Anak demam on off padahal waktu sebelumnya mereka sangat aktif dan ceria? Sebagai ibu bapa, sudah tentu anda berasa bingung bila tiba-tiba anak jatuh sakit tanpa tahu puncanya. Bagaimana cara untuk mengatasi masalah ini?
Untuk makluman anda, anak demam panas bukan sahaja boleh berlaku disebabkan jangkitan virus atau suntikan vaksinasi semata-mata.
Sebenarnya, ada banyak lagi punca kanak-kanak boleh mengalami demam panas seperti mempunyai daya ketahanan badan yang rendah.
Jangan terkejut juga ya, anak yang dilahirkan secara pembedahan (C-section) atau czer juga boleh menjadi salah satu pemicu utama yang boleh menyumbang kepada sistem imunisasi badan yang lemah.
Pun begitu, adakah terdapat petua anak demam tak kebah yang ibu bapa boleh lakukan di rumah?
Jangan panik dahulu, artikel ini ada penjelasannya. Jom baca artikel ini untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Anak, sila dapatkannya di sini.
Anak demam on off tapi aktif
Demam adalah sebahagian daripada sistem pertahanan semula jadi badan. Sistem pertahanan atau imun ini adalah bahagian badan yang berfungsi untuk melawan penyakit. Apabila sistem ini dicetuskan, suhu badan akan menjadi panas.1
Lazimnya, purata suhu badan normal adalah sekitar 37°C. Demam berlaku apabila suhu meningkat kepada 38°C atau lebih tinggi.2
Jika mengukur suhu badan anak secara oral atau di ketiak, bacaannya mungkin turun sebanyak 1°C. Untuk mendapatkan bacaan suhu paling tepat, ambil suhu anak secara rektal.3
Demam berulang adalah demam yang berlaku secara berulang dalam satu tempoh masa. Ada kalanya ia boleh digambarkan sebagai episodik – bermakna datang dan pergi.4
Anak demam panas secara berulang ini merupakan demam yang kembali dalam corak. Sebagai contoh, si kecil mungkin mengalami demam setiap bulan.4
Demam yang datang dan pergi ini biasanya dialami anak di bawah usia 5 tahun. Peningkatan suhu akan berlangsung selama beberapa hari dan kemudian hilang untuk seketika. Anak anda sihat dan bertingkah laku seperti biasa dalam selang waktu tersebut.
Keadaan ini adalah salah satu gejala utama sindrom demam berkala (periodic fever syndrome). Ia adalah penyakit yang mengakibatkan anak demam panas dalam corak dijarakkan dari masa ke masa, tanpa mempunyai jangkitan virus atau bakteria.5
Perbezaan demam berulang dan demam biasa
Perbezaan utama antara demam klasik dan demam berulang adalah kekerapan ia berlaku.
Untuk demam on off ini, seseorang individu akan mengalami demam berlarutan selama beberapa hari, bertambah baik, hilang dan kemudiannya demam semula selepas satu tempoh masa apabila mereka sudah berasa sihat.
Demam ini akan terus berlaku dan kembali dari masa ke masa. Suhu badan anak demam panas akan menjadi lebih tinggi tanpa sebarang jangkitan virus atau bakteria. Manakala bezanya, demam biasa sering dikaitkan dengan jangkitan atau virus.
Punca anak demam on off
Kenapa anak selalu demam on off? Sebenarnya, anak demam panas boleh berlaku atas pelbagai sebab, seperti:1
- Virus seperti demam influenza, demam denggi
- Jangkitan bakteria seperti jangkitan kencing tikus, malaria
- Pemvaksinan
Dalam pada itu, daya imuniti badan yang lemah juga boleh menyebabkan kanak-kanak cenderung untuk mengalami demam on off.
Untuk makluman ibu bapa, kanak-kanak yang dilahirkan melalui pembedahan (C-section) atau czer boleh mengalami gangguan dalam perkembangan sistem imun mereka, yang seterusnya boleh meningkatkan risiko penyakit tertentu di kemudian hari.6
Secara amnya, mereka yang lahir secara pembedahan (C-section) atau czer, tidak mempunyai sebarang kontak dengan faraj ibu. Ini bermakna bakteria baik yang terdapat pada kawasan tersebut tidak dapat dipindahkan kepada anak.6
Kajian mendapati bahawa kanak-kanak yang dilahirkan melalui pembedahan Caesarean (C-section) atau czer mempunyai komposisi bakteria usus yang jauh berbeza berbanding kanak-kanak yang dilahirkan secara normal menerusi vagina.7
Kelahiran secara pembedahan (C-section) atau czer ini juga merupakan antara faktor yang menjadi punca disbiosis usus (gut dysbiosis) dalam kalangan kanak-kanak, iaitu keadaan ketidakseimbangan spesies dan diversiti mikrobial dalam usus anak.8
Keadaan ini sekali gus boleh mempengaruhi daya ketahanan tubuh anak anda dan mungkin memberi kesan kepada perkembangan otak mereka.9
Malah, hasil kajian lain juga menunjukkan bahawa kanak-kanak yang lahir melalui kaedah pembedahan (C-section) atau czer mempunyai risiko untuk didiagnosis dengan masalah asma dan alergi di kemudian hari.10
Simptom anak demam on off
Gejala anak demam on off sangat serupa dengan demam biasa, termasuklah:
- Mempunyai suhu melebihi 38°C
- Rasa seram sejuk di dalam badan tetapi bahagian kulit rasa panas
- Rasa letih (penat)
Jika anak demam on off, anda mungkin akan menyedari mereka nampak lebih kepenatan berbanding biasa.
Tanda-tanda lain anak demam panas adalah:11
- Cerewet dan mudah meragam
- Tidak mahu makan dan minum seperti biasa
- Menangis – biasanya bernada tinggi
- Menarik-narik telinga
- Menjadi kurang responsif daripada biasa
Apa yang pasti setiap kanak-kanak adalah berbeza. Si kecil mungkin mengalami banyak gejala atau mungkin langsung tidak menunjukkan sebarang ketidakselesaan.
Biasanya anak demam on off tapi aktif ini akan bertingkah laku seperti biasa, bermain dan kekal dalam mood yang baik.
Kaedah rawatan
Demam on off boleh dirawat seperti demam biasa. Pengambilan acetaminophen adalah satu cara untuk menguruskan sebarang gejala ketidakselesaan dan mengurangkan suhu, sangat bagus buat si kecil.12
Pun begitu, pastikan anda berbincang dengan doktor sebelum memberikan ubat ini kepada anak anda.
Acetaminophen biasanya boleh diberikan kepada si kecil sejak lahir. Manakala selepas anak berumur 6 bulan, anda boleh memberikan mereka ibuprofen.12
Rehat adalah satu petua anak demam tak kebah yang berkesan. Jika anak kelihatan lebih letih daripada biasa, biarkan mereka berehat.
Pengambilan cecair adalah penting semasa anak demam on off. Jadi pastikan anak terus minum air dan cecair lain semasa demam untuk mengelakkan dehidrasi.
Peringatan!
Jika keadaan anak demam on off berlanjutan selama lima hari, lakukan pemeriksaan dengan pakar kanak-kanak (pediatrik) bagi mendapatkan lebih kepastian.
Bagaimana cara untuk meningkatkan imuniti si manja anda?
Susu ibu adalah cara yang terbaik untuk meningkatkan sistem imuniti si manja, namun terdapat keadaan di mana penyusuan susu ibu tidak dapat dilakukan, dan susu formula boleh menjadi alternatif.
Susu yang mengandungi tinggi prebiotik dan probiotik boleh membantu meningkatkan sistem imun si manja.
Selain itu, kandungan dua nutrien ini di dalam susu juga dapat membantu menyokong kesihatan usus dan memastikan anak mendapat nutrisi yang seimbang untuk pertumbuhan yang sihat.
Cara lain yang ibu bapa boleh lakukan untuk meningkatkan imuniti badan anak adalah dengan menguruskan stres dan kebimbangan mereka. Stres dan kebimbangan bukan sahaja boleh berlaku kepada orang dewasa, malah kanak-kanak juga boleh mengalaminya.13
Jadi, banyakkan berkomunikasi dengan anak anda dan galakkan mereka untuk belajar teknik relaksasi, seperti mendengar muzik sambil berehat, melakukan aktiviti kegemaran, belajar cara bertenang dan mengamalkan latihan pernafasan.
Tip penting lain untuk melindungi anak anda daripada pelbagai jangkitan penyakit adalah melalui pemvaksinan. Sistem imun kanak-kanak tidak berkembang sepenuhnya dalam tempoh tujuh atau lapan tahun pertama, yang bermaksud kanak-kanak kecil berisiko lebih tinggi untuk jatuh sakit.13
Dengan mendapatkan pemvaksinan anak, anda boleh membantu mencegah mereka daripada mendapat banyak penyakit seperti demam campak dan batuk kokol.13
Sekiranya anak anda masih mengalami demam yang berlarutan, segera jumpa doktor untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut.
[embed-health-tool-child-growth-chart]