backup og meta

Hilang Gelaran Manja Lepas Kahwin? Usah Begitu! Ada Banyak Manfaat Panggil Pasangan 'Sayang'!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 07/07/2022

    Hilang Gelaran Manja Lepas Kahwin? Usah Begitu! Ada Banyak Manfaat Panggil Pasangan 'Sayang'!

    Setiap pasangan suami isteri atau yang sedang bercinta itu pasti punya panggilan manja mereka masing-masing. Ada yang mungkin panggil Sayang, Baby, Babe, Honey dan macam-macam lagi.

    Namun, jangan pula tidak tahu kalau panggilan yang sebegini mampu untuk merapatkan serta menyemarakkan lagi hubungan anda dan pasangan. Benarkah? Jom terus baca artikel untuk tahu!

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Mental, sila dapatkannya di sini.

    Panggilan manja itu tanda anda cinta?

    Masihkah anda ingat ketika saat pertama kali berkenalan dengan pasangan? Pada ketika itu, masih tiada nama yang manis-manis kerana masing-masing juga rasa malu dan segan.

    Dalam fasa sedang berkawan , panggilan yang biasa digunakan seperti ‘Saya – Awak’, ‘Kau – Aku’ atau ‘I – You’ sebelum ia berubah kepada nama lebih sweet seiring waktu berjalan.

    Ada juga yang mungkin akan membahasakan diri atau pasangan dengan nama asal mereka sahaja contoh; ‘Aiman – Aina’ dan ini boleh kekal sehingga mereka tiba ke fasa seterusnya.

    Apabila pasangan itu sudah tiba di persimpangan percintaan, panggilan-panggilan yang formal ini akan mula berubah secara semula jadi kepada sesuatu yang lebih romantik, seperti contoh di atas tadi.

    panggilan manja

    Persoalannya, benarkah panggilan ini tanda anda cinta? Jom kita lihat apa kata pakar tentangnya!

    Baca lagi artikel berkaitan:

    Apa pula kata pakar tentang perkara ini?

    Menurut Pakar Linguistik, Frank Nuessel dari University of Louisville di Amerika, individu yang memanggil pasangan dengan panggilan manis sebenarnya ingin menzahirkan atau menyampaikan apa mereka rasa tentang individu lain tersebut.

    Ia menunjukkan jika individu itu berasa terbuka, selamat dan seronok bersama pasangan mereka. Kesannya, perkara ini akan buat hubungan kalian berdua itu jadi lebih erat dan kuat.

    Ahli Neuroantropologi, Dean Falk dari Florida State University pula berpendapat bahawa pasangan menggunakan panggilan spesifik seperti Baby atau Babe untuk kenangan nostalgia.

    Menurut beliau lagi, individu mungkin akan menyapa pasangan dengan nama yang hampir sama seperti mana disapa oleh orang tua mereka sendiri untuk mengingatkan diri kepada cinta pertama – ayah atau ibu, bergantung pada jantina mereka.

    panggilan manja

    Panggilan ini seterusnya akan dapat memicu otak untuk merembes dopamin – hormon cinta yang berfungsi mencipta perasaan bahagia lantas membuat individu itu berasa lebih senang.

    Dalam erti kata lebih mudah, panggilan-panggilan yang manis sebegini sudah tentu sangat bagus untuk mental individu sekali gus bakal mengeratkan lagi hubungan anda dan pasangan.

    Variasi panggilan pasangan orang kita?

    Ya, mungkin masih ada pasangan daripada orang kita yang menggunakan panggilan dalam bahasa asing seperti Baby, Babe, Honey dan lain-lain namun ada juga yang kurang biasa dengannya.

    Ini kerana orang kita mungkin lebih biasa dengan panggilan dalam bahasa kita sahaja dan ini tidak pula mengehadkan pada satu tahap yang minimum kerana ia tetap akan membawa kesan yang sama.

    Contohnya, pasangan masyarakat kita mungkin lebih biasa menggunakan panggilan yang berikut:

    • Panggilan manja untuk suamiSayang, Abang, Kanda, Ayang
    • Panggilan manja untuk isteri –  Sayang, Adik, Dinda, Ayang

    Sebenarnya, tiada masalah untuk anda sapa pasangan dengan panggilan apapun asalkan ia tetap mempunyai maksud yang baik. Namun, apa pula salahnya untuk anda jadi lebih romantik, bukan?

    Bagaimana pasangan yang sudah ada anak?

    panggilan manja

    Apabila pasangan yang dahulunya berkawan itu bercinta dan berkahwin akhirnya, maka akan tiba episod di mana mereka menimang cahaya mata lantas masuk ke alam keibubapaan.

    Pada ketika ini juga, panggilan manja terhadap pasangan masing-masing mungkin mula akan berubah menjadi sesuatu yang melambangkan identiti mereka sebagai seorang ibu dan bapa.

    Maka, tidak hairan jika panggilan manja untuk suami akan berubah kepada Papa, Daddy, Ayah, Bapak dan Walid manakala panggilan manja untuk isteri pula berubah kepada Mama, Mommy, Ibu, Mak dan Ummi.

    Untuk pengetahuan anda semua, perkara ini tidak akan jadi masalah, malah akan mendatangkan manfaat di mana para ibu bapa lebih ‘sedar’ atau ‘peka’ dengan identiti mereka kini.

    Begitu juga buat si kecil. Ia akan lebih membiasakan anak dengan panggilan yang wajar untuk ibu bapa sekali gus membuat si comel lebih kenal dan tahu tentang orang tua mereka.

    Jangan malu panggil pasangan anda ‘Sayang’!

    Konklusinya, panggilan manis terhadap pasangan itu mampu untuk membuahkan benih kasih dan sayang yang akan mengeratkan lagi menguatkan hubungan di dalam rumah tangga.

    Ayuh, mulakan pada hari ini juga! Siapa tahu mungkin ia akan buat hubungan anda dan pasangan itu lebih hangat?

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 07/07/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan