Terdapat banyak maklumat yang diterbitkan oleh mereka yang tidak memahami fungsi vaksin dan mereka hanya berminat untuk menyebarkan ideologi dan teori konspirasi sendiri sahaja.
Oleh sebab itulah setiap ibu bapa perlu skeptikal.
Jika anda menemui maklumat yang bercanggah dengan apa yang anda tahu, semak maklumat tersebut melalui pencarian kertas kajian berkaitan atau rujuk kepada doktor untuk keterangan lanjut.
Antara sumber yang boleh dipercayai adalah laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia (media sosial dan sebagainya), Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit (CDC) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Ada lagi laman sesawang lain, namun laman yang tersenarai lebih mudah difahami walaupun anda tidak mempunyai pemahaman asas berkenaan dengan subjek yang anda cari.
#3 Bawa segala rekod atau soalan tentang vaksin
Jika anda mempunyai sebarang persoalan, jangan lupa untuk catatkannya di atas sehelai kertas dan bawa bersama anda semasa berjumpa dengan doktor kelak.
Janji temu pediatrik boleh jadi huru-hara dengan gelagat anak-anak sehingga ibu bapa sendiri lupa apa yang ingin ditanyakan.
Sekiranya anak anda sudah divaksin, simpan rekod untuk rujukan doktor di masa akan datang.
Boleh jadi suatu hari nanti anda berpindah ke kawasan baharu dan mereka tidak menggunakan sistem berkomputer untuk memeriksa rekod vaksin anak anda.
Beritahu doktor anak anda, jika anda sudah memvaksin mereka di lokasi lain (mungkin semasa anda sedang bekerja jauh dari kawasan tempat anda tinggal).
Rekod yang anda simpan akan memastikan anak anda mendapat vaksin pada waktunya dan mereka tidak divaksin dua kali tanpa sengaja.
#4 Bawa permainan untuk alihkan perhatian anak anda

Walaupun vaksin berkesan untuk menghindarkan penyakit berjangkit, namun kanak-kanak tidak akan mengerti akan kepentingannya.
Mereka cuma tahu prosedur suntik vaksin itu menyakitkan dan ini akan mempengaruhi tahap kepercayaan mereka terhadap doktor kelak.
Bagi mengalihkan perhatian mereka daripada kesakitan semata-mata, anda boleh membawa permainan atau alat yang bersesuaian dengan peringkat usia mereka.
Ia boleh digunakan semasa atau selepas suntikan vaksin diberikan.
Sebagai contoh, bagi bayi, setelah vaksin disuntik, anda boleh menyusukan mereka atau memberikan permainan kegemaran mereka.
Ia boleh mengalihkan perhatian mereka daripada kesakitan yang dialami atau ketakutan untuk mendapat suntikan jika mereka sedang menunggu untuk divaksin.
#5 Bertenang dan pantau anak anda jika ada tindak balas vaksin
Bukan kanak-kanak sahaja yang cemas, kadangkala ibu bapa juga risau akan vaksin yang disuntik ke dalam badan anak.
Dalam keadaan tersebut, anda perlu bertenang. Respons anak anda boleh bergantung kepada bahasa pergerakan badan dan emosi anda.
Jika anda yakin dan bertenang, mereka juga akan bertenang.
Setelah anak anda sudah divaksinkan, tanggungjawab anda masih belum selesai. Anda perlu memantau jika terdapat kesan sampingan.
Tindak balas vaksin paling lazim dialami adalah rasa sakit, bengkak dan kemerahan pada lokasi suntikan.
Ada juga keadaan di mana kanak-kanak mengalami ruam atau demam.
Doktor akan memberikan saranan kepada anda berkenaan dengan apa yang perlu dilakukan jika kesan sampingan tersebut berlaku.
Namun, sekiranya simptom tersebut membimbangkan atau nampak serius, rujuk doktor anda sebelum anda memberikan sebarang rawatan di luar preskripsi doktor.
Konklusi
Prosedur suntik vaksin boleh jadi sukar untuk kedua-dua ibu bapa dan anak-anak.
Kunci untuk mengawal keadaan tersebut adalah untuk mempersiapkan diri sendiri dengan pengetahuan berkenaan vaksin.
Rujuk doktor anda sekarang untuk mendapatkan khidmat nasihat kesihatan berkaitan vaksin.