Untuk pengetahuan anda semua, kadangkala zakar lelaki mungkin boleh tegang dengan sendiri meskipun tanpa rangsangan secara seksual. Ia dinamakan sebagai zakar ereksi spontan.
Sebenarnya, situasi ini mungkin pernah dialami oleh semua lelaki tanpa sedar terutamanya ketika bangun daripada tidur. Ya, usah khuatir kerana ia mungkin sesuatu yang normal.
Persoalannya, apa dia punca ereksi spontan berlaku? Jom terus baca artikel dengan lebih lanjut!
Mengenai ereksi zakar yang normal…
Ereksi adalah satu keadaan di mana zakar lelaki membesar, mengeras dan menegang apabila darah mengalir dan mengisi salur corpora cavernosa yang wujud di dalamnya.
Proses ereksi ini adalah sangat penting di dalam sistem pembiakan lelaki kerana ia bertujuan untuk melepaskan air mani dan sperma ketika ejakulasi di saat hubungan seks berlangsung.
Kebiasaannya, ereksi zakar akan bermula setelah dirangsang serta boleh bertahan selama beberapa minit dan kendur secara sendiri selepas tamat melakukan hubungan seksual.
Pun begitu, ada juga ketika di mana zakar ereksi spontan itu terjadi tanpa sebarang rangsangan seksual. Namun usah khuatir, kerana ia mungkin normal akibat faktor yang tertentu.
Bagaimana zakar boleh tegang secara sendiri?
Zakar itu adalah salah satu daripada organ seks lelaki, maka segala aktiviti yang terjadi pada alat sulit lelaki ini akan dikaitkan dengan segala hal yang berkaitan dengan seks.
Seperti mana yang kita semua mungkin sudah tahu, zakar boleh tegang apabila dirangsang secara seksual dari deria penglihatan, pendengaran, sentuhan mahupun fantasi.
Tidak hanya itu, mungkin ada juga keadaan di mana zakar ereksi spontan berlaku akibat darah yang mengalir dan mengisi salur di dalamnya secara automatik serta tanpa kawalan.
Ya, ia mungkin masih lagi normal dan zakar boleh mengendur secara sendiri jika ia tidak didalangi oleh kondisi bahaya pada alat kemaluan lelaki seperti penyakit priapsm.
Apa kemungkinan punca zakar ereksi spontan itu berlaku?
Ketegangan alat kemaluan lelaki tanpa sebarang rangsangan seksual itu adalah ereksi spontan dan ia boleh berlaku pada sesiapa, di mana-mana tempat atau pada bila-bila masa untuk lelaki.
Ia adalah sesuatu yang sangat normal buat remaja lelaki ketika sedang mengalami akil baligh namun juga boleh terjadi kepada individu lebih dewasa angkara faktor yang lain.
#1. Zakar ereksi kerana perubahan hormon dalam tubuh badan
Umum mengetahui bahawa hormon testosteron akan memainkan peranan yang sangat penting terhadap fungsi dan sistem seksual seorang lelaki. Tanpanya, maka kurang ‘jantan’ individu lelaki tersebut.
Sekiranya berlaku sebarang perubahan hormon ini secara mendadak dan tiba-tiba dalam tubuh badan seorang lelaki, maka ereksi spontan mungkin akan terjadi di luar kawalan.
Terkadang, zakar juga mungkin boleh menegang tatkala anda sedang bekerja, berehat, mandi, makan serta lain-lain aktiviti dan ia masih lagi normal tanpa perlu anda khuatir.
#2. Perjalanan tahap tidur waktu malam
Di saat sedang tidur pada waktu malam, lelaki mungkin akan mengalami sekitar 3 ke 5 kali ereksi spontan kira-kira 25 ke 35 minit akibat perjalanan tahap tidur waktu malam.
Fenomena yang turut dikenali dengan nama rapid eye movement (REM) ini juga adalah situasi yang akan berlaku pada semua orang ketika sedang tidur dan ada beberapa tahap.
Ketika berada pada tahap tertentu, otak akan memberi perintah bagi darah untuk mengalir dan mengisi kawasan sekitar zakar, terutamanya ketika lelaki sedang mimpi basah.
Punca zakar ereksi spontan #3. Priapism
Ada satu lagi punca situasi ini berlaku dan ia adalah antara dalang yang paling ditakuti iaitu akibat sejenis penyakit bernama priapsm, di mana zakar tegang tanpa sebab.
Kondisi ini akan terjadi angkara darah yang mengalir dan mengisi salur di dalam zakar tersekat atau terperangkap di situ sehingga tidak mampu untuk keluar seperti sediakala.
Apa yang membimbangkan adalah ia boleh jadi punca kesakitan dan ketidakselesaan yang sangat teruk sehingga boleh merosakkan zakar jika ia tidak dirawat dengan kadar segera.
Apa yang lelaki mungkin boleh buat jika zakar ereksi terjadi?
Cuba bayangkan jika ereksi spontan ini berlaku di tempat umum yang anda sudah tentu akan cuba untuk sorok tapi tidak mampu. Apa yang lelaki mungkin boleh buat jika ia terjadi?
- Tutup alat sulit dengan sesuatu – Pertama sekali, jangan panik dan tutup alat sulit dengan sesuatu objek paling mudah anda capai dan duduk diam
- Cuba alih minda – Di masa yang sama, cuba alih minda dengan memikirkan perkara lain yang membosankan atau menakutkan bagi mengalihkan perhatian
- Cuba jalan kaki – Kemudian, cuba jalan kaki menuju ke tempat lain agar darah dapat mengalir dan mengisi anggota tubuh badan lain seperti kaki atau tangan
- Pergi ke tandas – Jika ia masih tegak berdiri, maka dengan perlahan sila menuju ke tandas atau tempat tersorok yang lain agar ia tidak terlihat oleh orang lain