backup og meta

Tak Perlu Jumpa Orang, TV Dah Cukup Untuk Bersosial-Kajian, Ini Cara Baru Tingkat Kesihatan Mental!

Tak Perlu Jumpa Orang, TV Dah Cukup Untuk Bersosial-Kajian, Ini Cara Baru Tingkat Kesihatan Mental!

Sejak wabak pandemik COVID-19 mula menyerang dunia pada awal tahun ini, seluruh aspek kehidupan manusia terjejas. Bukan saja isu-isu berkaitan ekonomi, malah ia turut memberikan kesan kepada hubungan sosial.

Ini sedikit sebanyak mempengaruhi kesihatan mental manusia ketika dunia menghadapi virus korona baharu ini. 

Kaedah tradisional dan bukan tradisional bagi hubungan sosial

Setiap individu memerlukan hubungan sosial untuk melengkapkan fungsinya sebagai manusia dengan lebih berkesan. 

Sebelum ini, kita biasa melepak bersama rakan, berborak di kedai makan dan bertandang ke rumah saudara sebagai salah satu cara memenuhi keperluan hubungan sosial kita. Ini adalah antara contoh strategi atau teknik hubungan sosial secara tradisional.

Namun, seiring dengan gesaan untuk membiasakan norma baharu kehidupan di samping pematuhan kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kesemua perkara di atas telah dikurangkan atau dihentikan buat sementara waktu. 

Kita lebih meluangkan banyak masa dengan menonton televisyen, membaca buku atau bermain game di rumah pada ketika ini.

Perkara-perkara ini adalah antara kaedah bukan tradisional bagi strategi hubungan sosial yang menjadi norma baharu setiap daripada kita.

Manfaat teknik sosial bukan tradisional terhadap kesihatan mental

kesihatan mental

Walaupun beberapa perkara yang dinyatakan sebelum ini dilihat seperti tidak melibatkan pergaulan manusia yang ramai bagi memenuhi kehendak hubungan sosial, namun ia masih memberi manfaat kepada individu itu sendiri. 

Kajian terbaharu mendedahkan bahawa, aktiviti seperti membaca buku, menonton televisyen dan mendengar lagu sebenarnya mampu memberikan keperluan hubungan sosial, sama seperti hubungan interaksi secara fizikal. 

Kajian yang dijalankan di University of Buffalo tersebut menyatakan, aktiviti seperti ini mampu memenuhi keperluan sosial yang amat diperlukan, sama seperti hubungan antara ahli keluarga, pasangan atau sesama jiran. 

Menurut Dr. Shira Gabriel, otak kita sebenarnya tidak perlu membezakan antara hubungan sebenar atau hubungan yang kita lihat dalam televisyen mahupun di dalam buku.

Malah, jika kita menonton rancangan televisyen yang memaparkan adegan hubungan kekeluargaan, ia sebenarnya memberikan kesan yang sama seperti mana keadaan realitinya kepada otak kita. 

17 cara penuhi kehendak hubungan sosial

Selain itu, melalui kajian yang dijalankan oleh Dr. Shira ini, pasukan penyelidik telah mengenal pasti 17 cara yang berbeza dilakukan oleh masyarakat kita bagi memenuhi kehendak hubungan sosial mereka. 

Kita mungkin menganggap meluangkan masa bersama keluarga sebagai antara cara berkesan bagi memenuhi hubungan sosial tersebut. Namun sebenarnya, masih terdapat banyak cara lain yang boleh memberikan kesan yang sama. 

Apa yang lebih menarik, kajian mendapati individu yang memiliki kesihatan mental yang sihat cenderung untuk menggunakan kedua-dua kaedah tradisional dan bukan tradisional.

Ini bagi memenuhi kehendak hubungan antara manusia ini. 

Maksudnya, bukan hanya kaedah tradisional yang mampu memberi kesan positif kepada kesihatan mental seseorang, tetapi kaedah bukan tradisional turut mempunyai kesan yang sama baik. 

Ia mungkin baik, tetapi tidak sebaik teknik tradisional

hubungan sosial

Walaupun kajian ini menunjukkan teknik bukan tradisional seperti menonton televisyen mampu memberikan kesan yang sama seperti teknik tradisional, namun ia tidak sebagus yang disangka.

Menurut Dr. Krystine Batcho, Profesor Psikologi di Le Moyne College, teknik tradisional bagi hubungan sosial seperti jalinan hubungan ahli keluarga adalah peramal (predictor) yang lebih kuat bagi menentukan kesejahteraan seseorang berbanding teknik bukan tradisional.

Selain itu, masyarakat kita lebih kerap dan cenderung menggunakan teknik tradisional ini berbanding teknik bukan tradisional bagi memenuhi keperluan sosial mereka. 

Tambahan pula, kaedah atau teknik bukan tradisional ini bukanlah satu teknik yang sesuai untuk digunakan bagi tempoh jangka masa panjang. Ia sama sekali tidak boleh menggantikan interaksi sesama manusia yang sebenar. 

Kesimpulan

Namun, di saat kita mengamalkan norma baharu dengan mengurangkan interaksi yang tidak perlu sesama manusia, teknik bukan tradisional ini boleh membantu bagi memenuhi keperluan interaksi sesama individu.

Ia mungkin tidak boleh dijadikan sebagai pengganti, namun ia berkemampuan bertindak dengan memberikan kesan sosial yang sama yang diperlukan oleh seorang manusia. 

Aktiviti bukan tradisional seperti mendengar lagu dan menonton televisyen membantu mengingatkan diri kita untuk terus menjalani kehidupan seperti biasa walaupun ada sedikit perubahan yang perlu dilakukan. 

Ini kerana aktiviti-aktiviti ini adalah antara aktiviti yang sering kita lakukan bersama rakan atau ahli keluarga sebelum wabak COVID-19 melanda. 

Ia membantu kita untuk terus berasa kekal berhubung bersama ahli keluarga dan sahabat yang lain, sekali gus memberikan kesan positif kepada kesihatan mental.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Elaine Paravati, Esha Naidu & Shira Gabriel (2020) From “love actually” to love, actually: The sociometer takes every kind of fuel, Self and Identity, DOI: 10.1080/15298868.2020.1743750

Versi Terbaru

09/07/2020

Ditulis oleh Muhammad Wa'iz

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Nurul Nazrah Nazarudin


Artikel Berkaitan

Biar Betul Ketagih Online Shopping Ada Kaitan Dengan Masalah Mental? Ini Penjelasannya...

Realiti Penyakit Mental Dalam Kalangan Kanak-Kanak


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 09/07/2020

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan