backup og meta

Kenapa Wujudnya Ubun-ubun Pada Kepala Bayi? Ini 3 Sebab UTAMA!

Kenapa Wujudnya Ubun-ubun Pada Kepala Bayi? Ini 3 Sebab UTAMA!

Pernah tersentuh atau terpegang kepala bayi? Jika pernah, sudah tentu anda akan perasan bahawa terdapat satu bahagian yang lembut pada kepalanya bukan?. Untuk pengetahuan anda, bahagian inilah yang dikenali sebagai ubun-ubun bayi!

Detik-detik kelahiran bayi

Kelahiran bayi merupakan suatu detik yang amat ditunggu oleh pasangan ibu bapa setelah sekian bulan menunggu. Usai sahaja kelahirannya, ibu bapa sudah pasti tidak sabar lagi untuk memegang, mengendong dan mendukung bayi yang sangat comel itu bukan?

Namun begitu, anda mungkin akan berasa bimbang dengan bahagian pada kepala bayi yang sangat lembut terutamanya bagi ibu bapa yang baharu. Ini akan menyebabkan ibu bapa berfikir sama ada bahagian tersebut boleh disentuh atau tidak?

Usah khuatir, Hello Doktor akan membantu anda menjawab persoalan ini!

Apakah itu ubun-ubun bayi?

bayi

Buat anda yang belum tahu, bahagian lembut pada kepala bayi ini dinamakan ubun-ubun atau nama saintifiknya fontanel. Terdapat dua bahagian fontanel pada kepala bayi yang baharu lahir iaitu:

  • Fontanel posterior

Fontanel posterior berada pada bahagian belakang kepala bayi dan berbentuk segi tiga. Fontanel ini lebih kecil berbanding fontanel anterior. Selain itu, fontanel ini agak sukar untuk dirasakan oleh ibu bapa dan kebiasaannya akan tertutup sendiri apabila bayi mula mencecah usia 6 minggu.

  • Fontanel anterior

Fontanel anterior berada pada bahagian atas kepala bayi dan berbentuk seperti layang-layang. Fontanel ini lebih besar berbanding fontanel posterior. Selain itu, fontanel ini sangat mudah untuk dirasa oleh ibu bapa dan tidak akan tertutup dengan sempurna sehingga bayi mula mencecah usia 18 bulan.

Mengapa bayi mempunyai ubun-ubun?

bayi

Sekarang kita sudah tahu bahawa setiap bayi akan lahir dengan satu bahagian lembut pada kepala yang dikenali sebagai ubun-ubun. Persoalannya, kenapa ia wujud? Adakah terdapat tujuan di sebalik kewujudannya?

#1. Memudahkan proses kelahiran bayi

Sebenarnya, ubun-ubun atau fontanel ini berfungsi memudahkan proses kelahiran bayi. Kewujudan ubun-ubun ini sangat berguna bagi memudahkan tengkorak bayi yang hanya dihubungkan oleh tisu-tisu ini berubah bentuk apabila sedang melalui jalan keluar ketika kelahiran melalui saluran faraj sekiranya bersalin secara normal.

Seperti yang sedia maklum, bahagian kepala bayi merupakan bahagian yang paling besar pada anggota badan bayi. Oleh itu, dengan kaedah semula jadi ini bayi akan lebih mudah untuk keluar. Anda tidak perlu risau kerana lama-kelamaan, tulang-tulang ini akan bertemu dan bercantum lalu akan tertutup pada satu ketika nanti.

#2. Memberi ruang untuk otak bayi berkembang

Bahagian lembut yang dipanggil ubun-ubun atau fontanel ini juga berfungsi memberi ruang untuk otak bayi berkembang. Menurut kajian yang pernah dilakukan, otak bayi akan mengalami perkembangan yang paling pesat ketika dua tahun pertama bayi anda.

Oleh itu, gunakan masa ini untuk memberi nutrisi yang secukupnya kepada bayi agar otak bayi anda boleh berkembang dengan sepenuhnya.

[embed-health-tool-vaccination-tool]

#3. Memberi petunjuk tentang tahap kesihatan bayi

Selain daripada dua sebab di atas, ubun-ubun atau fontanel pada bahagian kepala bayi boleh menjadi petunjuk atau indikator tentang tahap kesihatan bayi.

Sebagai contoh, sekiranya bahagian ini mendap, ia mungkin menunjukkan simptom bayi mengalami dehidrasi manakala jika bahagian ini kembung, ia mungkin menunjukkan simptom bayi menghidapi meningitis.

Dengan cara ini, ibu bapa boleh mengetahui serba sedikit mengenai keadaan kesihatan bayi dengan melihat kepada keadaan bahagian ini. Namun, anda sebaiknya merujuk kepada doktor untuk lebih kepastian.

Normal atau tidak ubun-ubun berdenyut?

kepala

Ya, bahagian ini memang akan berdenyut seperti jantung. Jika anda perhatikan dengan lebih terperinci, denyutan pada bahagian ubun-ubun ini sebenarnya berdenyut serentak dengan degupan jantung bayi.

Perkara ini sebenarnya anormal kerana terdapat pembuluh darah yang berdenyut di bahagian ubun-ubun. Apabila menginjak dewasa, ubun-ubun ini akan mula tertutup sendiri dan denyutan tersebut tidak dapat dirasa lagi.

Benar atau tidak ubun-ubun boleh berubah bentuk?

kepala

Sudah menjadi mitos bagi kalangan ibu bapa terutamanya ibu bapa baharu yang mempercayai bahawa ubun-ubun bayi boleh berubah bentuk sekiranya diletakkan dengan pelbagai tekanan.

Sebenarnya mitos ini juga ada benarnya. Sebagai ibu bapa, anda perlu untuk lebih berhati-hati ketika memandikan atau membaringkan bayi. Jangan memicit atau menekan bahagian ini dengan terlalu kuat untuk mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini!

Selain itu, penggunaan aksesori pada bahagian kepala seperti topi, bandana atau skaf perlu dipakai dengan berhati-hati. Pakaikan aksesori ini di bahagian yang agak jauh dari ubun-ubun bayi seperti dahi.

Sekiranya anda terlihat perubahan bentuk yang agak mencurigakan terhadap ubun-ubun bayi anda, segera bawa anak anda berjumpa doktor. Walaupun kelihatan remeh, perkara-perkara sebegini wajar ibu bapa elakkan bagi memastikan perkembangan bayi anda yang lebih terjamin!

Konklusi

Kesimpulannya, setiap bayi yang dilahirkan normal akan mempunyai ubun-ubun. Ia sebenarnya bukan satu kecacatan sebaliknya satu kemestian yang perlu wujud untuk memudahkan proses kelahiran dan perkembangan bayi. Jadi, tiada apa yang ibu bapa perlu risau tentangnya.

Setiap perkara yang tercipta dan terjadi, pasti ada tujuannya. Demikianlah ciptaan tuhan yang Maha Esa. Indah bukan?

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

https://www.babycenter.com.my/a25008573/apa-itu-bahagian-lembut-di-kepala-bayi-saya

https://id.theasianparent.com/ubun-ubun-bayi-baru-lahir/

http://www.parenting.co.id/bayi/deteksi+kesehatan+lewat+bentuk+kepala+bayi

https://www.babycity.co.za/the-experts-say/babys-soft-spots-or-fontanelles/

Versi Terbaru

17/01/2023

Ditulis oleh Ahmad Farid

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim

Diperbaharui oleh: Asyikin Md Isa


Artikel Berkaitan

5 Stroller Baby Yang Best & Memudahkan Ibu Bapa Untuk Bawa Anak Berjalan!

Anak Selalu Sangat Demam? Parents, Ini 5 Vitamin Untuk Kuatkan Imuniti Si Manja!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Muhamad Firdaus Rahim

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 17/01/2023

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan