Soalan yang sering menimbulkan banyak kontroversi; “Adakah saiz penis merupakan faktor penting bagi wanita dalam kriteria pemilihan pasangan hidup?”
Pelbagai jenis jawapan mungkin diungkapkan oleh kaum Hawa di luar sana, namun ramai lelaki yang tetap berasa insecure.
Jika tidak, masakan ubat pembesar zakar begitu laris terjual di pasaran. Masing-masing berasa takut dengan persepsi pasangan terhadap saiz penis sendiri.
Lebih teruk apabila mereka sering membandingkan saiz kemaluan mereka dengan bintang porno yang kelihatan gah dengan saiz 8 inci dan ke atas.
Apa yang anda perlu tahu adalah seperti ketinggian manusia, saiz penis juga mempunyai nilai purata normal bagi lelaki mengikut populasi tertentu.
Kalau betul saiz kemaluan anda kecil, ia sepatutnya tidak mempengaruhi fungsi dan prestasi semasa melakukan hubungan seks.
Walau bagaimanapun, mungkin ramai yang masih tertanya-tanya sekiranya saiz penis sememangnya kriteria penting bagi setiap wanita.
Ini jawapannya, teruskan pembacaan anda.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Lelaki, sila dapatkannya di sini.
Dapatan kajian tidak definitif, saiz penis elemen penting tetapi…
Pada tahun 2013, kajian yang dijalankan oleh Universiti Ottawa di Kanada menunjukkan dapatan yang boleh membuatkan muka lelaki menjadi pucat.
Namun, pembaca usah risau! Kajian tersebut banyak kelemahan dan faktor yang menyebabkan ia tidak boleh digunakan dalam konteks umum.
Menurut subjek wanita di dalam kajian tersebut, saiz penis merupakan satu daya tarikan pada individu seperti ketinggian dan bentuk tubuh badan.
Ia bukanlah satu-satunya elemen yang dinilai semasa pemilihan pasangan hidup.
Namun, saiz penis boleh mempengaruhi kecenderungan wanita memandangkan lelaki yang mempunyai zakar yang besar dianggap menarik.
Walau bagaimanapun, dapatan kajian ini bermasalah apabila cuba disesuaikan dengan populasi lain.
Sebagai contoh, di Asia, hubungan seks sebelum perkahwinan merupakan satu tindakan yang sering mendapat kritikan buruk daripada masyarakat setempat.
Oleh itu, pemilihan pasangan hidup berdasarkan kepada saiz penis bukanlah satu amalan yang mendapat perhatian di lokasi tersebut.
Kajian Universiti Ottawa tidak langsung merangkumi subjek wanita yang berasal selain dari negara Barat.
Ini bermakna, populasi yang tidak mengamalkan gaya hidup barat tidak termasuk dalam penilaian pengkaji.
Saiz penis, sama penting dengan ketinggian pasangan hidup
Setelah menjalankan kajian di Kanada, felo kajian Universiti Ottawa, Brian Mautz turut melancarkan kajian di Australia dibantu oleh Universiti Kebangsaan Australia.
Kali ini, topik yang lebih diberi perhatian adalah bagaimana evolusi mempengaruhi perkembangan saiz penis manusia.
Berdasarkan kepada pemerhatian tersebut, pasti ia mempunyai peranan dalam evolusi sama ada dalam konteks pencarian pasangan atau fungsi.
Seramai 105 wanita Australia heteroseksual telah terlibat dalam analisis tersebut.
Purata usia subjek adalah sekitar 26 tahun dan mereka perlu menilai 53 gambar bogel lelaki yang dihasilkan oleh perisian komputer dengan ketinggian badan, panjang penis ketika kendur dan bentuk badan yang berbeza.
Gambaran yang dikeluarkan oleh komputer tersebut adalah berdasarkan kepada kajian yang melibatkan lebih daripada 1,000 lelaki di Itali.
Saiz penis (di dunia sebenar) ketika kendur paling panjang adalah 5.1 inci.
Lelaki akan dilihat sebagai tarikan apabila mereka mempunyai saiz penis yang besar. Gambar lelaki dengan penis kecil di dalam kajian tersebut dianggap tidak menarik oleh subjek wanita.
Walau bagaimanapun, peningkatan pada daya tarikan tersebut tidaklah semudah ‘1 cm menyebabkan peningkatan sebanyak 1 peratus’ dan sebagainya.Ia lebih kompleks.
Menurut Mautz, kecenderungan wanita terhadap saiz penis yang lebih besar tidaklah begitu mengejutkan.
Namun, apabila mereka meletakkannya sama aras dengan faktor tarikan lain seperti ketinggian pasangan membuatkan dahi pengkaji berkerut.
Adakah ini bermakna, lelaki yang tinggi mempunyai daya tarikan yang lebih banyak sekiranya mereka mempunyai zakar yang besar?
Adakah saiz boleh mempengaruhi tahap kepuasan pasangan ketika hubungan seks?
Terdapat pelbagai jenis dapatan kajian yang menggambarkan persoalan di atas.
Satu kajian yang diterbitkan di laman Jurnal PLOS One melibatkan 75 wanita telah membahagikan saiz yang mereka ingini bagi hubungan jangka masa panjang dan one-night stand.
Menurutnya, mereka yang aktif dalam hubungan one-night stand suka penis yang berukuran 6.4 inci (panjang) dengan ukuran lilit 5 inci.
Wanita yang berada dalam hubungan jangka masa panjang pula suka akan penis yang berukuran panjang 6.3 inci dengan ukuran lilit 4.8 inci.
Perbezaan di antara keduanya tidaklah seketara mana. Namun sekali lagi, kajian ini sangat spesifik kepada populasi Barat.
Kenapa perkara ini penting bagi lelaki? Ia berikutan persepsi terhadap saiz zakar boleh mempengaruhi keyakinan diri seterusnya masalah kesihatan lain yang berkaitan dengan emosi.
Sebagai contoh, ramai lelaki yang terlalu insecure dengan saiz masing-masing mengalami masalah mati pucuk yang boleh disebabkan oleh keresahan.
Apa yang lebih serius lagi, menurut pakar terapi, kebanyakan aduan yang dibuat mengenai saiz penis kecil tidak bertepatan dengan ukuran sebenar mereka miliki berdasarkan kepada kajian saintifik.
Kajian oleh Universiti Florence juga menunjukkan 67 subjek yang ingin menjalani prosedur pemanjangan penis tidak tahu dan sering overestimate saiz penis normal.
Konklusi
Mungkin ramai yang terpengaruh dengan bintang filem lucah yang mempunyai saiz zakar yang panjang.
Hakikatnya, jumlah mereka yang mempunyai kepanjangan penis melebihi 9 inci adalah tersangat jarang.
Kebanyakan kajian yang dijalankan tentang persepsi wanita terhadap saiz penis tidak mengambil kira faktor demografi. Maka, dapatan kajian tersebut tidak terpakai secara umum.
Anda perlu mengetahui saiz normal bagi penis untuk populasi anda dan ingatlah, jika zakar anda kecil sekalipun, ia tidak sama sekali mempengaruhi prestasi seksual anda di ranjang.