Pernahkah anda dengar mengenai keracunan diabetes? Ia juga dipanggil sebagai ketoksikan glukosa (glucose toxicity), yang merupakan satu kondisi berlaku jika kadar gula dalam darah terlalu tinggi dan tidak dirawat secepat mungkin.
Kondisi ini berlaku disebabkan kerosakan pada sel beta dalam badan.
Apa itu sel beta? Sel beta merupakan sel yang bertanggungjawab menghasilkan hormon insulin. Insulin akan menarik gula dari darah supaya badan boleh menukarkannya kepada tenaga.
Kadar gula dalam darah yang terlalu tinggi atau hiperglisemia boleh menyebabkan keracunan kencing manis.
Apabila sel beta dalam badan rosak, penghasilan insulin akan berkurang. Badan juga akan menjadi lebih rintang terhadap insulin. Semua ini akan membawa kepada ketoksikan glukosa.
Ingin tahu lebih lanjut mengenai kondisi ini? Ikuti penjelasan kami dalam artikel di bawah.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kencing Manis, sila dapatkannya di sini.
Keracunan diabetes, apakah puncanya?
Ketoksikan glukosa boleh berlaku disebabkan kadar gula dalam darah yang terlalu tinggi dan dibiarkan tanpa sebarang rawatan.
Gula dalam darah yang tinggi atau hiperglisemia yang tidak dirawat boleh membawa masalah yang besar pada masa hadapan.
Malah, jika ia dibiarkan begitu sahaja, satu kondisi yang dikenali sebagai ketoasidosis atau koma diabetes boleh berlaku.
Koma diabetes berlaku apabila badan tidak mempunyai insulin yang mencukupi. Tanpa insulin, badan juga tidak dapat menukar glukosa kepada tenaga. Akhirnya, badan akan memecahkan lemak untuk dijadikan tenaga.
Apabila badan menggunakan lemak, satu bahan buangan yang dikenali sebagai keton akan dihasilkan.
Badan manusia tidak dapat menahan jumlah keton yang terlalu banyak. Oleh sebab itu, badan akan mengkumuhkannya melalui air kencing.
Walau bagaimanapun, badan juga tidak boleh membuang semua keton yang terbentuk di dalam darah. Akhirnya, pesakit mungkin akan alami ketoasidosis, satu kondisi yang boleh membawa maut.
Selain itu, pakar juga percaya bahawa stres oksidatif boleh menyebabkan keracunan diabetes. Stres oksidatif boleh merosakkan sel beta dan akhirnya, mengakibatkan ketoksikan glukosa.
Selain kadar gula yang terlalu tinggi, ada beberapa lagi punca lain yang boleh menyebabkan keracunan diabetes:
- Diet yang tidak seimbang.
- Jarang bersenam.
- Stres yang berpanjangan.
Baca juga:
- Ini 7 Tanda Diabetes Anda Tidak Terkawal, BAHAYA Boleh Mengancam Nyawa!
- Elak 5 Kesilapan Ini Semasa Periksa Kadar Gula Dalam Darah Di Rumah
Tanda anda mengalami ketoksikan glukosa
Seperti yang dijelaskan sebelum ini, kadar gula dalam darah yang tinggi boleh merosakkan organ dan tisu badan. Malah, ia juga boleh ‘membunuh’ sel darah putih dalam badan.
Oleh sebab itu, penghidap keracunan diabetes lebih berisiko untuk dijangkiti penyakit. Luka juga mengambil masa yang lebih lama untuk sembuh.
Kepada penghidap keracunan kencing manis, glukosa sendiri akan menjadi toksik. Melalui proses enzim, protein yang abnormal akan dihasilkan. Protein ini jugalah yang menyebabkan pesakit diabetes mengalami masalah sendi, terutamanya sindrom sendi keras dan arthritis.
Antara simptom yang perlu diperhatikan ialah:
- Rasa haus yang amat sangat.
- Kerap ke tandas.
- Penglihatan menjadi kabur.
- Rasa penat dan letih sepanjang hari.
- Pening kepala.
- Mulut yang kering.
- Sering rasa keliru.
Jika bacaan gula dalam darah anda melebihi 240 mg/dL, jumpa doktor secepat mungkin. Doktor dapat memberikan nasihat serta bekalkan ubat-ubatan yang sesuai dengan kondisi anda.
Bolehkah keracunan diabetes dirawat?
Ia boleh dirawat dengan cara merendahkan kadar gula dalam darah. Anda boleh melakukannya dengan:
- Mengubah diet dan memilih makanan yang lebih sihat.
- Bersenam dengan lebih kerap.
- Mengambil suntikan insulin.
- Mengambil ubat-ubatan diabetes.
Pendek kata, berjumpalah doktor untuk memastikan diabetes yang anda alami berada dalam kawalan.
Kesimpulan
Kepada penghidap diabetes sedia ada, jangan sesekali tinggalkan ubat tanpa arahan doktor. Teruskan melakukan rawatan seperti biasa untuk pastikan kadar gula dalam darah sentiasa terkawal.
Selain itu, pesakit juga boleh mengurangkan pengambilan karbohidrat seperti roti, pasta, minuman dan makanan yang manis serta snek seperti keropok dan biskut untuk mengawal kadar gula dalam darah.
Namun, anda tidak perlu elak makanan ini sepenuhnya. Anda cuma perlu makan secara sederhana. Secara amnya, cuba hadkan pengambilan karbohidrat kepada 30-75 gram sahaja untuk hidangan utama.
Mengurangkan stres juga dapat membantu mengawal kadar gula dalam darah. Jika anda sering rasa tertekan, cuba lakukan aktiviti yang digemari untuk bertenang.
Lakukan meditasi, yoga dan dapatkan tidur yang mencukupi. Senaman pernafasan juga dapat membantu meningkatkan sensitiviti insulin.
[embed-health-tool-bmi]