Topik mengenai bagaimana teknologi mudah alih, khususnya telefon pintar, mempengaruhi perkembangan otak kanak-kanak telah mendapat banyak perdebatan dalam kalangan ibu bapa, para pendidik, dan penyelidik.
Bagaimanapun, penyelidikan tentang telefon pintar masih dianggap baru dan kebanyakan bukti yang dikumpul tidak jelas dan tidak selaras.
Pun begitu, sebagai ibu bapa yang prihatin, anda perlu sedar akan kemungkinan kesan telefon pintar kepada perkembangan dan psikologi kanak-kanak.
Bagaimana pendedahan berlebihan kepada teknologi skrin sentuhan menjejaskan perkembangan otak kanak-kanak
Radiasi daripada telefon bimbit menjadi kebimbangan utama mengenai kesan penggunaan telefon bimbit terhadap otak. Namun, teori radiasi masih belum terbukti lagi. Malah, ramai pakar yang mendakwa telefon pintar tidak mendedahkan kita kepada radiasi yang cukup untuk memberikan kesan bahaya.
Perkara ini mungkin melegakan ibu bapa. Akan tetapi, amat jelas sekali bahawa frekuensi radio yang dibebaskan daripada telefon bimbit boleh memberikan kesan negatif pada otak yang sedang berkembang. Lobus frontal dan temporal otak pada kalangan remaja masih berkembang, dan bahagian ini adalah berhampiran dengan telinga di mana ia cenderung untuk memegang peranti.
Kanak-kanak yang semakin membesar juga akan terdedah dengan dunia teknologi. Teknologi dan skrin akan mempengaruhi otak mereka. Amat jelas bahawa peningkatan masa skrin menyebabkan pengabaian sambungan dalam otak. Lazimnya, saraf dalam otak bersambung jika kanak-kanak menulis, membaca dan memfokus menggunakan kaedah tradisional untuk pembelajaran.
Telefon bimbit dan Internet juga mempengaruhi kemahiran komunikasi dan perkembangan emosi manusia. Jika kanak-kanak bergantung kepada peranti elektronik untuk berkomunikasi, maka kemahiran insan mereka akan berisiko.
Berikut adalah beberapa cadangan untuk mengehadkan penggunaan telefon pintar:
−Kanak-kanak di bawah umur 2 tahun tidak boleh menggunakan peranti elektronik dan skrin.
−Banyakkan masa bermain bersama anak-anak dan berinteraksi dengan mereka.
−Pastikan telefon bimbit tidak mengganggu masa anak untuk bermain dan bersosial.
−Tunjukkan penggunaan positif telefon pintar.
−Galakkan makan bersama keluarga dan komunikasi.
−Cari aplikasi berguna dalam telefon yang dapat membantu membina kosa kata anak, dan meningkatkan pembelajaran matematik, literasi, dan konsep sains.
−Lakukan larangan penggunaan telefon bimbit di dalam bilik.
Ada pakar yang tidak bersetuju akan kesan telefon bimbit dan peranti elektronik terhadap perkembangan otak kanak-kanak. Walau bagaimanapun, terdapat percanggahan kajian dan aspek baru ditemui setiap hari.
Sebaik-baiknya, ibu bapa perlulah sedar akan kesan sampingan akibat kelalaian menggunakan telefon pintar dan peranti elektronik kepada perkembangan anak mereka. Walau bagaimanapun, satu perkara yang dipersetujui oleh pakar adalah pentingnya bersederhana dalam menggunakan teknologi.
[embed-health-tool-child-growth-chart]