backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

STOP Memandu Ketika Mabuk! Ini Risiko Untuk Anda & Orang Lain

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 24/06/2020

    STOP Memandu Ketika Mabuk! Ini Risiko Untuk Anda & Orang Lain

    Buka sahaja berita atas talian atau media sosial, pasti setiap hari akan ada isu kemalangan jalan raya. Ya, memang benar malang itu tidak berbau. Namun, sekarang ini sering sahaja kita disajikan dengan berita kemalangan yang berpunca daripada pemandu mabuk. 

    Persoalannya, mengapa ramai yang masih berdegil memandu ketika sedang mabuk?

    Ia adalah perbuatan yang mungkin akan meragut nyawa orang lain atau anda sendiri. Sila ikuti artikel ini untuk tahu sebab kita TIDAK BOLEH memandu ketika sedang dalam pengaruh alkohol!

    mabuk

    Kes di Klang, Selangor

    Pada 27 Januari lalu, telah tular satu video sebuah kereta yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 46 tahun, dipercayai di bawah pengaruh alkohol bertindak merempuh 11 kenderaan lain di kawasan parkir rumah flat berdekatan situ.

    Selepas disiasat oleh pihak berkuasa, didapati suspek sedang cuba melarikan diri daripada pihak polis dengan menggunakan kenderaan pacuan empat rodanya, Namun gagal ekoran dia terlanggar sebuah tiang elektrik.

    Mujur tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan. Akan tetapi, kes ini menunjukkan bahawa individu yang berada di bawah pengaruh alkohol tidak sepatutnya memandu kerana ia boleh membahayakan nyawa serta merosakkan harta benda awam.

    Kes di Georgetown, Pulau Pinang

    Kes yang berlaku pada 25 Januari lalu ini telah mengakibatkan dua orang cedera ringan dan seorang cedera parah selepas kenderaan dinaiki mereka dirempuh oleh seorang pemandu mabuk di sebuah jalan raya berdekatan situ.

    Menurut pihak berkuasa, kemalangan dikatakan berlaku apabila kenderaan yang dipandu seorang lelaki berusia 24 tahun yang dipercayai di bawah pengaruh alkohol, hilang kawalan apabila tiba di lampu isyarat lantas melanggar sebuah kereta dan motosikal lain.

    Ini membuktikan pemandu mabuk memang tidak boleh dibenarkan berada di atas jalan raya. Mungkin dalam kes ini, ia hanya menyebabkan kecederaan. Namun, ia boleh mengakibatkan kematian jika tidak dibendung dengan kadar segera.

    Hukuman berat perlu diberi ke atas pemandu mabuk!

    Hakikatnya, sudah banyak insan yang terkorban akibat pemandu mabuk ini. Apa yang menghairankan, hukuman terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab ini masih boleh dikatakan ringan di negara kita.

    Untuk pengetahuan anda, kerajaan Taiwan kini sedang bercadang untuk menjatuhkan hukuman mati terhadap pesalah yang menyebabkan kemalangan maut akibat memandu dalam keadaan mabuk. Adakah ia satu keputusan yang tepat? Terpulang kepada individu untuk menilainya.

    Lantaran kes isu kemalangan maut akibat pemandu mabuk yang semakin menjadi-jadi, pihak berkuasa negara ini sudah mula mengkaji semula hukuman yang perlu diberikan terhadap pesalah dan mungkin akan memindanya kelak.

    Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azsman Alias, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengadakan perbincangan dalam masa terdekat.

    Dikatakan, hukuman bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian akan dikenakan denda maksimum RM10,000 dan penjara tidak lebih 12 bulan akan dipinda. Ia adalah satu keputusan yang tepat untuk dilakukan.

    mabuk

    Kenapa tidak boleh memandu ketika mabuk?

    Jawapannya sudah terang lagi bersuluh. Ini kerana perbuatan ini boleh mengakibatkan kerosakan harta benda awam serta kematian individu yang tidak bersalah.

    Tahukah anda, kira-kira 30 orang di Amerika Syarikat meninggal dunia berpunca daripada pemandu mabuk setiap hari? Angka yang sangat mengejutkan, bukan?

    Tiada siapa yang mahu angka ini meningkat. Jadi, memandu ketika sedang dalam pengaruh minuman keras sudah tentu adalah satu perbuatan yang tidak seharusnya dilakukan. Namun, tiada siapa yang boleh melarang anda untuk mengambil alkohol. Cuma, jangan memandu semasa mabuk!

    Ini sebabnya kenapa kita tidak boleh memandu semasa sedang dalam pengaruh alkohol:

    • Reaksi – refleks tubuh badan anda akan menjadi sedikit merosot
    • Penglihatan – mata anda akan menjadi sedikit kabur akibat otot mata yang semakin lemah
    • Pertimbangan – keupayaan anda untuk menjangka dan memastikan kedudukan kenderaan menjadi kurang tepat
    • Konsentrasi – sudah pasti anda yang mabuk ini tidak mampu memberikan perhatian sepenuhnya ketika memandu
    • Komprehensi – anda juga tidak mampu membuat keputusan yang rasional ketika ini
    • Koordinasi – Keseimbangan mata, tangan dan kaki akan merosot akibat terlalu banyak mengambil alkohol

    mabuk

    Apa yang boleh dilakukan?

    Ini perkara yang anda perlu beri perhatian sebelum anda mengambil minuman keras bersama rakan-rakan anda dan merancang untuk memandu selepas itu:

  • Jangan sesekali memandu. Sebaiknya, dapatkan teksi untuk pulang ke rumah.
  • Bawa seorang rakan yang tidak minum alkohol. Minta dia yang memandu untuk menghantar anda pulang.
  • Sorok kunci kereta daripada rakan yang sedang mabuk. Jangan biarkan dia memandu.
  • Pesan kepada rakan-rakan lain untuk tidak memandu selepas mengambil alkohol. Walaupun jumlah pengambilan hanya sedikit, ia masih boleh membahayakan.
  • Pakai tali pinggang keledar setiap masa. Ini mungkin dapat melindungi anda daripada dirempuh pemandu mabuk yang lain di atas jalan raya.
  • Konklusi

    Kesimpulannya, sudah ramai insan tidak bersalah yang terkorban gara-gara pemandu mabuk. Ya, mungkin ada yang anggap ia sebagai satu kemalangan yang tidak disengajakan. Namun, ia adalah salah anda yang mengambil minuman keras tanpa memikirkan akibatnya kelak.

    Jadi, sila bertanggungjawab atas setiap perbuatan yang anda lakukan. Jangan semata-mata disebabkan keegoan dan kealpaan anda, orang lain yang menjadi mangsa!

    Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 24/06/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan