backup og meta

Ini Sebab Pentingnya Perlindungan Kesihatan Mental Dalam Insurans Anda!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 10/09/2021

    Ini Sebab Pentingnya Perlindungan Kesihatan Mental Dalam Insurans Anda!

    Dalam perlindungan insurans anda, ada tak merangkumi masalah kesihatan mental? Tiada? Ini sebabnya anda perlu mencari dan memilih jenis insurans yang melindungi aspek mental.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan, sila dapatkannya di sini.

    Perlindungan insurans untuk kesihatan mental

    Apabila bercakap mengenai kesihatan, kita sering terlupa tentang keadaan kesihatan mental. Bahkan mungkin ada yang menganggap ia tidak sepenting penjagaan kesihatan fizikal lain.

    Namun hakikatnya, perlindungan bagi keadaan mental seseorang individu sama pentingnya dengan aspek fizikal diri yang lain. 

    Itulah situasinya dengan perlindungan insurans yang ditawarkan. 

    Di Malaysia, kebanyakan jenis insurans lebih mengutamakan perlindungan untuk penyakit fizikal berbanding gangguan kepada keadaan mental.

    Oleh itu, ia bukan sesuatu yang mengejutkan apabila aspek kesihatan mental individu di negara ini semakin merosot.

    Stigma dan budaya serta gaya kehidupan tidak sihat dilihat sebagai antara faktor utama penyumbang yang menjejaskan kesihatan mental.

    Malahan jika melihatkan kepada statistik, anda akan mendapati masalah seperti tekanan, gangguan kegelisahan dan gangguan kemurungan mendahului isu melibatkan kesihatan mental di negara ini. 

    Penulis tidak menafikan, tahap kesedaran mengenai kesihatan mental dan kesejahteraan diri secara umum dilihat semakin meningkat berbanding sedekad lalu.

    Tetapi tidak terdapat banyak perubahan apabila melibatkan perlindungan dalam jenis insurans yang ditawarkan.

    perlindungan insurans

    Perbezaan perlindungan dalam jenis insurans

    Penulis yakin jika anda individu bekerja sama ada menjalankan perniagaan sendiri atau menjadi pekerja bagi sesebuah syarikat, terdapat perlindungan insurans kesihatan yang diberikan, betul tak?

    Biasanya, insurans kesihatan itu akan menampung pelbagai jenis masalah kesihatan dan penyakit serta kemalangan yang mungkin dialami.

    Pun begitu, sekiranya anda mengalami masalah berkaitan kesihatan mental seperti gangguan kegelisahan atau kemurungan mahupun tekanan berkaitan dengan tugasan kerja yang mengakibatkan kemerosotan prestasi, tiada jenis insurans untuk menampungnya.

    Keadaan dilihat sedikit berbeza di negara luar.

    Kerana bermula 2014, kebanyakan pelan insurans yang dijual perlu mempunyai perlindungan kesihatan mental dan perlindungan bahan di bawah undang-undang The Paul Wellstone and Pete Domenici Mental Health Parity and Addiction Equity Act of 2008 (MHPAEA).

    Adakah di Malaysia, penyakit atau keadaan melibatkan kesihatan mental tidak dapat diklasifikasikan sebagai keadaan kesihatan sebenarnya?

    Baca juga:

    Angka yang membimbangkan

    Di atas penulis ada menyebutkan mengenai statistik mengenai masalah kesihatan mental, bukan?

    Pada tahun 2019, Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA) memohon agar rawatan kesihatan mental dimasukkan dalam perlindungan insurans kesihatan.

    Ia berikutan peningkatan bilangan membimbangkan mengenai individu yang menghadapi masalah berkaitan mental ini.

    Apa yang menyedihkan, kebanyakan daripada mereka tidak mendapatkan rawatan kerana dibelenggu masalah kewangan.

    Berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Nasional 2017 mengenai kesihatan mental dalam kalangan belia menunjukkan, 1 daripada 5 remaja mengalami tekanan.

    Sementara 2 daripada 4 individu berdepan kegelisahan dengan 11.2% daripadanya mempunyai niat untuk membunuh diri. 

    Bahkan, dalam tinjauan tersebut mendapati 10.1% remaja telah cuba untuk mengambil nyawa sendiri. 

    Nisbah pelajar yang mempunyai masalah mental turut meningkat daripada 1 bagi setiap 10 individu pada tahun 2011 kepada 1 daripada 5 individu pada tahun 2016.

    jenis insurans

    Melalui tinjauan yang dilakukan pada 2015 mendapati bahawa hampir 4.2 juta rakyat Malaysia, berusia 16 tahun ke atas atau 29.2% penduduk negara ini, menderita pelbagai masalah mental, berbanding 10.7% pada tahun 1996.

    Itu keadaan sebelum dunia kini dilanda wabak COVID-19, kini dengan tekanan yang perlu dihadapi kesan daripada penularan jangkitan itu, pastinya berlaku peningkatan angka melibatkan kesihatan mental. 

    Jadi apakah masalah berkaitan kesihatan mental masih tidak penting untuk berada di bawah perlindungan insurans? 

    Sedangkan sesiapa sahaja, tanpa mengira peringkat usia boleh mengalami masalah mental!

    Perlindungan insurans untuk kesihatan mental

    Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), seorang individu akan mati bagi setiap 40 saat kerana membunuh diri.

    Di seluruh dunia pula, dianggarkan 300 juta individu terjejas dek kerana gangguan kemurungan, sementara 60 juta yang lain hidup dengan gangguan afektif bipolar.

    Manakala masalah skizofrenia, antara gangguan mental yang teruk, dipercayai mempengaruhi hampir 23 juta individu. 

    Dikatakan kesihatan mental sukar mendapat perlindungan insurans kerana definisi penyakit mental yang tidak cukup jelas untuk dijamin. 

    Itu kisah dahulu. Terdapat sedikit perubahan yang boleh dilihat pada masa kini. Syukurlah! 

    Daripada hasil carian penulis, terdapat 2 syarikat insurans yang menawarkan perlindungan untuk kesihatan mental di Malaysia.

    Antara aspek kesihatan mental yang mendapat perlindungan insurans adalah:

    • Kecelaruan kemurungan major (Major Depressive Disorders)
    • Kemurungan selepas bersalin (Post-Partum Depression)
    • Skizofrenia 
    • Kecelaruan bipolar 
    • Kecelaruan obsesif kompulsif (Obsessive-Compulsive Disorder)
    • Sindrom Tourette (Tourette Syndrome)
    • Gangguan bipolar afektif
    • Gangguan skizoafektif

    Ia satu permulaan yang bagus. 

    Jadi selepas mengetahui kepentingan perlindungan untuk kesihatan mental, sekarang ini segalanya terletak di tangan anda, sama ada untuk memilih jenis insurans tanpa perlindungan mental atau tidak.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 10/09/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan