Sekiranya faktor-faktor tersebut bukan penyebab kepada masalah anak anda sukar untuk tidur lena, ia boleh disebabkan oleh masalah kecelaruan tidur.
Antara yang lazim dialami oleh kanak-kanak adalah seperti berikut.
#1 Apnea tidur
Ini adalah masalah kesihatan yang menakutkan bagi ibu bapa. Anak anda akan berhenti bernafas selama 10 saat atau lebih semasa mereka sedang tidur.
Pada kebanyakan masa, anak anda tidak akan sedar langsung perkara ini terjadi kepada mereka.
Kanak-kanak yang mengalami masalah kesihatan ini juga boleh tidur berdengkur dengan kuat, tidur dengan mulut terbuka luas dan tidur lama pada waktu siang.
Sekiranya keadaan kesihatan ini tidak dirawat dengan segera, ia boleh mempengaruhi tingkah laku, keupayaan mereka untuk belajar dan jarang sekali, masalah jantung.

#2 Sindrom kaki gelisah
Bukan orang dewasa sahaja yang boleh mengalami masalah sindrom kaki gelisah (RLS). Kajian menunjukkan masalah ini boleh bermula pada peringkat usia kanak-kanak.
Bagi anak yang sudah boleh bercakap, mereka boleh mengadu seperti ada serangga merayap pada kaki mereka sehingga terpaksa menukar posisi.
Bagi segelintir kanak-kanak yang lain pula, mereka mungkin tidak sedar akan rasa tidak selesa berikutan RLS. Mereka lebih merasai simptom sukar tidur.
Meskipun terdapat protokol rawatan yang direka untuk orang dewasa, namun bagi kanak-kanak, rawatan lebih bersifat eksperimental dan tidak dikaji sepenuhnya.
#3 Mimpi ngeri (night terror)
Dalam istilah bahasa Melayu mungkin perkara ini agak mengelirukan. Namun, anda perlu tahu bahawa mimpi ngeri dan mimpi buruk bukanlah perkara yang sama.
Ia lebih lazim berlaku kepada kanak-kanak menyebabkan mereka terbangun daripada tidur dalam keadaan ketakutan, menangis, menjerit atau mengalami masalah tidur berjalan.
Pada kebanyakan masa, mimpi ngeri berlaku ketika kanak-kanak berada dalam fasa tidur bukan REM.
Setakat ini, masih tiada lagi rawatan yang boleh dipreskripsikan kepada mereka yang mengalami mimpi ngeri.
Namun, anda boleh menghindarkannya dengan cara mengamalkan jadual tidur yang teratur dan elakkan gangguan semasa tidur (letak telefon dalam mode senyap dan sebagainya).
Konklusi
Masalah sukar tidur dalam kalangan kanak-kanak tidak boleh dipandang enteng. Ia boleh mempengaruhi proses tumbesaran dan tahap kesihatan mereka secara menyeluruh.
Jika anak anda mengalami simptom lain yang berkait dengan kecelaruan tidur seperti rasa ada serangga merayap pada kaki, tidur berjalan dan sebagainya, rujuk doktor serta-merta.
Sekiranya anda mempunyai sebarang soalan berkaitan dengan masalah kecelaruan tidur, rujuk profesional sekarang.