Kajian telah menunjukkan bahawa pergerakan mata membantu mengalihkan perhatian otak daripada kesan memori traumatik. Gabungan memori pesakit dan dan pergerakan mata membantu otak memproses kenangan yang traumatik.
Ini menjadikan trauma bukan lagi “memori yang terperangkap” dan pesakit dapat melepaskannya. EMDR mempunyai kadar kejayaan yang tinggi jika pesakit menghabiskan semua sesi rawatan. Sesetengah pesakit dapat memproses satu peristiwa traumatik dalam sekurang-kurangnya tiga sesi, manakala pesakit lain memerlukan 12 atau lebih sesi untuk memproses peristiwa trauma sepenuhnya. Setiap pesakit adalah berbeza, dan anda harus mematuhi cadangan ahli terapi anda untuk hasil terbaik.
Kajian sains terhadap EMDR
Walaupun terapi EMDR biasa digunakan sesetengah ahli psikiatri dan terbukti berkesan, kaedah ini masih dianggap kontroversi bagi yang lain kerana mekanisme keberkesanannya yang tidak diketahui. Pun begitu, kajian baharu menunjukkan mekanisme EMDR mengubah tindak balas emosi daripada memori trauma.
Dalam kajian yang diterbitkan JNeurosci didapati bahawa pergerakan mata daripada sisi ke sisi boleh menyahaktifkan amigdala, bahagian otak yang penting untuk belajar tentang ketakutan. Kajian kedua pula menunjukkan bahawa kaedah menyahaktifkan amigdala ini membantu otak mengasingkan kaitan antara ransangan dan tindak balas ketakutan. Aktiviti amigdala yang berkurang dalam terapi EMDR ini dipercayai disebabkan telah disibukkan dengan pergerakan mata daripada sisi ke sisi.
Dalam kata lain, anda tidak lagi melihat ransangan atau memori tersebut sebagai menakutkan. Bagi mangsa kemalangan contohnya, mereka mungkin berasa lega masih hidup dan bukan lagi tertumpu kepada ingatan nasib buruk kerana mengalami kemalangan.
Jika anda menghadapi masalah PTSD atau masalah berkaitan trauma yang lain, anda boleh mencuba terapi EMDR dengan ahli terapi berlesen.