Punca dan kesan prosopagnosia
Keadaan neurologi yang menyebabkan prosopagnosia belum difahami dengan baik. Satu teori menyebut bahwa keadaan ini merupakan suatu kelainan, kerosakan, atau gangguan pada bahagian tertentu otak. Ini melibatkan bahagian otak yang menyelaraskan sistem saraf yang mengawal persepsi wajah dan memori. Kajian mendapati bahawa otak memproses gambar wajah dengan cara yang berbeza berbanding ketika ia memproses gambar objek lainnya.
Prosopagnosia boleh menyebabkan kesan berikut kepada peghidapnya bergantung kepada tahap keadaan mereka daripada sederhana hingga teruk:
- Seseorang yang mempunyai prosopagnosia mungkin mengelakkan interaksi sosial dan menghidap gangguan keresahan sosial (social anxiety disorder). Mereka juga mungkin mengalami kesukaran membentuk hubungan atau mengalami masalah dengan kerjaya mereka. Episod kemurungan biasa berlaku dalam penghidap prosopagnosia.
- Sesetengah orang yang mempunyai prosopagnosia tidak dapat mengenali ekspresi wajah tertentu, menilai umur seseorang atau jantina, atau membalas tatapan seseorang. Bahkan ada yang tidak mengenali muka mereka sendiri dalam cermin atau dalam foto.
- Prosopagnosia boleh menjejaskan keupayaan seseorang untuk mengenal pasti objek, seperti tempat atau kereta. Ramai orang juga menghadapi kesukaran memandu arah. Ini boleh melibatkan ketidakupayaan untuk memproses sudut atau jarak, atau masalah mengingati tempat dan mercu tanda.
- Mengikuti plot filem atau rancangan televisyen boleh menjadi hampir mustahil bagi seseorang yang mempunyai prosopagnosia kerana sukar mengenal pasti watak.
Menangani prosopagnosia

Prosopagnosia tidak mempunyai rawatan yang khusus. Individu dengan prosopagnosia selalunya menggunakan cara lain untuk mengenal pasti orang lain. Mereka mungkin mengenali orang lain melalui suara, gaya rambut, pemakaian atau cara jalan. Mereka juga mungkin menunggu orang lain untuk memulakan perbualan supaya mereka dapat mengenalinya dengan suara.
Persekitaran di mana orang memakai pakaian serupa, seperti sekolah atau pakaian seragam, boleh menyukarkan mereka. Selain itu, pesakit mungkin gagal mengenali seseorang jika mereka telah menukar gaya rambut mereka atau memakai topi. Di sekolah, kanak-kanak dengan keadaan ini mungkin menghadapi masalah mengenali rakan dan guru. Sebagai orang dewasa, sesetengah penghidap sengaja memilih kerjaya yang tidak memerlukan interaksi sosial dan ramai yang mengelakkan situasi sosial yang mencabar.
Selalunya penghidap prosopagnosia membesar dengan menyalahkan diri mereka sendiri, kerana menyangka mereka kurang memberi tumpuan atau ingatan yang lemah. Malangnya, tafsiran seperti ini diperkukuh oleh ibu bapa dan guru, tanpa menyedari keadaan sebenar mereka. Sedangkan buta wajah sebenarnya tidak berkaitan dengan masalah ingatan, perhatian atau kebijaksanaan seseorang.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen