Kaunseling yang baik adalah apabila anda mampu meluahkan segala apa yang anda rasai. Anda mungkin tidak perlu mendapatkan khidmat pakar kaunseling. Tetapi sekurang-kurangnya, anda berkongsi dan meluahkan perasaan anda; kekecewaan, kelukaan dan kedukaan yang anda lalui dengan individu yang anda percayai sama ada rakan baik anda atau mungkin ahli keluarga yang rapat dengan anda.
Bila anda mengalami kekecewaan dan ada individu yang bersama anda, pastinya secara tidak langsung ia memberikan anda kekuatan secara fizikal atau emosi. Adalah amat bahaya jika anda sedang melalui kekecewaan dan anda memendamkannya. Ia mungkin cenderung menyebabkan anda mengalami kemurungan dan tekanan.
- Terima sebagai pengalaman
Kekecewaan adalah satu lumrah hidup. Namun, persoalannya, adakah anda boleh menerimanya sebagai satu pengajaran dan pengalaman dalam hidup? Ini kerana, jika anda tidak dapat belajar dari apa yang telah berlaku, terdapat kemungkinan bahawa anda akan mengulangi kesilapan yang sama, berulang-kali dan akan menerima pengakhiran yang sama.
Mungkin sewaktu anda dalam kekecewaan ini, anda boleh tanyakan kepada diri anda, apakah yang kurang pada perhubungan anda sehingga menyebabkan anda putus cinta dan berlakunya perpisahan? Mungkin kurangnya komunikasi terbuka, tiada keprihatinan terhadap perasaan pasangan, hilang kepercayaan dan sebagainya. Ambillah masa untuk menilai kembali mengenai perhubungan yang putus di tengah jalan ini.
- Berikan masa
Berdepan dengan isu hati yang terluka, kecewa, putus cinta, memerlukan masa untuk anda kembali pulih sepenuhnya. Ketika mengalami perpisahan, tidak dinafikan anda mungkin berasakan segalanya tidak akan sama seperti dulu. Tetapi percayalah, setiap apa yang berlaku, adalah ditakdirkan Tuhan di dalam kemampuan kita untuk menempuhinya. Sebagai manusia, kita telah diciptakan untuk mempunyai kekuatan untuk sembuh dari kekecewaan. Ia adalah disebabkan semangat yang ada dalam diri.
Setiap individu akan mengalami masa untuk penyembuhan yang berbeza. Ada individu yang akan sembuh dalam masa yang singkat, ada yang memerlukan masa yang lebih lama berbanding individu lain. Namun, walau lama atau singkat tempoh yang anda akan perlukan untuk pulih, sampai masanya, anda tetap akan pulih dan sembuh kembali serta dapat menerima segala apa yang berlaku. Bersabarlah.
Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen