backup og meta

Kerap Marah-Marah Tanpa Sebab Dengan Pasangan? Anda Mungkin Alami Gangguan Personaliti Ini

Kerap Marah-Marah Tanpa Sebab Dengan Pasangan? Anda Mungkin Alami Gangguan Personaliti Ini

Ada satu gangguan personaliti yang boleh menjejaskan hubungan seseorang dengan individu lain. Gangguan tersebut dikenali sebagai gangguan keperibadian sempadan (borderline personality disorder).

Ketahui dengan lebih lanjut berdasarkan maklumat di bawah ini. 

Maksud gangguan keperibadian sempadan

Gangguan keperibadian sempadan adalah sejenis gangguan kesihatan mental yang boleh mempengaruhi cara anda berfikir tentang diri anda dan orang lain.

Ia boleh menyebabkan masalah untuk menjalani kehidupan seharian dengan baik. Sekiranya seseorang mempunyai keadaan ini, mereka akan menghadapi kesukaran untuk menguruskan emosi dan tingkah laku.

Selain itu, mereka juga mempunyai hubungan yang tidak stabil dengan individu lain. Apabila mempunyai gangguan personaliti ini, seseorang itu akan mempunyai rasa takut yang kuat untuk ditinggalkan.

Seseorang itu juga mungkin akan menghadapi kesukaran untuk tinggal bersendirian.

Seseorang yang mempunyai gangguan ini juga akan kerap berasa marah selain emosi yang tidak stabil sehingga menyebabkan orang lain tidak mahu menghampirinya.

Namun, dia masih tetap ingin mempunyai hubungan dan rasa disayangi bersama pasangan atau orang lain. 

Tanda atau simptom seseorang itu mengalami gangguan personaliti ini

gangguan keperibadian sempadan

Terdapat beberapa tanda atau simptom-simptom bagi mengenal pasti sekiranya anda atau individu di sekeliling anda mempunyai gangguan keperibadian sempadan.

Berikut adalah antara simptom-simptom yang boleh dilihat dan dikesan:

  • Berasa takut untuk ditinggalkan oleh orang lain walaupun kerap membuat perkara yang membuatkan orang lain menjauh daripadanya
  • Mempunyai corak perhubungan yang tidak stabil. Sebagai contoh, ada masanya begitu menyanjung perangai pasangannya, namun ada masanya juga percaya bahawa pasangannya tidak menyayanginya
  • Perubahan yang begitu cepat dalam identiti diri yang melibatkan perubahan matlamat dan nilai. Kadangkala seseorang itu melihat dirinya sebagai seorang yang tidak berguna
  • Tempoh paranoia yang berkaitan dengan tekanan dan tidak menyedari kenyataan yang berlaku. Ia boleh berlaku dalam tempoh beberapa minit hingga beberapa jam
  • Tingkah laku impulsif dan berisiko, seperti perjudian, memandu secara semberono, melakukan seks yang tidak selamat, makan berlebihan atau penyalahgunaan dadah. Ada juga yang secara tiba-tiba berhenti kerja atau mengakhiri hubungan yang baik dengan individu lain
  • Mengancam atau melakukan tindakan yang boleh mengancam nyawa. Ini selalunya berlaku sebagai tindak balas kepada ketakutan terhadap perpisahan atau penolakan
  • Perubahan mood yang sangat lama. Perubahan mood ini boleh berlaku selama beberapa jam hingga beberapa hari
  • Memiliki perasaan kekosongan yang berterusan
  • Kemarahan yang sering berlaku tanpa sebab seperti cepat marah atau cenderung untuk bertumbuk atau bergaduh

Punca yang menyebabkan gangguan personaliti ini

Seperti mana kebanyakan masalah gangguan mental yang lain, punca gangguan keperibadian sempadan ini juga tidak dapat difahami dengan baik.

Namun, ada tiga kemungkinan punca yang menyebabkan ia berlaku:

  • Persekitaran: Ini termasuklah sejarah penderaan yang dialami sewaktu kecil atau pernah ditinggalkan sewaktu masih kanak-kanak
  • Genetik: Seseorang yang mempunyai gangguan ini mungkin mewarisinya daripada mana-mana ahli keluarga lain yang pernah mempunyai sejarah mengalami gangguan mental
  • Kelainan pada otak: Kajian ada menunjukkan bahawa terdapat perubahan pada kawasan tertentu otak yang melibatkan emosi manusia. Selain itu, sesetengah bahan kimia dalam otak seperti serotonin juga mungkin tidak berfungsi dengan baik

Mengapa individu yang mempunyai gangguan keperibadian sempadan ini sukar untuk mengekalkan perhubungan?

gangguan personaliti

Pertama sekali, ini kerana gangguan keperibadian sempadan ini adalah sejenis gangguan yang berlaku secara berterusan.

Ia boleh menyebabkan kesukaran kepada penghidapnya untuk mengawal emosi diri mereka sendiri.

Emosi penghidap gangguan ini kerap berubah-ubah tanpa sebab sehingga menyebabkan pasangan mulai menjauh.

Selain itu, disebabkan penghidap gangguan ini amat takut ditolak atau ditinggalkan, mereka juga mungkin akan lebih awal meninggalkan pasangan mereka berbanding pasangan mereka meninggalkan mereka.

Bagi mereka yang berhubungan dengan pasangan yang mempunyai gangguan ini, anda mungkin akan merasakan perasaan sayang dan benci dalam masa yang sama.

Oleh sebab itu, jika salah seorang pasangan mempunyai gangguan ini, agak sukar untuk mengekalkannya dalam tempoh yang lama. 

Adakah wujud sebarang jalan penyelesaian?

Pastinya ada. Bagi mereka yang mempunyai gangguan ini, anda boleh cuba dapatkan khidmat ahli terapi untuk mengawal diri anda.

Anda mungkin akan terlibat dengan psikoterapi atau terapi perbualan bersama ahli terapi tersebut.

Ahli terapi akan menentukan jenis terapi yang bersesuaian dengan kehendak semasa diri anda.

Jika anda sayangkan diri dan individu di sekililing, dapatkanlah pertolongan dan rawatan yang sewajarnya.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/borderline-personality-disorder/symptoms-causes/syc-20370237

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/borderline-personality-disorder/diagnosis-treatment/drc-20370242

Borderline Personality Disorder: Why Relationships Are a Struggle and How to Get Help

https://www.verywellmind.com/understanding-romantic-bpd-relationships-425217

Versi Terbaru

30/08/2022

Ditulis oleh Muhammad Wa'iz

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Asyikin Md Isa


Artikel Berkaitan

Simptom Umum Kecelaruan Personaliti Pinggiran

Nampak Saja Garang, Tapi Sebenarnya Hati Tisu! Ibu Ayah, Jom Kenali 12 Sifat Anak Sulung Anda!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 30/08/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan