila makan makanan tertentu
  • Permukaan gigi kelihatan tidak sekata atau berkilat berlebihan akibat kehilangan mineral

Punca utama enamel terhakis ialah pengambilan makanan berasid, tabiat menggigit objek keras, dan penjagaan gigi yang tidak konsisten.

Cara menebalkan enamel gigi secara semula jadi

Walaupun enamel ini tidak boleh tumbuh semula, anda masih boleh menguatkan dan “menebalkannya” dengan amalan pemulihan mineral.

Antara cara menebalkan enamel gigi ialah:

  • Gunakan ubat gigi yang mengandungi fluorida untuk membantu proses remineralisasi
  • Banyakkan minum air kosong bagi mengekalkan kelembapan mulut
  • Kurangkan pengambilan makanan berasid seperti air berkarbonat, jeruk dan limau
  • Ambil makanan tinggi kalsium dan fosfat seperti susu, keju, dan yogurt
  • Elak memberus gigi sejurus selepas makan makanan berasid (tunggu sekurang-kurangnya 30 minit)

Langkah-langkah ini membantu mengekalkan kekuatan dan ketahanan enamel dalam jangka panjang.

Cara memperbaiki enamel gigi dengan rawatan moden

enamel gigi
Gigi yang sihat dan kuat.

Selain penjagaan di rumah, cara memperbaiki enamel gigi juga boleh dilakukan di klinik pergigian.

Antara rawatan yang biasa dilakukan termasuk:

  • Fluoride treatment – lapisan pelindung khas yang membantu mengembalikan mineral enamel
  • Dental bonding – bahan resin digunakan untuk menampal kawasan enamel yang haus
  • Veneer – lapisan nipis seramik diletakkan pada permukaan gigi untuk melindungi enamel yang rosak

Berundinglah dengan doktor gigi untuk rawatan terbaik mengikut tahap kerosakan gigi anda.

Makanan harian yang boleh rosakkan enamel

Ramai tidak sedar, beberapa makanan yang kita ambil setiap hari sebenarnya boleh mempercepatkan hakisan enamel.

Antara makanan dan minuman tersebut ialah:

  • Minuman berkarbonat dan tenaga – tinggi asid dan gula
  • Buah sitrus seperti limau, lemon dan oren – walaupun berkhasiat, asidnya boleh menghakis enamel
  • Kopi dan teh – boleh menyebabkan pewarnaan dan melemahkan struktur enamel
  • Gula-gula keras atau masam – melekat pada gigi dan menghasilkan asid bakteria
  • Makanan bergoreng dan tinggi karbohidrat – boleh meningkatkan penghasilan plak dan bakteria mulut
enamel gigi
5 tabiat buruk yang menyebabkan masalah gigi.

Untuk elakkan kerosakan enamel, cuba bilas mulut selepas makan makanan berasid dan elakkan memberus gigi terus selepas makan.

Kesimpulan

Menjaga enamel ini bukan sekadar untuk senyuman yang cantik, tapi juga untuk kesihatan mulut jangka panjang. 

Dengan memahami ketebalan enamel, mengenal pasti tanda-tanda ia terhakis serta amalkan cara menebalkan dan memperbaikinya, anda boleh elakkan kerosakan yang serius. 

Ingat, cegah lebih baik daripada merawat!

[embed-health-tool-bmi]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tooth Enamel. https://my.clevelandclinic.org/health/body/24798-tooth-enamel. Diakses pada Oktober 13, 2025.

Cavities and tooth decay. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/cavities/symptoms-causes/syc-20352892. Diakses pada Oktober 13, 2025.

How To Repair Tooth Enamel: Tips and Techniques. https://mypenndentist.org/dental-tips/2023/09/10/tooth-enamel-restoration/. Diakses pada Oktober 13, 2025.

Dental erosion. https://www.dentalhealth.org/dental-erosion. Diakses pada Oktober 13, 2025.

Tooth Enamel Loss: Signs, Causes, and Prevention Tips. https://mypenndentist.org/dental-tips/2023/03/20/tooth-enamel-erosion/. Diakses pada Oktober 13, 2025.

Versi Terbaru

17/10/2025

Ditulis oleh Muhammad Wa'iz

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Diperbaharui oleh: Annes Nadia


Artikel Berkaitan

Jangan Pandang Remeh, Masalah Gigi Boleh Jadi Punca Mental Anda Terganggu!

Tangan Menggigil Bukan Sebab Cuaca Sejuk Je, Ini Tanda Awal Parkinson!


Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor · · · Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Dikemas kini 17/10/2025

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?