backup og meta

Jika Anda Menghidap Diabetes Jenis 2, Ambil Tahu Cara Penjagaan Ini

Jika Anda Menghidap Diabetes Jenis 2, Ambil Tahu Cara Penjagaan Ini

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kencing Manis, sila dapatkannya di sini

Bagi mereka yang memiliki diabetes jenis 2, ada beberapa perkara yang perlu diambil perhatian berkenaan penjagaan pesakit diabetes. Ini termasuklah beberapa cabaran pesakit diabetes.

Jika sebelum ini anda bebas untuk melakukan apa sahaja dalam hidup anda, kini tidak lagi. 

Ini kerana, jika anda tidak berhati-hati dan mengambil serius soal penjagaan diri anda sendiri, maka anda akan berhadapan dengan risiko komplikasi penyakit lain yang lebih teruk akibat diabetes.

Apakah perkara yang perlu diberikan perhatian dalam aspek penjagaan pesakit diabetes?

Penjagaan pesakit diabetes no. 1: Makan secara sihat

cabaran pesakit diabetes

Karbohidrat terdiri daripada karbohidrat mudah dan kompleks. Karbohidrat mudah adalah seperti gula, manakala karbohidrat kompleks pula adalah yang diperoleh daripada sayuran, kekacang dan juga bijirin penuh. 

Karbohidrat pula lebih cepat memberikan kesan terhadap gula darah anda berbanding protein atau lemak. Salah satu cara untuk mengawal pengambilan karbohidrat adalah melalui pengiraan karbohidrat. 

Rekodkan pengambilan sumber karbohidrat atau gula anda setiap hari. Kemudian, bahagikan secara sama rata jumlah tersebut bagi setiap waktu makan anda.

Dengan cara ini, anda dapat mengawal paras gula darah. Cara ini juga dapat mengelakkan paras gula darah anda daripada menjadi terlalu tinggi atau terlalu rendah. 

Serat pula membantu anda untuk berasa lebih cepat kenyang, mengurangkan keinginan anda untuk makan dengan kerap. Selain itu, serat juga membantu sistem pencernaan anda dan mengawal paras gula darah anda. 

Individu yang mengambil sumber serat dengan banyak juga kurang cenderung untuk mendapat tekanan darah tinggi dan penyakit jantung. 

Antara makanan yang kaya dengan sumber serat ialah buah-buahan, sayuran, kekacang, bijirin penuh dan beras perang. 

Untuk lemak pula, anda mesti mengurangkan pengambilan sumber lemak tidak sihat seperti lemak tepu dan juga lemak trans. Lemak trans sebagai contoh, adalah jenis lemak yang sangat tidak elok untuk kesihatan jantung anda. 

Untuk mengurangkan pengambilan lemak yang tidak sihat seperti ini, cuba dapatkan sumber daging tanpa lemak.

Selain itu, elakkan kaedah menggoreng ketika menyediakan makanan. Anda boleh mencuba kaedah lain yang lebih sihat seperti bakar, panggang, atau rebus. 

Untuk mendapatkan produk tenusu yang lebih sihat, pilihlah produk yang bebas lemak atau rendah lemak sahaja. Selain itu, pilihlah minyak yang berasaskan sayuran dan bukannya lemak haiwan. 

Diabetes juga bukan hanya meningkatkan paras gula darah, tetapi juga tekanan darah anda. 

Apabila anda mengambil terlalu banyak garam dalam pemakanan, risiko untuk mendapat tekanan darah tinggi akan menjadi lebih tinggi. 

Oleh itu, anda mestilah mengurangkan pengambilannya dengan mengikut tip berikut:

  • Pilih sumber makanan segar tanpa garam tambahan
  • Kurangkan penggunaan garam dalam masakan harian anda, dan perasakannya dengan menggunakan herba atau rempah
  • Semak jumlah garam pada label produk makanan
  • Jika anda ingin menggunakan produk makanan dalam tin, pilihlah yang mempunyai kandungan garam yang rendah

Bagi keperluan vitamin dan mineral, pesakit diabetes memerlukan jumlah atau kadar yang sama sepertimana mereka yang tidak menghidap diabetes. 

Tidak terdapat bukti yang jelas berkenaan manfaat penggunaan vitamin anktioksidan A, C dan E, selenium, herba-herba dan asid lemak omega-3 dalam pengurusan diabetes. 

Penjagaan pesakit diabetes no. 2: Pengambilan ubat-ubatan

penjagaan pesakit diabetes

Salah satu cabaran pesakit diabetes ialah pematuhan dalam pemakanan ubat-ubatan. Ada sesetengah individu yang boleh mengawal paras gula darah mereka hanya melalui pemakanan yang betul dan senaman.

Namun, ada juga yang perlu mengawalnya melalui pengambilan ubat-ubatan dan insulin.

Penentuan pengambilan ubat-ubatan ini akan ditentukan oleh doktor bergantung kepada pelbagai faktor. 

Antara jenis ubat-ubatan dalam pengurusan diabetes jenis 2 ialah:

  • Metformin: Kebiasaannya, ini adalah jenis ubat pertama yang diberikan kepada pesakit diabetes jenis 2. Ia berfungsi menurunkan penghasilan glukosa dalam hati selain memperbaiki sensitiviti tubuh badan terhadap insulin agar dapat digunakan dengan lebih berkesan
  • Sulfonylureas: Ubat ini berfungsi membantu tubuh badan anda untuk menghasilkan lebih banyak insulin. Antara jenis yang digunakan ialah glyburide, glipizide dan glimepiride. Antara kesan sampingannya ialah gula darah menjadi rendah dan pertambahan berat badan
  • Thiazolidinediones: Ubat ini berfungsi meningkatkan sensitiviti tisu tubuh badan terhadap insulin, sama seperti metformin. Ubat jenis ini mempunyai beberapa kesan sampingan seperti anemia dan risiko kegagalan jantung
  • DPP-inhibitors: Ubat ini bertindak mengurangkan tahap gula darah, tetapi mempunyai beberapa kesan sampingan tersendiri. Ini termasuklah kesakitan pada bahagian sendi dan juga peningkatan risiko untuk anda mengalami pankreatitis
  • GLP-1 receptor agonists: Ubat secara suntikan ini berfungsi memperlahankan penghadaman dan juga membantu menurunkan kadar gula darah. Namun, sepertimana ubatan yang lain, ia turut mempunyai kesan sampingan iaitu berasa loya dan juga meningkatkan risiko untuk mendapat pankreatitis
  • SGLT2 inhibitors: Ubatan ini berfungsi mengelakkan buah pinggang daripada kembali menyerap glukosa ke dalam darah anda dengan cara mengeluarkannya melalui air kencing. Ubat ini mungkin mengurangkan risiko untuk mendapat serangan jantung dan strok bagi mereka yang berisiko tinggi untuk mengalaminya
  • Insulin: Insulin mungkin diperlukan bagi sesetengah pesakit diabetes jenis 2. Namun, antara kesan sampingannya adalah paras darah yang terlalu rendah atau hipoglisemia. Insulin perlu disuntik kerana jika ia diambil melalui mulut, ia tidak berkesan kerana proses penghadaman akan mengganggu keberkesanan insulin tersebut

Selain daripada jenis ubat-ubatan yang disenaraikan seperti di atas ini, doktor juga mungkin akan memberikan anda aspirin dengan dos rendah yang bertujuan mengelakkan penyakit berkaitan jantung dan salur darah. 

Selain itu, doktor juga mungkin akan memberikan ubat-ubatan untuk menurunkan kolesterol dan tekanan darah bagi tujuan yang sama. 

Penjagaan pesakit diabetes no. 3: Melakukan aktiviti fizikal atau bersukan

penjagaan pesakit diabetes

Sebarang aktiviti fizikal yang dilakukan boleh membantu mengawal glisemik dan mengawal berat badan.

Aktiviti fizikal yang bersifat sederhana biasanya adalah selamat untuk dilakukan oleh pesakit diabetes.  Ia bukanlah satu cabaran pesakit diabetes yang besar.

Namun, untuk mengelakkan sebarang komplikasi yang mungkin akan berlaku, pesakit diabetes perlulah dinilai terlebih dahulu oleh doktor.

Anda boleh memilih untuk melakukan sebarang aktiviti fizikal yang diminati, namun seeloknya berpandukan kepada panduan di bawah ini.

  • Setiap individu disarankan untuk melakukan senaman sekurang-kurangnya 5 kali sehari. Elakkan tidak melakukan aktiviti 2 hari berturut-turut
  • Bagi pesakit diabetes jenis 2, aktiviti senaman terbukti mampu mengawal glisemik selain mengurangkan kebergantungan terhadap suntikan insulin. Senaman juga boleh membantu mengurangkan berat badan anda
  • Senaman dan juga aerobik sangat bermanfaat kepada pesakit diabetes dan sekiranya boleh, amalkan kedua-duanya sekali ketika anda meluangkan masa untuk bersukan. Tempoh masa senaman perlulah sekurang-kurangnya selama 150 minit setiap minggu bagi jenis aktiviti fizikal berintensiti sederhana. Manakala bagi aktiviti fizikal yang berintensiti tinggi, anda perlu menyertainya dalam tempoh sekurang-kurangnya 90 minit
  • Individu yang obes atau mempunyai berat badan yang berlebihan perlulah meningkatkan tempoh masa senaman tersebut secara perlahan-lahan antara 60 hingga 90 minit setiap hari. Ini membolehkan anda untuk menurunkan berat badan dengan lebih berkesan
  • Untuk mengelakkan paras gula darah menjadi terlalu rendah atau disebut hipoglisemia, ubat-ubatan yang diambil bolehlah dikurangkan atas nasihat doktor. Anda juga boleh mengambil sumber karbohidrat tambahan sebelum atau semasa melakukan aktiviti fizikal

Kesimpulan

Penjagaan pesakit diabetes perlulah dilakukan dengan cara yang tepat dan betul agar ia berkesan dalam mengawal kadar gula darah seperti yang ingin dicapai. 

Pengambilan makanan yang tepat, penggunaan ubat-ubatan yang betul dan kekerapan melakukan senaman atau aktiviti fizikal merupakan 3 langkah utama dalam penjagaan pesakit diabetes yang terbaik.

Walaupun ia mungkin antara cabaran pesakit diabetes, namun ia adalah untuk manfaat diri anda sendiri. 

[embed-health-tool-bmi]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Clinical Practice Guidelines: Management of Type 2 Diabetes Mellitus 5th Edition. 2015. Ministry of Health Malaysia

American Diabetes Association: “Type 2;” “What Can I Eat?;” “Diabetes and Heart Health–What’s the Connection?;” and “What About Protein?”

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/type-2-diabetes/diagnosis-treatment/drc-20351199#:~:text=Metformin%20(Glucophage%2C%20Glumetza%2C%20others,body%20uses%20insulin%20more%20effectively.

https://www.diabetes.org/diabetes/medication-management

https://www.diabetesaustralia.com.au/eating-well

Versi Terbaru

23/04/2021

Ditulis oleh Muhammad Wa'iz

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Fatin Zahra


Artikel Berkaitan

Ini Cara Mudah Mengesan Diabetes Jenis 2, Ada Beberapa Ujian Kena Lalui

Kenali Tanda Diabetes Jenis 2, Jika Muncul Simptom Ini, Jangan Berlengah Jumpa Doktor


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 23/04/2021

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan