Kesihatan anak merangkumi kesejahteraan fizikal, mental dan sosial. Tetapi ada cara yang boleh ibu lakukan untuk mencegah penyakit kanak kanak.
Ini kerana anak yang sihat akan mempunyai kecenderungan menjadi individu dewasa sihat.
Umumnya, kebanyakan ibu bapa mengetahui asas-asas menjaga kesihatan untuk anak mereka seperti memberikan pemakanan berkhasiat, memastikan mendapat tidur yang mencukupi dan melakukan aktiviti fizikal.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan anak, sila dapatkannya di sini.
Kepentingan kesihatan
Kesihatan kanak-kanak merangkumi keadaan fizikal, mental, intelektual, sosial dan emosi.
Anak yang sihat akan dikelilingi oleh keluarga, persekitaran dan komuniti yang memberikan mereka peluang untuk mencapai potensi perkembangan sepenuhnya.
Ia melibatkan semua aspek pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak.
Adalah penting untuk memastikan anak menjalani atau memulakan gaya hidup sihat termasuk pengambilan diet pemakanan seimbang, bersenam dan kuantiti tidur yang mencukupi.
Tabiat kesihatan positif ini, pastinya membolehkan anak membesar dengan kuat, kekal sihat serta mengurangkan kemungkinan untuk mendapat sebarang penyakit kanak kanak.
Tabiat pemakanan
Pemakanan yang seimbang dan berkhasiat yang dapat menjamin kesihatan anak haruslah merangkumi pelbagai jenis makanan daripada 5 kumpulan berikut:
#Sayur-sayuran
Sayuran memberikan tenaga, vitamin, antioksidan, serat dan air kepada anak anda.
Nutrien ini membantu melindungi mereka daripada penyakit di kemudian hari. Ini termasuklah penyakit seperti penyakit jantung, strok dan sesetengah jenis kanser.
#Buah-buahan
Seperti sayur-sayuran, buah juga merupakan sumber tenaga, vitamin, serat dan air untuk anak. Galakkan anak untuk memilih buah sebagai snek sihat setiap hari.
#Bijirin
Pengambilan bijirin adalah seperti roti, pasta, mi, bijirin sarapan pagi, nasi, jagung, gandum dan barli.
Kumpulan makanan ini dapat membekalkan anak tenaga yang diperlukan untuk tumbesaran, perkembangan dan belajar.
Bijiran dengan indeks glisemik rendah, seperti pasta dan roti gandum, akan memberikan anak tenaga lebih tahan lama dan membuatkan mereka berasa kenyang untuk tempoh panjang.
#Produk tenusu
Makanan tenusu utama adalah susu, keju dan yogurt. Ia merupakan sumber protein dan kalsium yang baik.
Cuba tawarkan anak pelbagai jenis tenusu setiap hari, seperti minuman susu, keju atau semangkuk yogurt.
#Protein
Untuk mencegah penyakit kanak kanak, galakkan anak untuk mengambil makanan tinggi protein termasuk daging tanpa lemak, ikan, ayam, telur, kacang, kacang buncis, tauhu dan kekacang.
Makanan ini penting untuk pertumbuhan dan perkembangan otot mereka.
Ia juga mengandungi vitamin dan mineral penting seperti zat besi, zink, vitamin B12 dan asid lemak omega-3.
Zat besi dan asid lemak omega-3 adalah penting untuk perkembangan otak dan pembelajaran anak.
Setiap kumpulan makanan mempunyai nutrien berbeza yang diperlukan oleh tubuh anak untuk tumbesaran dan berfungsi dengan baik.
Oleh sebab itu, mustahak untuk anak makan pelbagai jenis makanan ini.
Penyakit kanak-kanak
Banyak perkara boleh menjadi punca anak jatuh sakit. Ini termasuklah bakteria, virus dan parasit. Lebih menakutkan jika ia adalah penyakit berjangkit.
Berikut antara penyakit berjangkit yang berisiko untuk menjangkiti anak di bawah usia 5 tahun:
#1. Malaria
Merupakan penyakit ketiga yang menjadi punca kematian kanak-kanak yang berusia antara 1 bulan hingga 5 tahun.
Simptom seperti anemia teruk, hipoglikemia dan malaria serebrum adalah ciri-ciri malaria yang teruk dan lebih kerap terjadi pada kanak-kanak berbanding individu dewasa
Penyakit kanak kanak #2. Pneumonia
Kematian kanak-kanak disebabkan pneumonia atau radang paru-paru sering dikaitkan dengan kekurangan zat makanan, punca air tidak bersih, pencemaran udara dan tidak mendapat akses yang cukup untuk rawatan kesihatan.
Antara langkah pencegahan boleh diambil adalah melalui pemberian vaksin, pengurangan pencemaran udara, air minum yang selamat serta tahap kebersihan untuk menjaga kesihatan anak.
#3. Cirit-birit
Menjadi pembunuh utama kanak-kanak.
Anak yang terjejas dapat diselamatkan dengan rawatan berkesan seperti penggunaan garam rehidrasi oral (oral rehydration salt) dan zink.
Pemberian cecair yang bersesuaian, penyusuan susu badan dan penggunaan antibiotik tertentu juga boleh membantu mengatasi penyakit kanak-kanak ini.
#4. HIV
Sebilangan besar kanak-kanak yang menghidap HIV memperolehinya daripada ibu mereka ketika hamil, semasa proses kelahiran atau penyusuan.
Umumnya, tidak semua kanak-kanak dengan HIV akan mengalami simptom, bahkan gejala yang dialami juga adalah berbeza mengikut usia.
#5. Batuk kering
Tuberculosis (TB) atau batuk kering adalah penyakit kanak-kanak yang diketahui cara mencegah dan merawatnya.
Ia adalah jangkitan kronik yang berterusan disebabkan oleh bakteria.
Dalam kebanyakan kes, TB akan menjangkiti paru-paru. Pun begitu, organ lain seperti buah pinggang, tulang belakang atau otak mungkin terjejas.
Gejala TB aktif yang paling biasa termasuk demam, batuk, penurunan berat badan dan menggigil.
Tip mencegah penyakit
Penting untuk mewujudkan tabiat sihat sejak awal, seperti:
Sarapan berkhasiat
Anak-anak memerlukan tenaga yang mencukupi untuk memenuhi jadual pembelajaran mereka.
Melewatkan pengambilan sarapan akan menyebabkan mereka tidak bertenaga dan mudah hilang fokus.
Ia juga boleh mengakibatkan mereka makan berlebihan pada kemudian hari.
Sarapan yang sihat merangkumi gabungan berikut:
- Protein seperti yogurt atau keju
- Karbohidrat seperti roti gandum penuh
- Buah-buahan
Ambil masa untuk makan dan kunyah perlahan
Didik anak untuk tidak makan secara tergesa-gesa. Ia memerlukan 20 minit untuk otak menyampaikan isyarat pada tubuh bahawa diri sudah kekenyangan.
Jika tidak, anak berkemungkinan cenderung untuk makan berlebihan.
Makan lebih sayur-sayuran dan buah-buahan bantu cegah penyakit kanak kanak
Lebihkan pengambilan sayuran dan buah-buahan. Sarankan untuk anak mengambil 2 cawan buah dan 2 ½ cawan sayur-sayuran setiap hari.
Ini termasuklah sayuran dan buah daripada warna, tekstur dan rasa yang berbeza.
Aktiviti fizikal
Galakkan anak untuk menghabis masa di luar dengan aktiviti riadah seperti berbasikal atau lompat tali.
Anda juga boleh membawa anak berjalan-jalan atau bersiar-siar.
Mendedahkan anak kepada cahaya matahari membantu mereka memperolehi dos vitamin D yang diperlukan..
Ia berfungsi untuk meningkatkan imuniti dan membantu menjaga kesihatan anak daripada jangkitan penyakit.
Hadkan masa skrin
Cuba hadkan masa menonton televisyen hanya 2 jam sehari. Jangan lupa untuk kawal penggunaan komputer, permainan video dan telefon pintar.
Meletakkan masa dan had penggunaan skrin akan mendorong anak untuk melakukan aktiviti di luar rumah dan meneroka dunia sekitarnya.
Pemeriksaan doktor
Mungkin berlaku perubahan pada sikap anak, kurang selera makan, perubahan struktur kulit dan sebagainya.
Jika terdapat kebimbangan, bawa anak untuk mendapatkan pemeriksaan doktor segera.
Ingat, pemeriksaan kesihatan anak penting untuk kesejahteraan mereka dan mencegah penyakit kanak kanak.