Walaupun tangisan adalah bahagian penting dalam tahap-tahap kesedihan bagi kebanyakan individu, kekurangan air mata bukanlah satu petanda masalah. Kerana setiap individu adalah berbeza. Terdapat individu yang cenderung untuk menangisi apa juga situasi yang melibatkan emosi dan sistem saraf bertindak balas terhadap tekanan, khususnya kesedihan.
Air mata sebagai ubat
Beberapa manfaat air mata mungkin mempunyai kaitan biologi. Apabila kita mengalami gangguan emosi yang teruk seperti kehilangan individu yang kita sayang, tubuh kita akan menghasilkan sejumlah bahan biokimia kuat yang dapat memberikan penyembuhan.
Bahan biokimia tersebut adalah sama seperti heroin dan morfin, dan air mata adalah salah satu cara bahan biokimia ini diedarkan ke dalam tubuh. Air mata membawa bahan biokimia ini ke permukaan bola mata kita, di mana ia akan diserap dan berfungsi untuk melegakan kesakitan emosi. Ini secara tidak langsung, menjadi penjelasan paling baik, mengapa sesetengah individu akan berasa lebih baik selepas mengalirkan air mata.
Apa yang akan berlaku jika anda menahan tangisan?
Jika terdapat individu yang tidak dapat mengeluarkan air mata walaupun mereka amat berkeinginan untuk menangis, ini bermakna mereka telah menolak ubatan paling mujarab yang dapat meredakan tekanan. Kajian juga membuktikan bahawa menangis mungkin cara untuk menyingkirkan bahan yang dapat mengganggu emosi dan tahap kesejahteraan diri.