backup og meta

Adakah Penggunaan Ginseng Boleh Bantu Pesakit Diabetes Kawal Paras Gula Dalam Darah?

Adakah Penggunaan Ginseng Boleh Bantu Pesakit Diabetes Kawal Paras Gula Dalam Darah?

Ramai yang sedar akan khasiat ginseng. Ia adalah salah satu tumbuhan herba yang popular di seluruh dunia.

Sudah beribu tahun lamanya ginseng digunakan untuk merawat pelbagai jenis penyakit terutamanya jika ia berkait dengan masalah kelesuan, stres dan sebagainya.

Apa yang mungkin anda tidak tahu adalah, ginseng juga sering digunakan untuk mengawal gula dalam darah, memperbaiki aliran darah, memperkuatkan imuniti badan dan meningkatkan tahap kerintangan badan terhadap stres.

Lebih menarik, jika digunakan oleh pesakit diabetes, tumbuhan herba ini mampu memberikan kebaikan dalam konteks kawalan gula pesakit.

Baca artikel ini untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.

Kaya dengan antioksidan, khasiat ginseng boleh beri kebaikan kepada pesakit diabetes

Antioksidan merupakan kompaun yang sering menjadi perhatian pengguna di seluruh dunia.

Ia boleh membantu menurunkan kadar kemusnahan sel akibat daripada aktiviti molekul radikal bebas dan mempunyai sifat anti kanser.

Ginseng mengandungi kompaun antioksidan yang dikenali sebagai ginsenosida.

Ia berupaya untuk menurunkan kadar tekanan oksidatif dan keradangan sel yang kebiasaannya dialami oleh mereka yang menghidap masalah kencing manis.

Oleh sebab itulah ginseng pernah menarik minat para pengkaji yang ingin mencari penawar kepada masalah kencing manis.

Terdapat pelbagai kajian yang telah dijalankan bagi mengenal pasti khasiat ginseng dalam rawatan kencing manis.

Kajian metaanalisis 2014

tumbuhan herba

Kajian pada tahun tersebut telah meninjau semula 16 kajian berbeza yang memfokuskan kaedah pengambilan subjek bersifat rawak dengan tempoh kajian melebihi 30 hari.

Subjek diambil dalam kalangan pesakit kencing manis dan individu sihat.

Dapatan menunjukkan, mereka yang mengambil ginseng mempunyai paras gula di dalam darah yang lebih stabil berbanding dengan kumpulan kawalan.

Walau bagaimanapun, tumbuhan herba tersebut tidak menunjukkan kesan ketara pada kawalan A1C (sejenis darah yang membawa gula), insulin semasa berpuasa atau tahap kerintangan insulin.

Kajian metaanalisis 2016

Kajian ini melibatkan tinjauan terhadap 8 kajian yang membuktikan khasiat ginseng terhadap program rawatan bagi pesakit yang menghidap masalah kencing manis jenis 2.

Antara kebaikan yang terbukti melalui kajian-kajian tersebut adalah:

  1. Kawalan gula dalam darah semasa berpuasa yang baik.
  2. Kawalan insulin selepas makan yang baik.
  3. Penurunan pada tahap kerintangan insulin.

Walau bagaimanapun, implikasi penggunaan ginseng terhadap paras A1C masih tidak menunjukkan kesan yang ketara.

Kajian tersebut turut menemui khasiat ginseng lain seperti kawalan trigliserida, kolesterol dan lipoprotein berketumpatan rendah yang baik dalam kalangan pengguna.

Kajian 2019 berkaitan khasiat ginseng

Kajian pada tahun tersebut menunjukkan penggunaan ginseng boleh meningkatkan fungsi endotelial (lapisan dalam salur darah).

Perubahan pada paras bagi parameter tersebut memberi implikasi bahawa penggunaan ginseng boleh melindungi pesakit diabetes daripada masalah kardiovaskular.

Kontraindikasi dan kesan sampingan ginseng

khasiat ginseng

Jangan ingat pengambilan tumbuhan herba tiada kesan sampingan! Ia merupakan sejenis rawatan yang boleh mempengaruhi fungsi pelbagai jenis organ dan sistem di seluruh badan.

Setakat ini, kesan ginseng terhadap ibu hamil dan janin yang sedang membesar masih lagi tidak diketahui.

Maka mereka tidak digalakkan untuk mengambil herba tersebut.

Jika anda mengambil ubat cair darah, anda mungkin perlu merujuk kepada doktor sebelum menggunakan sebarang suplemen yang mengandungi ginseng.

Ia berikutan herba tersebut boleh mempengaruhi keupayaan darah untuk membeku.

Mereka yang mempunyai masalah ketumbuhan sensitif hormon (seperti kanser payudara) atau keadaan sensitif hormon seperti endometriosis juga tidak digalakkan mengambilnya.

Antara kesan sampingan yang boleh dialami oleh mereka yang mengambil ginseng adalah:

  • Insomnia
  • Keresahan
  • Cirit-birit
  • Sakit kepala

Jika anda mengambil ubat kencing manis seperti insulin dan beberapa jenis ubat pil seperti glimepiride, glyburide dan glipizide, anda perlu merujuk kepada doktor terlebih dahulu.

Ia berikutan interaksi di antara ginseng dan ubatan tersebut boleh menyebabkan masalah hipoglisemia (paras gula di bawah normal).

Konklusi

Walaupun ginseng terbukti berkesan untuk mengawal paras gula dalam kalangan pesakit diabetes, penggunaannya perlu dipantau oleh doktor perubatan.

Ia berikutan herba tersebut boleh berinteraksi dengan ubat kencing manis sehingga menyebabkan kesan sampingan yang boleh mengancam nyawa.

Jika anda mempunyai persoalan berkaitan dengannya, ajukan kepada doktor perubatan bertauliah untuk khidmat nasihat kesihatan.

[embed-health-tool-bmi]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. American ginseng. (https://medlineplus.gov/druginfo/natural/967.html). Diakses pada 1 Mac 2021.
  2. Role of ginsenosides in reactive oxygen species-mediated anticancer therapy. (https://www.oncotarget.com/article/23407/text/). Diakses pada 1 Mac 2021.
  3. The Effect of Ginseng (The Genus Panax) on Glycemic Control: A Systematic Review and Meta-Analysis of Randomized Controlled Clinical Trials. (https://journals.plos.org/plosone/article?id=10.1371/journal.pone.0107391). Diakses pada 1 Mac 2021.
  4. The Efficacy of Ginseng-Related Therapies in Type 2 Diabetes Mellitus An Updated Systematic Review and Meta-analysis. (https://journals.lww.com/md-journal/Fulltext/2016/02090/The_Efficacy_of_Ginseng_Related_Therapies_in_Type.20.aspx). Diakses pada 1 Mac 2021.
  5. Efficacy and safety of American ginseng (Panax quinquefolius L.) extract on glycemic control and cardiovascular risk factors in individuals with type 2 diabetes: a double-blind, randomized, cross-over clinical trial. (https://link.springer.com/article/10.1007/s00394-018-1642-0). Diakses pada 1 Mac 2021.
  6. Ginseng. (https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK538198/). Diakses pada 1 Mac 2021.
  7. American Ginseng Extract (Panax quinquefolius L.) Is Safe in Long-Term Use in Type 2 Diabetic Patients. (https://www.hindawi.com/journals/ecam/2014/969168/). Diakses pada 1 Mac 2021.

Versi Terbaru

02/02/2024

Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Muhammad Wa'iz


Artikel Berkaitan

Salah Satu Petanda Hidap Diabetes Adalah Mulut Kering! Jaga-jaga Jika Anda Alaminya

Terkejut Kencing Berbuih? Jangan Biarkan! Ada 3 Puncanya, Termasuk Penyakit Kronik!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 02/02/2024

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan