Menikmati pencuci mulut boleh menjadi sukar sekiranya anda menghidapi diabetes kerana jika tidak kena gaya ia akan dapat membuatkan kondisi anda bertambah teruk!
Dengan pelbagai jenis kuih-muih dan pastri yang ada di pasaran, terutamanya ketika musim perayaan pasti akan membuatkan anda tidak tahan untuk menikmatinya.
Usah risau! Ini kerana walaupun mempunyai diabetes terutamanya bagi penghidap jenis 2, anda masih mampu untuk makan pencuci mulut yang tidak merosakkan gula dalam darah.
Ikuti artikel ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut makanan manis apa yang boleh anda nikmati!
Makan pencuci mulut dan diabetes
Kesalahfahaman yang popular mengenai diabetes adalah bahawa ia disebabkan oleh pengambilan terlalu banyak makanan bergula.
Walaupun ia boleh dan mempengaruhi kandungan gula dalam darah anda, namun gula tidak semestinya menyebabkan diabetes.
Walau bagaimanapun, jika anda menghidapi diabetes, anda harus memantau pengambilan karbohidrat dengan teliti.
Ini kerana karbohidrat bertanggungjawab dalam meningkatkan kadar gula dalam darah anda.
Selain itu. walaupun pesakit diabetes boleh nikmati makanan bergula, tapi penting untuk melakukannya secara sederhana dan dengan pemahaman mendalam tentang bagaimana ia mempengaruhi gula dalam darah.
Tip membaca label
Anda boleh menganggarkan tentang berapa banyak sesebuah pencuci mulut boleh mempengaruhi gula darah dengan membaca label fakta pemakanan di bahagian belakang bungkusannya.
3 aspek yang paling penting adalah ukuran hidangan, jumlah karbohidrat, dan jumlah kalori.
- Saiz hidangan
Semua maklumat pemakanan pada label dikira mengikut ukuran hidangan yang disenaraikan.
Justeru, adalah sangat penting untuk anda mengetahui saiz hidangan dan mengira pengambilan karbohidrat serta kalori berdasarkan berapa banyak yang anda rancang untuk makan.
- Jumlah karbohidrat
Jumlah bahagian karbohidrat akan menyenaraikan berapa banyak karbohidrat yang terdapat dalam hidangan makanan tertentu.
Anda perlu mengurangkan separuh daripada jumlah serat daripada amaun karbohidrat jika terdapat lebih daripada lima gram serat setiap hidangan.
- Jumlah kalori
Pengambilan kalori juga penting. Banyak makanan rendah gula atau pemanis buatan masih tinggi kalori dan rendah nilai pemakanan.
Memakannya secara berlebihan boleh menyumbang kepada masalah kenaikan berat badan, yang menjadikan kadar gula dalam darah anda lebih sukar untuk dikawal.
Pencuci mulut apakah yang sesuai bagi penghidap diabetes?
Mereka yang menghidap diabetes masih dapat menikmati sesuatu yang manis dari semasa ke semasa.
Walau bagaimanapun, penting untuk mengetahui apa kesan makanan tertentu terhadap gula dalam darah anda.
Kuncinya adalah menguruskan saiz hidangan. Terdapat banyak resipi yang boleh didapati hari ini yang enak dan rendah karbohidrat serta tidak menggunakan pemanis tiruan. Antaranya adalah:
- Brownies coklat walnut
Brownies ini mengandungi kacang walnut dan tanpa sebarang gula tambahan!
Pencuci mulut ini sememangnya dipermanis dengan menambahkan kurma, dan anda tidak akan sedar akan kehadiran walnut di dalamnya.
Sekiranya anda tertanya-tanya apakah rasa resipi brownies yang mengandungi kurma dan kacang walnut, rasanya seakan-akan brownies lah!
Oleh itu, anda akan dapat menikmati brownies sama seperti orang lain dengan kaedah yang jauh lebih sihat.
- Biskut rangup almond
Jika anda sudah bosan menikmati makanan karbohidrat rendah seperti sayur-sayuran dan keju, resipi biskut kacang almond berikut pasti akan mengujakan anda!
Resipi ini cukup mudah dan cepat dibuat. Ia boleh disiapkan pada petang hari dengan kuantiti yang banyak agar anda boleh menikmatinya pada masa lain atau berkongsi dengan keluarga dan rakan-rakan.
Setiap biskut tersebut hanya mengandungi 10 gram karbohidrat, hampir 60% kurang karbohidrat daripada biskut mentega kacang yang lain.
- Buah-buahan segar dihidang bersama yogurt
Gabungan yogurt dengan buah-buahan segar juga boleh menjadi pencuci mulut yang menyelerakan!
Anda boleh mencurahkan buah-buahan untuk persembahan ‘mewah’, atau menyediakan buah-buahan dalam mangkuk diisi dengan yogurt.
Sekitar 3/4 cawan buah-buahan segar di dalam 2 auns yogurt tanpa lemak hanya akan menjadi kira-kira 90 kalori dan 19 gram karbohidrat.
- Anggur yang dibekukan
Kadang-kadang idea pencuci mulut paling mudah mampu menjadi yang paling lazat.
Buah anggur beku mempunyai tekstur ranggup yang enak dinikmati begitu sahaja!
Cara menghasilkannya hanya dengan sekadar membekukan semalaman anggur segar di dalam peti bahagian sejuk beku.
Untuk membantu pengambilan gula yang sederhana, ramai orang menggunakan peraturan 3 gigitan iaitu anda akan menikmati 3 hidangan pencuci mulut.
Ia mempunyai fasa permulaan, pertengahan, dan akhir yang semestinya dapat memuaskan gigi manis anda tanpa meningkatkan tahap gula dalam darah.
Selamat mencuba!
[embed-health-tool-bmi]