backup og meta

5 Tip Atasi ANAK TANTRUM Selepas Balik Sekolah

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 06/06/2023

    5 Tip Atasi ANAK TANTRUM Selepas Balik Sekolah

    Hantar pergi sekolah meraung, balik dari sekolah pun berbunyi juga. Alahai, pening kepala mama sekalian nak hadap anak tantrum setiap hari. Ada ke cara untuk atasi situasi ini?

    Bila anak balik dari sekolah

    Setelah beberapa jam menimba ilmu, sudah tentu waktu balik sekolah merupakan antara perkara yang paling dinantikan oleh setiap kanak-kanak, khususnya pada tahun-tahun awal persekolahan. 

    Tentunya setiap kali balik dari sekolah, anda akan terfikir anak akan berasa gembira. Tetapi malangnya ia tidak seperti apa yang anda jangkakan. Sebaliknya mereka menunjukkan tingkah laku seperti menjerit, keletihan dan pelbagai lagi tingkah yang negatif.

    Keadaan anak tantrum seperti ini, pastinya menimbulkan rasa susah hati dan bimbang, apatah lagi jika ia berulang setiap hari. Jadi bagaimana cara untuk mengatasinya?

    Mengapa anak tantrum?

    Ada masanya anak menjadi tantrum ataupun buat perangai disebabkan oleh aktiviti sekolah yang memenatkan daripada aspek fizikal dan psikologi. Berdasarkan penulisan dalam Today’s Parents, anak tantrum biasanya wujud apabila anak perlu menahan emosi dan tingkah lakunya demi mendapatkan penilaian yang baik di sekolah.

    Manakala mereka akan menzahirkan tingkah laku yang negatif dengan membuat perangai apabila pulang ke rumah. Ini adalah kerana mereka berasakan rumah sebagai tempat paling selamat untuk melepaskan emosi yang dipendam.

    Masalah anak tantrum juga sering berlaku apabila anak anda memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan jadual persekolahan. Keadaan ini cenderung untuk berlaku terutamanya pada hari pertama persekolahan ataupun selepas cuti panjang.

    Faktor lain yang turut menyebabkan anak anda membuat perangai adalah kerana berpisah daripada ibu bapa, terpaksa duduk berjam-jam di dalam kelas ataupun berdepan kesukaran dalam pembelajaran. 

    Malahan, komunikasi sosial bersama rakan-rakan juga boleh mempengaruhi emosi kanak-kanak yang menyebabkan mereka tantrum. Mengamuk, berteriak, menjerit, menangis, mengeluh, marah dan menunjukkan tingkah laku yang tidak elok merupakan cara mereka menzahirkan emosi tantrum itu. 

    anak tantrum

    Tip atasi anak tantrum

    Bagi sesetengah ibu bapa, anda mungkin berasakan ia adalah satu kesukaran untuk mengatasi situasi apabila anak mula buat perangai. Namun, jangan risau Hello Doktor ada caranya untuk membantu anda.

    Berikut antara tip mengatasi masalah apabila si kecil tantrum, antaranya:

    1. Elakkan bertanya banyak soalan

    Memang sifat semula jadi ibu bapa untuk mengambil tahu tentang keadaan anak-anak, bukan? Antara soalan yang paling suka ditanya adalah mengenai apa yang dipelajari di sekolah, makan apa di sekolah dan ada kerja sekolah atau tidak.

    Anda mungkin berasa soalan itu seperti mengambil berat akan si manja, tetapi pada mereka soalan itu mungkin seolah-olah memberikan tekanan. Ini sekali gus menyebabkan mereka enggan menjawab pertanyaan anda.

    Jika anda masih ingin bertanyakan soalan kepada mereka, anda boleh mulakan dengan sesuatu yang positif, seperti “Anak mama nampak ceria hari ini, mesti ada yang best dekat sekolah.”

    1. Bekalkan snek 

    Rasa lapar boleh menyebabkan seseorang hilang mood, begitu juga keadaannya dengan si kecil. Keadaan itu boleh menyebabkan anak tantrum. Anda boleh persiapkan sebarang snek dan juga minuman kegemaran mereka untuk menyambut kepulangan si manja dari sekolah.

    Tetapi pastikan pemilihan makanan dan minuman itu adalah sihat dan kaya dengan nutrisi  yang baik untuk tumbesaran si manja, seperti buah-buahan kegemaran anak dan jus segar.

    1. Meluangkan masa bersama

    Seharian menghadap buku, tugasan sekolah dan rakan-rakan, sudah pasti si anak juga mahu meluangkan masa bersama anda.

    Paling tidak, pastikan semasa waktu makan anda dapat berkumpul bersama-sama. Sudah tentu ia dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan. Dalam masa yang sama, anda boleh berbual bersama-sama si kecil.

    Tetapi elakkan sebarang pertanyaan berkaitan perihal sekolah sekiranya anda melihat anak anda seperti tidak mempunyai mood. Ini kerana ia berisiko menyebabkan si anak kembali tantrum.

    anak buat perangai

    1. Berikan anak ruang

    Jika anak anda masih buat perangai seperti marah-marah atau menjerit, perkara terakhir yang boleh anda lakukan adalah dengan memberikan mereka ruang untuk meluahkan apa yang dirasakan.

    Tidak semua hari yang dilalui indah belaka, bukan? Itulah juga keadaannya dengan si anak, mereka mungkin menghadapi hari yang sukar di sekolah. Jadi apa yang mereka perlukan hanya ruang menzahirkan apa yang terbuku di hati mereka. 

    Mainkan peranan anda menenangkan mereka dengan mengeluarkan ungkapan seperti, “Mama percaya anak mama ini tabah walau sesukar mana cabarannya,” dan berikan kucupan mesra di dahi mereka. 

    1. Tanyakan kepada guru

    Jika anda masih ingin bertanyakan perihal persekolahan anak anda, tanya sahaja kepada guru mereka. Mungkin secara tidak langsung, anda akan mengetahui punca anak anda buat perangai setiap kali balik sekolah. 

    Kesimpulannya

    Berdepan dengan emosi anak selepas balik dari sekolah sememangnya sukar. Adakalanya tantrum atau perangai yang dilakukan mereka seakan-akan mencabar tahap kesabaran anda. Namun, anda tidak harus terikut dengan flow tantrum mereka itu.

    Kunci utama dalam melayan kerenah anak yang mempunyai tantrum adalah dengan bersabar dan sentiasa bertenang. Jika anda hampir-hampir marah, tarik nafas sedalamnya dan senyum. Semoga anda mampu mengatasi tantrum si anak dengan sebaiknya dan pastikan anak mengetahui bahawa anda sentiasa menyayangi mereka.

    Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 06/06/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan