Sunat atau berkhatan adalah satu pembedahan memotong kulup pada bahagian alat kemaluan lelaki atau zakar. Ia adalah satu amalan lama yang wajib bagi beberapa agama di seluruh dunia. Ada banyak kelebihan dan kebaikan bersunat untuk kaum Adam.
Pada hari ini, amalan sunat biasanya dilakukan atas sebab-sebab agama atau atas faktor seperti menjaga kebersihan kemaluan jika ibu bapa mereka menginginkannya.
Berkhatan adalah sesuatu yang sangat dituntut bagi seorang muslim dan sudah menjadi norma yang sangat biasa dalam kalangan masyarakat kita kini.
Bukan sahaja individu Melayu Islam dituntut untuk melakukan prosedur ini, masyarakat Cina, India malahan masyarakat di seantero dunia juga kini sudah mula melakukannya.
Apakah maksud sunat?
Berkhatan atau sunat adalah satu prosedur pemotongan lapisan kulit yang menutupi kepala zakar lelaki yang dipanggil kulup atau “prepuce”.
Prosedur yang paling tua di dunia ini sangat dituntut untuk dilakukan oleh individu muslim disebabkan kelebihan sunat yang dicanangkan.
Namun kini telah banyak dilakukan oleh masyarakat di seantero dunia kerana prosedur bersunat mendatangkan pelbagai kebaikan di samping mudah untuk dilakukan.
Sunat biasanya dilakukan pada hari pertama atau kedua kelahiran bayi (bagi individu yang berketurunan Yahudi, berkhatan dilakukan ketika bayi berumur 8 hari). Prosedur ini menjadi lebih rumit dan berbahaya pada bayi yang lebih tua, kanak-kanak, dan lelaki dewasa.
Bagaimana ia dilakukan?
Semasa doktor melakukan prosedur khatan, kulup dibebaskan daripada kepala zakar dan kulup yang berlebihan dipotong. Bagi bayi, proses ini boleh dilakukan dalam lima hingga sepuluh minit.
Bagi kanak-kanak atau dewasa, ia mungkin mengambil masa selama sekitar satu jam. Luka selepas pembedahan minor ini sembuh dalam tempoh seminggu.
Apakah keperluan sunat?
Walaupun mempunyai manfaat perubatan atau kesihatan, sunat masih menjadi sebuah isu yang diperkatakan.
Kebaikan sunat dari sudut perubatan mengatasi risikonya, namun manfaatnya tidaklah terlalu besar sehingga ia perlu diwajibkan ke atas semua orang.
Antara kebaikan sunat dalam kanak-kanak yang lebih tua dan dewasa untuk merawat phimosis (kegagalan untuk menarik balik kulup) atau untuk merawat jangkitan pada zakar.
Ibu bapa harus berbincang dengan pakar mengenai manfaat dan risiko teknik tersebut sebelum membuat pilihan. Elemen yang berbeza seperti cara hidup, agama, dan kecenderungan individu juga akan dipertimbangkan dalam pilihan anda.
Apakah kelebihan bersunat?
Amalan sunat kini bukan hanya dilakukan oleh orang Islam, malah ramai juga yang turut membuat keputusan untuk melakukannya ke atas anak-anak mereka di luar sebab agama kerana kelebihan dan kebaikan yang ada.
Di Amerika Syarikat, 55% hingga 65% lelaki menjalani prosedur ini. Beberapa keterangan telah diberikan dalam usaha untuk membuktikan bahawa berkhatan mempunyai kelebihan dari sudut perubatan, ini termasuklah:
- Mengurangkan kadar sesetengah penyakit kelamin pada lelaki.
- Melindungi individu daripada kanser zakar dan mengurangkan risiko kanser serviks bagi pasangan wanita.
- Mencegah balanitis (radang kepala zakar) dan balanoposthitis (radang kepala zakar dan kulup).
- Sunat juga memudahkan untuk memastikan hujung zakar sentiasa bersih. Prosedur bersunat akan menyebabkan lapisan kulit yang menutupi kepala zakar lelaki yang dipanggil kulup atau “prepuce” dibuang. Lapisan ini sebenarnya sangat mudah untuk dijangkiti bakteria yang boleh mengakibatkan pelbagai jenis penyakit jika anak lelaki anda tidak membersihkannya dengan cermat. Oleh itu, dengan membuangnya, alat kelamin anak lelaki anda akan lebih mudah dibersihkan.
- Mengurangkan risiko jangkitan saluran kencing (UTI) sebanyak 10 kali ganda. Walau bagaimanapun, insiden UTI secara amnya adalah jarang berlaku bagi lelaki.
- Risiko kanser zakar untuk berlaku semakin berkurang.
- Menambah perlindungan ke atas penyakit kelamin termasuk HIV.
- Keadaan seperti iritasi, radang dan jangkitan lebih kerap berlaku dalam kalangan mereka yang tidak berkhatan.
Apakah risiko bersunat?
Seperti mana-mana prosedur pembedahan, terdapat risiko yang berkaitan dengan bersunat. Tetapi, risiko-risiko ini adalah pada kadar yang rendah. Isu-isu yang berkaitan dengan sunat termasuklah:
- Rasa sakit.
- Pendarahan dan jangkitan di bahagian berkhatan.
- Keradangan pada bahagian kepala zakar.
- Meningkatkan risiko mastitis (radang pada bukaan zakar).
- Risiko kecederaan zakar.
Penjagaan selepas berkhatan
Kanak-kanak yang berkhatan perlu ‘berpantang’ selepas menjalaninya. Antara perkara yang perlu diambil berat oleh ibu bapa adalah:
- Memastikan hujung kepala zakar berada dalam keadaan kering dan bersih. Pada awalnya, ia mungkin kelihatan sedikit bengkak tetapi akan surut setelah beberapa lama. Masa yang diambil untuk pulih kebiasaannya antara 7 hingga 10 hari, bergantung kepada teknik yang digunakan.
- Berehat. Elakkan aktiviti lasak terutamanya yang memerlukan anak anda untuk duduk seperti menunggang basikal atau motosikal.
- Mengambil ubat tahan sakit seperti panadol jika perlu.
Kebaikan bersunat terhadap kesihatan kelamin
Kebaikan bersunat atau berkhatan kepada si lelaki dan juga terhadap pasangan mereka adalah sesuatu yang kukuh serta tidak dapat dinafikan, hasil daripada himpunan kajian dan penyelidikan yang berpuluh tahun lamanya.
Sains di sebalik kelebihan sunat ini turut mendorong Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), UNAIDS, Bank Dunia, Akedemi Pediatrik Amerika dan juga Pusat Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Amerika (CDC) untuk mencadangkan berkhatan sebagai salah satu polisi kesihatan.
Kebaikan dan kelebihan sunat terhadap alat kelamin termasuklah:
- Merendahkan risiko dengan kadar yang signifikan daripada 2 jangkitan kelamin yang lazim – virus herpes simplex jenis 2 (HSV-2), punca kepada herpes kelamin, dan human papillomavirus (HPV), punca kepada ketuat kelamin dan juga kanser serviks/pangkal rahim.
- Perlindungan daripada kanser serviks, displasia serviks, dan juga penyakit jangkitan kelamin seperti chlamydia dan syphilis.
- Pencegahan daripada balanitis (keradangan kepala zakar) dan balanoposthitis (keradangan kepala zakar dan juga kulup).
- Pencegahan daripada phimosis (keadaan di mana kulup tidak mampu ditarik, mencekik kepala zakar)
- Mengurangkan risiko jangkitan saluran kencing.
Adakah bersunat meninggalkan parut?
Sunat adalah prosedur pembedahan yang biasa digunakan untuk membuang kulup zakar. Bahagian hujung zakar, yang dikenali sebagai glans, biasanya dibiarkan terdedah. Kulit kulup yang telah dipotong tersebut akan dicantum dan dijahit kembali dengan bahagian batang zakar.
Seperti mana-mana pembedahan, prosedur bersunat turut meninggalkan parut. Teknik sunat yang anda pilih sering menentukan jenis parut yang mungkin terbentuk.
Parut akan kurang terbentuk atau terjadi sekiranya sunat dilakukan ketika individu tersebut masih kecil atau di peringkat tumbesaran bayi.
Walau bagaimanapun, terdapat cara untuk mengurangkan risiko parut pada kanak-kanak dan orang dewasa yang lebih tua.
Langkah pertama ialah mencari seorang pengamal pembedahan sunat yang berkelayakan.
Doktor atau pakar bedah anda akan dapat membimbing anda melalui teknik yang berbeza, dan juga membincangkan bekas luka yang berbeza yang boleh terhasil daripada pengaplikasian prosedur-prosedur tersebut.