Lelaki malas mengemas atau wanita terlalu rajin mengemas? Mana satu yang kedengaran seperti betul?
Walaupun terdapat mitos yang menunjukkan lelaki seakan-akan ‘buta’ apabila masuk ke dalam bilik bersepah, kajian menunjukkan perkara tersebut tidak benar.
Sama seperti wanita, lelaki juga sedar jika bilik mereka tunggang-langgang. Lantai berpasir, baju tidak berbasuh dan katil tidak kemas.
Semuanya nampak di mata lelaki, namun berbeza dengan wanita, mereka mungkin tidak begitu kisah dengan situasi tersebut.
Nak tahu dengan lebih lanjut? Baca artikel ini.
Pembahagian tugas yang tidak sama rata membuatkan lelaki nampak malas
Walaupun jumlah wanita yang berpendidikan dan berkerjaya semakin meningkat saban tahun, namun mereka masih memegang tanggungjawab yang besar apabila ia berkait dengan aktiviti mengemas rumah.
Secara puratanya, wanita meluangkan masa sebanyak 1 jam 20 minit sehari untuk melaksanakan rutin mengemas, memasak dan membasuh pakaian. 1 per 3 daripada jumlah jam tersebut berfokus kepada aktiviti mengemas.
Bagaimana pula dengan lelaki? Lelaki hanya meluangkan masa sebanyak 30 minit sahaja untuk melakukan aktiviti rutin di rumah. Hanya 10 minit yang akan diperuntukkan untuk mengemas rumah seperti menyapu.
Paten ini tetap sama walaupun di negara yang mengamalkan polisi kesaksamaan jantina seperti Sweden.
Meskipun wanita mempunyai waktu kerja yang lama dan dibayar dengan jumlah gaji kerja yang tinggi, mereka masih membuat kerja rumah jauh lebih banyak daripada lelaki.
Logiknya, apabila mereka terpaksa meluangkan banyak masa mengemas, mereka terpaksa mengorbankan aktiviti lain seperti tidur, kerja, masa lapang dan sebagainya.
Persepsi tahap kekemasan yang lebih kurang sama
Pada tahun 2019, satu kajian yang telah dijalankan oleh pengkaji dari 3 Universiti berbeza telah menganalisis persepsi lelaki dan wanita terhadap tahap kekemasan satu ruang.
Mitos yang sering digembar-gemburkan adalah lelaki kebiasaannya tidak mempunyai daya persepsi sehebat wanita dalam mengenal pasti ruangan yang kotor dan bersepah.
Mungkin mereka beranggapan bahawa lelaki jenis yang tidak ambil peduli akan kekemasan bilik.
Dalam kajian tersebut, 327 subjek lelaki dan 295 subjek wanita telah diuji dengan gambar yang mempamerkan tahap kekemasan sesuatu bilik untuk dinilai.
Berbeza dengan apa yang diketahui oleh kebanyakan orang, lelaki dan wanita mempunyai daya persepsi yang sama apabila ia melibatkan penilaian terhadap tahap kekemasan sesuatu ruangan.
Apa yang dianggap kotor untuk wanita turut mempunyai implikasi yang sama pada penilaian kaum Adam.
Jadi, apa yang menyebabkan perbezaan pada tahap kebersihan bilik dan kecenderungan untuk seseorang itu rajin mengemas ruangan yang berselerak?
Matlamat/jangkaan yang berbeza dari konteks sosial
Kita tahu bahawa bukan lelaki tidak nampak bilik kotor atau berselerak. Mereka cuma mempunyai tindak balas yang berbeza berbanding wanita berikutan beberapa faktor.
Antara faktor yang popular adalah jangkaan sosial (social expectation).
Berbeza dengan kritikan terhadap lelaki, wanita kebiasaannya akan dikritik lebih hebat sekiranya mereka tinggal di dalam persekitaran yang bersepah.
Ungkapan “biasalah bilik bersepah, lelaki kan?” telah menjadi pemboleh ubah yang meramal tindak tanduk jantina dalam pengurusan berkaitan kekemasan ruang.
Wanita akan dikritik dengan lebih hebat sekiranya mereka tidak melaksanakan kerja pembersihan dengan lebih kerap.
Perkara ini mungkin berlaku berikutan tanggapan sosial yang masih mengaitkan mereka dengan peranan tradisional yang lebih tertumpu di rumah tanpa memikirkan jika mereka kini sudah berkerjaya.
Dalam kajian yang telah dinyatakan di atas, pengkaji telah menunjukkan gambar yang sama kepada subjek untuk menguji hipotesis ini.
Namun bagi subjek yang berbeza, mereka akan melabelkan bilik tersebut dengan nama yang berbeza, sama ada ini bilik Jennifer atau ini bilik John.
Yang menariknya, jangkaan tahap kekemasan bagi bilik Jennifer adalah lebih tinggi berbanding dengan bilik John.
Ini bermakna, walaupun mereka menggunakan gambar yang sama, jika ia dilabel dengan jantina yang berbeza, lelaki kebiasaannya tidak akan dikritik seteruk wanita sekiranya keadaan bilik mereka sederhana bersih.
Kita semua tahu lelaki memang ‘pemalas’
Walaupun wanita lebih cenderung untuk dikritik jika ditunjukkan dengan gambar bilik bersih, keadaan berubah apabila subjek ditunjukkan dengan gambar bilik yang bersepah.
Kedua-dua Jennifer dan John mendapat komen negatif daripada subjek namun John dikritik dengan lebih hebat.
Perkara ini boleh berpunca daripada pemikiran stereotaip bahawa lelaki malas mengemas rumah.
Walau bagaimanapun, tanggapan negatif tersebut tidak hanya eksklusif kepada lelaki. Wanita turut menjadi mangsa kritikan disebabkan masyarakat sering mengaitkan peranan mengemas rumah dengan jantina tersebut.
Mungkin ramai wanita yang berpegang dengan standard kebersihan seperti yang dijangka oleh masyarakat sekeliling.
Namun bagi segelintir wanita, sikap rajin mengemas bukannya datang daripada minat untuk tinggal di dalam persekitaran yang bersih.
Ia lebih kepada ketakutan mereka untuk dikritik oleh tetamu yang bakal sampai ke rumah.
Corak pemikiran sebegini boleh diubah namun ia memerlukan usaha dan masa yang agak lama.
Mungkin perkara yang perlu anda lakukan adalah untuk berfikir dua tiga kali sebelum mengkritik keadaan rumah seseorang yang bersepah tanpa memikirkan tanggungjawab yang dipikul oleh mereka.