Kemurungan merupakan sejenis gangguan perasaan atau dalaman yang ditunjukkan melalui rasa sedih, kesepian, putus asa dan kekosongan hati yang mendalam.
Jika kemurungan melanda, ia sememangnya boleh mempengaruhi aspek kehidupan harian anda.
Walaupun begitu, beberapa perubahan gaya hidup ini boleh dilakukan setiap hari untuk membantu mengurangkan gejala murung. Ikuti 6 jenis gaya hidup yang kami sarankan ini.
Perubahan kecil dalam gaya hidup bantu kurangkan kemurungan
Mengatasi kemurungan dengan berkesan tidak cukup dengan hanya ubat-ubatan dan sesi terapi.
Walaupun hanya benda kecil, jenis gaya hidup yang lebih baik akan membantu anda mengatasi segala cabaran jika simptom murung kembali muncul.
Berikut senarai beberapa perubahan gaya hidup yang boleh dilakukan bagi mereka yang sedang mengalami kemurungan.
#1. Makan makanan yang sihat
Mungkin sesetengah individu akan hilang selera makan ketika murung melanda dirinya.
Walaupun tidak terdapat kajian yang menyatakan kemurungan dapat disembuh melalui pemakanan tertentu, namun perubahan gaya hidup dengan mengambil makanan berkhasiat sangat penting.
Pengambilan makanan yang kaya dengan khasiat seperti vitamin penting dan mineral adalah kunci untuk menjaga otak anda agar tetap berfungsi dengan baik.
Salah satunya, mengambil makanan dengan karbohidrat kompleks akan membantu otak menghasilkan serotonin yang dapat memicu emosi yang gembira.
#2. Buat to-do list
Di saat anda tertekan atau sedih, otak menjadi sukar mengingati sesuatu, terutamanya berkenaan perkara-perkara kecil.
Dengan membuat senarai perkara yang perlu dilakukan, mungkin boleh membantu anda mengingati semua perkara tersebut.
Tandakan senarai pada perkara yang telah anda laksanakan.
Dengan cara ini, anda dapat melihat semula kesemua perkara yang telah dilakukan dalam sehari dan akan berasa lebih produktif.
#3. Ketawa
Jenis gaya hidup ini mungkin kelihatan remeh atau tidak masuk akal. Namun, ketawa jelas sekali mampu memberikan pelbagai manfaat untuk anda.
Ia bukan hanya menjadikan hati anda lebih baik, malah ketawa juga dapat membantu meningkatkan sistem imun tubuh, mengurangkan penghasilan hormon yang menyebabkan stres, mengurangkan rasa sakit, meregangkan otot dan juga baik untuk jantung anda.
Ketika mana simptom murung mula muncul, carilah perkara-perkara yang boleh membuatkan anda ketawa seperti membaca komik, menonton televisyen atau rancangan komedi.
#4. Kekal aktif
Bagi perubahan gaya hidup ini, anda tidak semestinya perlu hadir ke gimnasium untuk kekal aktif.
Sebaliknya, hanya cukup dengan melakukan aktiviti sederhana berat seperti berjalan-jalan di taman permainan atau melakukan tugasan rumah.
Tujuannya adalah untuk melancarkan aliran darah anda serta meningkatkan tahap dopamin yang dapat menggembirakan hati anda.
#5. Bermeditasi
Aktiviti meditasi sudah dilakukan oleh manusia selama beribu-ribu tahun sebagai salah satu cara untuk menenangkan diri.
Apabila anda bermeditasi, anda sebenarnya membantu diri untuk menghilangkan perasaan cemas yang sering muncul bersama-sama kemurungan.
#6. Habiskan waktu bersama individu terdekat
Anda mungkin sering berasa kesunyian atau bersendirian ketika mana kemurungan melanda. Namun, jangan sesekali membiarkan diri anda untuk terus kesepian dalam tempoh yang lama.
Bagi memulakan perubahan gaya hidup, lakukan perkara-perkara yang boleh menjadikan anda lebih bahagia bersama orang-orang yang rapat dengan anda.
Ini kerana mereka akan sentiasa menyokong dan membantu anda mengharungi saat-saat sukar.
Kesimpulan
Kehidupan yang ditemani kemurungan sememangnya akan terasa berat dan membebankan. Tidak pelik jika anda akan sering berasa penat dan ingin menyerah kalah.
Walau bagaimanapun, sentiasalah berusaha dan lakukan perubahan gaya hidup kerana ia boleh membantu anda mengurangkan gejala kemurungan.
Selain itu, jangan sesekali meninggalkan sesi terapi anda bersama doktor dan sentiasa mendapatkan rehat yang mencukupi.
Baca juga:
- Penting Untuk Anda Mengetahui Jenis-jenis Dan Tanda Kemurungan ini!
- Sharifah Sakinah Makan Petai Untuk Elak Kemurungan, Adakah Ia Berkesan?
- Dekati Orang Kemurungan Undang Aura Negatif Pada Anda- Kemurungan Berjangkit?
- Anda Alami Kemurungan? Jangan Risau, 7 Tip Mudah Ini Bantu Melancarkan Hari Anda
- Adakah Tabiat Merokok Boleh Menyebabkan Kemurungan?