Keinginan dan kemampuan seksual seorang lelaki itu akan menurun seiring dengan pertambahan usia. Hakikatnya, bukan itu sahaja yang akan berubah.
Lelaki perlu tahu, akan berlaku juga perubahan pada zakar tatkala umur meningkat.
Ingin tahu apakah perubahan yang diperkatakan ini? Jom sama-sama kita selami artikel dengan lebih lanjut!
Baca lebih lanjut tentang Kesihatan Lelaki di sini.
Adakah perubahan pada zakar ini normal?
Sebelum pergi dengan lebih mendalam lagi, haruslah kita tahu tentang perkara ini terlebih dahulu. Secara umumnya ya, ia adalah perkara yang normal.
Ini kerana kebanyakan lelaki yang normal akan mengalaminya. Pun begitu, perubahan ini bukanlah sesuatu yang akan berlaku secara tiba-tiba.
Sebaliknya, ia adalah satu proses yang akan berlaku secara berperingkat. Jadi, jangan terlalu khuatir tentangnya.
Menurut Dr. Madeleine Castellanos yang merupakan penulis buku “Penis Problems: A Man’s Guide”, perubahan pada zakar ini kebiasaannya berlaku seawal lelaki mencecah usia 40 tahun.
Persoalannya, apakah perubahan ini?
Perubahan yang akan berlaku pada zakar
Sebenarnya, terdapat beberapa perubahan yang akan berlaku kepada alat kemaluan lelaki seiring pertambahan usia sama ada kalian sedar atau tidak.
Ia terbahagi kepada beberapa aspek termasuklah:
#1. Bulu
Kebanyakan lelaki yang normal pasti akan mempunyai bulu pada sekitar kawasan zakar seperti ari-ari, skrotum, perineum dan lubang dubur mereka.
Namun, ia bukanlah bermakna anda tidak normal jika tidak memilikinya ya?
Sama seperti bulu-bulu lain pada tubuh badan, ia akan mula berubah warna menjadi putih seakan uban dan akan menipis seiring dengan perjalanan usia.
#2. Saiz
Ramai orang percaya bahawa saiz zakar boleh mengecut atau mengecil apabila tiba usia tua nanti. Hakikatnya, penyataan ini adalah kurang tepat berbanding apa yang sebenarnya akan berlaku.
Ini kerana saiz zakar tidak akan berkurang. Sebaliknya, berat badan yang akan bertambah.
Lemak yang terkumpul di kawasan sekitar ari-ari inilah yang akan membuat ilusi bahawa zakar anda telah menjadi lebih kecil.
Ia dapat dibuktikan lagi dengan fakta bahawa pertambahan berat badan adalah normal seiring pertambahan usia.
Oleh itu, jangan terlalu risau tentangnya ya? Saiz zakar kalian tidak akan berkurang.
#3. Bentuk
Mungkin tidak semua, namun ada lelaki yang akan mengalami kebengkokan pada zakar seiring peningkatan usia. Ia bukan sahaja menjejaskan penampilan malahan juga fungsinya.
Kondisi ini dinamakan sebagai Peyronie’s disease – berlaku disebabkan oleh trauma fizikal akibat seks yang terlalu ganas. Ia kebiasaannya berlaku kepada lelaki pertengahan usia.
Paling membimbangkan, ia akan menjejaskan kehidupan seksual anda dan isteri. Jadi, sila dapatkan nasihat dari doktor sama ada perlu mengambil perubatan atau pembedahan bagi merawat kondisi ini.
#4. Warna
Bukan saiz dan bentuk sahaja, warna alat kemaluan juga boleh berubah!
Semakin lelaki berusia, warna kepala zakar akan mula berubah menjadi keunguan. Ini berlaku akibat dari kurangnya aliran darah di bahagian tersebut.
#5. Fungsi
Saraf yang terdalam dalam zakar akan menjadi kurang sensitif apabila lelaki semakin berusia.
Ini seterusnya akan mengakibatkan masalah seksual lelaki seperti kurang libido dan sukar mencapai ereksi serta ejakulasi.
Lebih menakutkan, kelemahan pada fungsi zakar seiring perjalanan usia ini juga adalah punca utama kepada berlakunya mati pucuk. Jadi, bagaimana untuk menyelesaikan masalah ini?
Sebaiknya, amalkan kehidupan seks yang lebih sihat bersama pasangan. Buang tabiat melancap dan elak dari mengambil suplemen yang tidak pasti kesahihannya. Sila jumpa doktor terlebih dahulu untuk berbincang!
Secara umumnya, akan berlaku banyak perubahan pada zakar yang seterusnya akan memberi kesan kepada kehidupan seks anda dan pasangan apabila tua kelak.
Namun, ia adalah satu perkara yang normal dan anda tidak perlu terlalu bimbang tentangnya okay!