Anda Ada Anak Istimewa? Mungkin Ini Tip-Tip Penting Yang Ibu Bapa Perlukan!
Membesarkan atau menjaga kanak-kanak istimewa bukanlah perkara yang mudah. Namun disebalik kepayahan tersebut, hadir pengalaman yang amat membahagiakan untuk melihat anak membesar, belajar dan mencapai pencapaian baharu – walaupun agak lewat.

Sesungguhnya anda adalah insan terpilih untuk melalui pengalaman ini. Percayalah dalam setiap kepahitan ada kemanisan yang menanti.
Ayuh teruskan membaca perkongsian artikel ini untuk mengetahui cara penjagaan anak istimewa ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Fahami keperluan kanak-kanak istimewa
Ini berbeza daripada memahami diagnosis anak anda. Mengetahui mengapa mereka bertindak, melihat, atau bergerak seperti yang mereka lakukan tidak sama dengan mengetahui cara untuk membantu.
Sebaliknya tanya kepada diri, “Apakah isu utama yang dihadapi oleh anak saya?”
Mengenal pasti keperluan mereka membantu diri dan semua orang yang berinteraksi dengan anda dan anak.
Pengetahuan adalah kuasa. Lebih banyak anda tahu tentang anak serta keperluan khas mereka, lebih mudah untuk memenuhi keperluan tersebut. Di samping itu ia juga dapat membantu anak untuk membesar dengan lebih baik.
Menjaga kanak-kanak dengan keperluan khas
Menjaga kanak-kanak kurang upaya boleh menjadi tugasan harian keibubapaan seperti memberi makan, menidurkan anak dan latihan tandas lebih mencabar.
Penyusuan & pemakanan untuk kanak-kanak istimewa
Kanak-kanak kurang upaya mungkin menghadapi masalah untuk menyusu atau makan di atas pelbagai sebab, seperti:
- Masalah fizikal yang menyebabkan kesukaran menelan, mengunyah, menghisap atau mencerna makanan tertentu
- Mobiliti terhad yang mungkin menyukarkan untuk duduk untuk makan atau minum
- Ketidakupayaan untuk belajar
Anak istimewa ini mungkin memerlukan lebih banyak masa untuk mampu makan dengan sendiri.
Namun dalam masa yang sama, selain membangunkan kemahiran untuk belajar makan sendiri, anak juga akan mengembangkan kemahiran pertuturan dan bahasa serta penyelarasan.
Jika berdepan masalah untuk menyusu, pakar laktasi boleh membantu dalam aspek penyusuan dan proses bercerai susu bayi.
Apabila anak semakin membesar, anda mungkin boleh mendapatkan rujukan daripada doktor untuk mendapatkan bantuan pakar, melibatkan aspek:
- Ahli terapi pertuturan dan bahasa – untuk membantu masalah fizikal seperti mengunyah dan menelan
- Ahli terapi cara kerja – untuk memberikan tip yang mungkin membantu anak, seperti pinggan, mangkuk, cawan dan kutleri khas
- Ahli fisioterapi atau ahli terapi carakerja – untuk menasihati anda supaya anak berada dalam kedudukan fizikal yang betul ketika makan
- Pakar diet – untuk membantu anda jika terdapat kebimbangan anak tidak makan dengan secukupnya
Waktu tidur
Kanak-kanak kurang upaya boleh mengalami masalah tidur atas pelbagai sebab fizikal – seperti kekejangan otot atau kesukaran bernafas – bergantung pada masalah kesihatan mereka.
Kanak-kanak yang mengalami masalah pembelajaran mungkin sukar memahami sebab dan bila mereka perlu tidur.
Doktor boleh membantu memberikan penyelesaian terbaik bagi menggalakkan tidur yang lena kepada anak. Mereka juga boleh merujuk anda kepada pakar tidur atau ahli psikologi jika perlu.
Berkomunikasi dengan kanak-kanak istimewa
Sesetengah keadaan fizikal dan ketidakupayaan pembelajaran mungkin mengakibatkan anak mempunyai sedikit atau tiada pertuturan yang jelas, mahupun pertuturan mereka mungkin lambat berkembang.
Ia mungkin menyebabkan rasa bimbang bagaimana mereka akan berkomunikasi dengan anda dan orang lain apabila dewasa kelak.
Umumnya, terdapat pelbagai peralatan dan teknik boleh menyokong dan menggantikan pertuturan termasuklah menggunakan tanda, simbol, papan perkataan dan alat bantu komunikasi output suara elektronik (VOCA).
Seorang ahli terapi pertuturan dan bahasa boleh menilai anak dan membantu anda menentukan bantuan yang paling sesuai.
Latihan tandas
Bagi kanak-kanak normal, biasanya pada usia sekitar 2-3 tahun, mereka akan mula menunjukkan tanda bersedia untuk belajar menggunakan tandas.
Pun begitu, anak istimewa mungkin hanya akan bersedia apabila mereka lebih besar atau memerlukan masa lama untuk belajar. Ini mungkin disebabkan ketidakupayaan pembelajaran atau cabaran fizikal seperti pergerakan terjejas, kemahiran pergerakan atau nada otot.
Sesetengah kanak-kanak mungkin tidak akan pernah dapat belajar menggunakan tandas sendiri disebabkan masalah kesihatan seperti kolostomi atau ileostomi kekal diperlukan.
Jika keadaan kesihatan anak menjejaskan keupayaan untuk mengawal pundi kencing atau usus, doktor mungkin boleh merujuk mereka kepada pakar kontinensia.
Manakala pakar terapi cara kerja boleh mencadangkan anda tentang tandas atau tempat duduk khas jika anak memerlukan bantuan untuk duduk mahupun mengenai penyesuaian bilik air yang mungkin berguna.
Ahli fisioterapi pula boleh menasihati tentang isu-isu seperti cara bergerak dan mengendalikan anak atau mencari kedudukan terbaik agar anak boleh menggunakan tandas.
Pergerakan kanak-kanak istimewa
Jika anda bimbang tentang keupayaan anak untuk bergerak secara normal, doktor mungkin merujuk kepada ahli fisioterapi untuk menilai keperluan mobiliti mereka.
Sebagai sebahagian daripada penilaian, ahli fisioterapi akan membincangkan alat bantu mobiliti yang boleh membantu anak, seperti:
- Alat bantu berjalan
- Kerusi roda, buggies dan tempat duduk yang disesuaikan
Kesabaran dalam berdepan tingkah laku mencabar
Tingkah laku mencabar boleh menjadi perkara biasa pada kanak-kanak yang mengalami masalah pembelajaran atau deria. Ini kerana masalah komunikasi boleh menyukarkan mereka untuk menyatakan keperluan, suka dan tidak suka.
Tingkah laku mencabar boleh berlaku dalam pelbagai bentuk, daripada sikap agresif kepada pengasingan diri. Jadi kesabaran yang tinggi amat diperlukan.
Jangan bersendirian
Dalam menjaga kanak-kanak istimewa, anda tidak perlu melakukannya sendirian.
Bersikap jujur tentang cabaran dan keperluan anak supaya individu sekeliling dapat melihat dan mengetahui apa yang anda alami. Mereka tidak dapat membantu jika mereka tiada kefahaman mengenai cabaran dihadapi.
Terdapat juga kumpulan sokong dalam talian untuk membantu. Selalunya mereka boleh menawarkan nasihat dan petua untuk menjadikan kehidupan anda dan anak lebih mudah.
