Wabak penyakit COVID-19 telah memberi impak besar ke atas semua sektor, termasuk pendidikan. Norma baharu dihadapi pelajar ternyata menjadi cabaran kepada proses pembelajaran.
Bukan itu sahaja, wabak penyakit ini juga telah memaksa sektor pendidikan untuk menjalankan pembelajaran atas talian bagi mengekang penularan koronavirus.
Secara tidak langsung, norma baharu ini memberikan pelbagai kesan ke atas para pelajar dari segi pengalaman dan jangkaan pembelajaran.
Ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai kesan yang dibawa oleh pandemik ini kepada pelajar? Jom baca topik ini sempena Hari Pelajar Antarabangsa yang berlangsung tanggal 17 November!
Kenali koronavirus (COVID-19)
Koronavirus (COVID-19) adalah penyakit berjangkit yang berpunca daripada virus korona yang baru ditemui.
Kes pertama yang dilaporkan adalah pada Disember 2019 di Wuhan, China.
COVID-19 menyerang manusia dalam cara yang berbeza. Simptom-simptom virus ini adalah seperti demam, batuk kering dan keletihan.
Bagi warga emas, kanak-kanak dan penghidap penyakit kritikal seperti masalah jantung, diabetes, masalah pernafasan yang kronik, dan kanser, golongan ini adalah berisiko tinggi untuk terkena jangkitan.
Gejala yang serius adalah seperti sukar bernafas atau nafas pendek, sakit dada atau rasa tekanan di bahagian dada dan pergerakan yang terhad.
COVID-19 berjangkit melalui transmisi zarah pernafasan manusia serta sentuhan.
Apabila berada dalam jarak yang dekat dengan pesakit yang mempunyai simptom, transmisi zarah akan mudah berlaku apabila mulut dan hidung mereka terdedah.
Tambahan lagi, transmisi zarah juga akan mudah berlaku apabila berada dekat dengan kawasan sekeliling pesakit.
Wabak penyakit COVID-19 & sektor pendidikan
Tatkala ancaman COVID-19 masih membelenggu dunia sepanjang tahun ini, dalam tempoh masa yang singkat ini telah memberikan impak besar kepada pelbagai sektor di negara kita.
Bukan sahaja dari segi peningkatan kadar pengangguran dan ketidaktentuan ekonomi dunia, malahan sektor-sektor lain turut merasai tempias pandemik, sektor pendidikan juga tidak terkecuali.
Norma baharu telah mengheret sektor pendidikan negara ini ke arah penggunaan teknologi secara maksimum.
Untuk itu, pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran hari ini adalah dengan menggunakan kaedah pembelajaran atas talian.
Pun begitu, wabak penyakit ini telah meninggalkan kesan yang besar kerana menurut tinjauan yang dijalankan oleh Esteban Aucejo, Jacob French, Maria Paola Ugalde Araya, dan Basit Zafar:
- 13% majlis konvokesyen masih tertunda dek COVID-19, manakala pelajar berpendapatan rendah lebih cenderung untuk terkesan sebanyak 55%
- 40% kehilangan pekerjaan, latihan praktikal serta tawaran kerja
Data membimbangkan ini sedikit sebanyak mengganggu kesihatan mental para pelajar dalam jangkaan dan perancangan masa hadapan mereka.
Pengalaman & jangkaan para pelajar
- Pengalaman
Pengalaman yang dihadapi pelajar dalam era norma baharu ini agak membimbangkan atas pelbagai kekangan yang menyulitkan proses pembelajaran.
Satu tinjauan oleh Pearson dan Wonkhe, pembelajaran atas talian telah menjadi satu cabaran bagi mereka dan memberikan kesan terutamanya terhadap kesihatan mental.
Masalah internet, kewangan, pembahagian tugasan dan banyak lagi melemahkan semangat belajar mereka berbanding dengan pembelajaran di dalam kelas.
Bukan itu sahaja, cara pihak universiti menguruskan interaksi dan pembelajaran atas talian juga dikatakan meningkatkan kegelisahan dan memberi kesan negatif kepada kesejahteraan pelajar.
Hasil tinjauan kepada hampir 3,500 pelajar mendapati:
- 71% mengatakan mereka sering ‘berjuang’ dengan motivasi dan minat untuk teruskan pelajaran
- 65% mengatakan mereka sukar untuk kekalkan perhubungan dengan teman sebaya dan tenaga pengajar
- 63% mengatakan pelajar berasa kurang bersedia untuk melaksanakan tugasan dan aktiviti kursus
- Separuh lagi pula mengatakan mereka menghadapi kesukaran dalam menguruskan masa di rumah
Angka-angka ini mengecewakan kerana pembelajaran atas talian yang dilakukan dengan baik mampu menjadi sama efektif, malahan kadangkala lebih berkesan berbanding di dalam kelas.
Malangnya, ia tidak mampu menjadi pengalaman yang menyeronokkan buat kebanyakan pelajar atas kekangan peribadi yang dialami.
- Jangkaan
Berdasarkan tinjauan tersebut, pelajar mahukan pembelajaran yang lebih interaktif, dengan ceramah prarakaman yang lebih sedikit, dan lebih banyak peluang untuk bertanya.
Bukan itu sahaja, mereka mahukan perhatian lebih daripada pensyarah dan tutor, dengan lebih banyak sokongan secara perseorangan (one-to-one).
Tambahan lagi, mereka mahukan pertolongan dalam mengakses teknologi dan sumber pembelajaran, di samping meminta pihak universiti untuk lebih jelas dalam komunikasi perancangan yang dirancang.
Namun, dalam masa yang sama mereka juga risau akan tahun mendatang.
Ini kerana dengan kesulitan proses pembelajaran dialami para pelajar sekarang mampu memberi kesan terhadap prestasi pembelajaran mereka.
Konklusinya…
Dengan kehadiran pandemik koronavirus yang masih membelenggu dunia, para pelajar masih perlu untuk kekal bergantung pada pembelajaran atas talian.
Walaupun ia menjadi satu cabaran besar kepada mereka, pihak pentadbiran yang bertanggungjawab termasuk ibu bapa harus mengambil tindakan dan melakukan insiatif yang dapat membantu para pelajar.
Bagi pelajar di luar sana yang bergelut dengan pembelajaran norma baharu ini, moga dikuatkan semangat dan kekal positif kerana semua yang terjadi pastinya mempunyai hikmah pada masa hadapan.
[embed-health-tool-child-growth-chart]