home

What are your concerns?

close
Inaccurate
Hard to understand
Other

Kencing Manis Memang Satu Penyakit Serius, Pembawa 6 Masalah Kesihatan Lain, Semak Sini

Kencing Manis Memang Satu Penyakit Serius, Pembawa 6 Masalah Kesihatan Lain, Semak Sini

Kencing manis adalah satu keadaan kesihatan yang mendatangkan kesan kepada cara badan seseorang individu menggunakan gula untuk tenaga. Walau bagaimanapun, kesan kencing manis ini adalah secara menyeluruh, bukan sahaja dari aspek bagaimana badan menjalankan fungsi dan peranannya, tetapi ia juga memberi impak kepada emosi, fizikal dan gaya kehidupan seseorang pesakit.

Moga perkongsian kali ini dapat membantu anda untuk memahami dengan lebih mendalam mengenai kesan kencing manis dalam kehidupan seseorang individu yang menderita penyakit kencing manis.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kencing Manis, sila dapatkannya di sini.

Apa itu kencing manis?

Penyakit kencing manis atau turut dikenali sebagai diabetes ini bukan sahaja dihidapi oleh golongan yang berusia, malah saban tahun ia semakin menular tanpa mengira usia dan jantina termasuk kanak-kanak dan remaja.

Kencing manis secara ringkasnya merupakan satu masalah kesihatan yang berkaitan dengan kadar gula dalam darah yang tinggi. Ia adalah satu keadaan yang mengganggu dan merosakkan keupayaan badan untuk memproses glukosa darah atau dikenali sebagai gula dalam darah.

Turut dikenali sebagai Diabetes Mellitus (DM) dalam kalangan warga perubatan, penyakit diabetes ini boleh dibahagikan kepada tiga subkategori utama, iaitu:

  • Diabetes Mellitus jenis 1 (Type 1 Diabetes Mellitus, T1DM)

Merupakan diabetes yang paling kerap berlaku dalam kalangan individu kanak-kanak dan juga remaja. Ia adalah sejenis penyakit kronik yang berkait rapat dengan pelbagai komplikasi seperti retinopati, nefropati, neuropati dan juga morbiditi berkaitan dengan sistem kardiovaskular.

  • Diabetes Mellitus jenis 2 (Type 2 Diabetes Mellitus,T2DM)

Adalah satu penyakit diabetes yang kerap berlaku dalam kalangan individu dewasa. Diabetes jenis 2 ini banyak dipengaruhi oleh faktor persekitaran dan juga peranan kecenderungan genetik seseorang itu.

  • Diabetes Mellitus ketika hamil (Gestational Diabetes Mellitus, GDM)

Gestational diabetes mellitus (GDM) adalah merupakan satu penyakit yang biasa dialami oleh individu wanita hamil. Ia adalah salah satu komplikasi perubatan kerap dihadapi semasa kehamilan.

Tidak seperti bentuk diabetes yang lain, diabetes gestasi akan hilang sejurus selepas kelahiran. Diabetes ini boleh menjejaskan kesihatan ibu dan janin jika tidak dikesan dan dikawal.

Jika ia dibiarkan secara berterusan, tanpa sebarang kawalan dan penjagaan yang lebih baik, kencing manis berisiko untuk menyebabkan pembentukan gula dalam darah, yang cenderung untuk meningkatkan risiko komplikasi penyakit kronik dan berbahaya seperti strok (angin ahmar), penyakit jantung, masalah buah pinggang, dan masalah kesihatan yang melibatkan saraf.

Komplikasi kesan kencing manis jangka panjang

kesan kencing manis

Antara masalah kesihatan kesan kencing manis untuk tempoh jangka masa yang panjang adalah seperti:

  • Merosakkan saluran darah besar pada jantung, otak dan kaki (komplikasi maskovaskular)
  • Merosakkan saluran darah kecil, yang boleh menyebabkan masalah pada mata, buah pinggang, kaki dan saraf (komplikasi mikrovaskular)

Bahagian badan yang lain juga berisiko untuk mengalami impak daripada kesan kencing manis, termasuklah sistem pencernaan, kulit, organ seksual, gigi dan gusi serta sistem imunisasi.

Berikut adalah beberapa komplikasi kesan kencing manis yang boleh berlaku:

1. Penyakit kencing manis dan kardiovaskular

Penyakit kardiovaskular adalah termasuk penyakit pada saluran darah, serangan jantung dan angin ahmar (strok). Ia adalah punca utama kematian di Australia.

Risiko penyakit kardiovaskular akan menjadi lebih besar bagi individu yang menghidap kencing manis, yang sering mengalami masalah peningkatan kadar kolesterol dan tekanan darah.

Tabiat merokok, mempunyai sejarah keluarga yang menghidap penyakit kardiovaskular dan tidak menjalani kehidupan yang aktif juga meningkatkan risiko penyakit dalam diri anda.

Untuk mengurangkan risiko dan mendapatkan pengesanan untuk sebarang masalah pada peringkat awal, pastikan anda:

  • Melakukan pemeriksaan tekanan darah bagi setiap 6 bulan atau lebih kerap sekiranya anda mempunyai masalah tekanan darah tinggi atau mengambil sebarang ubat-ubatan untuk menurunkan tekanan darah anda.
  • Menjalani pemeriksaan HbA1c sekurang-kurangnya setahun sekali atau 3 hingga 6 bulan sekali, mengikut saranan doktor.
  • Melakukan pemeriksaan kolesterol setiap tahun. Ujian patologi lanjut seperti elektrokardiogram (ECG) atau ujian tekanan senaman juga boleh disyorkan oleh doktor anda.

2. Penyakit mata dan kencing manis

Antara masalah berkaitan dengan mata dan kesan kencing manis yang boleh berlaku adalah seperti:

#Retinopati

Kesan Kencing Manis dalam Kehidupan Individu - retinopati

Dengan keadaan mata seperti ini, saluran darah pada retina menjadi rosak yang akhirnya memberikan kesan kepada tahap penglihatan anda.

Retinopati wujud dalam pelbagai peringkat. Pada peringkat awal, biasanya wujud simptom, jadi melakukan pemeriksaan mata bagi kencing manis adalah penting untuk pengesanan peringkat awal.

Pemeriksaan mata biasa dapat membantu mengesan sebarang perubahan dan membolehkan rawatan awal yang diperlukan dapat dilakukan untuk menghindari kerosakan yang lebih kronik.

#Edema makular

Makula merupakan sebahagian daripada retina dan ia membantu anda untuk melihat sesuatu objek dengan lebih jelas. Pembengkakan pada kawasan ini boleh berlaku apabila saluran darah pada retina rosak dan menyebabkan wujudnya bendalir.

Keadaan ini cenderung menyebabkan makula menjadi rosak dan penglihatan menjadi kabur. Terdapat rawatan untuk mengatasi masalah ini. Pengesanan awal adalah amat penting.

#Katarak

Akan muncul selaput pada lensa mata dan menjadikan penglihatan terganggu, sensitif terhadap silau dan penglihatan terhad. Individu yang menghidap diabetes boleh mendapat masalah katarak pada usia yang lebih awal daripada biasa.

#Glaukoma

Keadaan ini berlaku apabila bendalir dalam mata wujud dalam tahap yang lebih tinggi daripada kuantiti yang sepatutnya. Ia sekali gus menyebabkan wujudnya tekanan yang boleh merosakkan mata dari masa ke masa. Glaukoma boleh berlaku kepada individu yang menghidapi diabetes ataupun tanpa diabetes.

3. Penyakit buah pinggang dan diabetes

Nefropati bermaksud penyakit atau kerosakan buah pinggang. Nefropati diabetes adalah kerosakan kepada buah pinggang yang disebabkan oleh diabetes.

Dalam kes yang teruk, ia boleh membawa kepada kegagalan buah pinggang. Namun, tidaklah semua individu yang menghidap diabetes mempunyai kerosakan buah pinggang.

Pada peringkat awal nefropati diabetes, anda mungkin tidak dapat melihat sebarang tanda atau gejala. Mungkin terdapat beberapa simptom seperti:

  • Kawalan tekanan darah yang semakin teruk
  • Protein dalam air kencing
  • Bengkak kaki, buku lali, tangan atau mata
  • Peningkatan keperluan untuk membuang air kecil
  • Kurang memerlukan insulin atau ubat diabetes
  • Kekeliruan atau kesukaran menumpukan perhatian
  • Hilang selera makan
  • Pening dan muntah
  • Gatal berterusan
  • Keletihan

Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang apa-apa simptom, sila berjumpa dengan doktor anda.

4. Kerosakan saraf dan kencing manis

Kerosakan saraf (neuropati) biasanya berlaku disebabkan oleh paras gula dalam darah yang tinggi, walaupun keadaan ini juga boleh berlaku kerana keadaan seperti:

  • Pengambilan minuman alkohol yang banyak
  • Kekurangan vitamin B12

Kerosakan pada saraf sama ada pada saraf emosi dan motor (pergerakan) boleh berlaku pada saraf kaki, lengan, tangan, dada dan perut serta saraf yang mengawal tindakan organ-organ badan.

5. Masalah kaki dan kencing manis

Kaki individu yang menghidap kencing manis adalah berisiko untuk mengalami kerosakan apabila bekalan darah kepada kedua-dua kaki pada saluran darah yang besar atau kecil berkurangan.

Kerosakan saraf (neuropati periferal) sering menyebabkan masalah atau kesan kepada struktur kaki. Masalah pada aliran bekalan darah dan fungsi saraf boleh melambatkan penyembuhan dan meningkatkan risiko jangkitan dan mengurangkan deria rasa pada kaki.

6. Masalah kulit dan kencing manis

Antara komplikasi kesan kencing manis yang boleh berlaku adalah individu dengan masalah kesihatan ini mungkin akan mengalami kulit yang sangat kering akibat kerosakan pada saluran darah dan saraf kecil. Masalah paling biasa dialami pesakit diabetes adalah kulit yang sangat kering pada bahagian atas kaki.

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan
  1. Diabetes – long-term effects https://www.betterhealth.vic.gov.au/health/conditionsandtreatments/diabetes-long-term-effects / Accessed on July 25, 2019.
  2. https://www.diabetes.org/
  3. https://www.cdc.gov/diabetes/basics/diabetes.html
  4. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/diabetes/symptoms-causes/syc-20371444
  5. https://www.niddk.nih.gov/health-information/diabetes/overview/what-is-diabetes

 

Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Asyikin Md Isa Disemak pada 25/05/2021
Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan