Kebanyakan masalah kesihatan dialami anak adalah ringan dan akan hilang sendirinya. Pun begitu, jika anak mempunyai gejala penyakit yang merisaukan anda, dapatkan pemeriksaan doktor segera.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan keibubapaan, anda boleh klik di sini.
Perhatikan gejala penyakit pada anak
Apabila anak sakit, sebagai ibu bapa, sudah tentu anda akan berasa bimbang. Ini khususnya jika anda baharu pertama kali menyandang gelaran tersebut.
Adakalanya sukar nak tentukan sama ada anak mengalami sakit teruk, waktu sesuai jumpa doktor dan rawatan terbaik untuk mereka, kan?
Biasanya bayi yang berusia di bawah 3 bulan, anda disarankan untuk membawa mereka berjumpa doktor sekiranya suhu badan mencecah lebih 38℃, banyak meragam, tidur berlebihan, enggan makan dan batuk.
Suhu badan anak demam, ia merupakan tanda tubuh sedang melawan penyakit atau jangkitan.
Gejala penyakit seperti demam ini biasanya tidak berbahaya.
Bahkan, ia dianggap petanda baik bahawa sistem imun anak anda berfungsi dan tubuh sedang berusaha untuk menyembuhkan diri sendiri.
Memerhatikan simptom penyakit dan tingkah laku lain juga membantu anda menentukan tahap keseriusan keadaan kesihatan anak.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Simptom penyakit: Perlu pemeriksaan doktor
Semestinya tempat terbaik apabila anak jatuh sakit adalah dengan melakukan pemeriksaan doktor.
Terdapat beberapa gejala penyakit umum yang perlu dikenal pasti untuk anda membawa anak berjumpa doktor.
Ini termasuklah:
Mudah marah
- Anak mempunyai rasa mengantuk yang luar biasa
- Anak kurang memberikan tindak balas
- Anak menangis dengan nada tinggi dan berterusan
Pernafasan
- Anak mengalami kesukaran bernafas
- Pernafasan anak cepat
- Mempunyai nafas pendek
Gejala penyakit: Perubahan warna kulit
- Kulit anak kebiruan atau pucat
- Ruam ungu dan merah tidak hilang semasa anda menekannya
Aliran cecair keluar masuk
- Keadaan biasa – air kencing anak berwarna kuning muda dengan kekerapannya untuk kencing adalah biasa
- Gejala membimbangkan – warna air kencing anak kuning gelap dan kurang kencing berbanding biasa
- Simptom penyakit serius – kuantiti air liur anak sedikit, air mata dan urin yang sedikit
- Muntah berulang kali
Gejala penyakit yang berkemungkinan serius yang lain adalah termasuk kesakitan teruk dan berterusan, sawan dan ubun anak (fontanelle) membonjol.
Mencegah gejala penyakit
Sebagai ibu bapa, sudah tentu anda tidak mahu melihat anak jatuh sakit, bukan?
Jadi apakah mungkin terdapat cara yang boleh dilakukan untuk mencegahnya?
Semestinya terdapat cara yang boleh membantu untuk mengurangkan risiko jangkitan penyakit pada anak.
Ia haruslah bermula dengan amalan penjagaan kebersihan diri sekali gus menghindari penyakit serta penyebaran jangkitan.
Amalan membasuh tangan
Didik anak untuk kerap membasuh tangan mereka. Ini terutamanya selepas mereka:
- Pergi ke bilik air
- Selepas bersin, batuk atau membuang hingus
- Sebelum dan selepas makan
- Menyentuh atau menjaga haiwan peliharaan keluarga
Sebagai ibu bapa, anda juga perlu mengamalkan tabiat ini, khususnya:
- Selepas menukar lampin anak, membersihkan bilik air, membasuh kotoran atau pakaian
- Selepas mengelap hidung anak
- Sebelum menyediakan atau memasak makanan
- Selepas menziarahi rakan atau ahli keluarga yang sakit
- Selepas menyentuh atau menjaga haiwan peliharaan keluarga
Untuk mengelakkan sebarang simptom penyakit pada anak, jangan lupa untuk menasihati mereka agar tidak berkongsi gelas minuman, botol air, peralatan seperti sudu dan garpu.
Sentiasa pantau keadaan anak
Tiada ibu bapa yang mahu anaknya berada dalam keadaan tidak sihat, bukan?
Tetapi sekiranya anak masih makan, berkelakuan, tidur dan bermain dengan normal, seperti keadaan selalunya, mungkin tiada sebarang masalah kesihatan yang dialami mereka.
Walau bagaimanapun, jika anak tampak resah, mudah terleka, kerap meragam, mengalami kelesuan, kelihatan pucat atau kemerahan, mungkin saranan terbaik adalah untuk membawa mereka berjumpa doktor.
Antara gejala penyakit yang paling biasa untuk terjadi kepada anak adalah demam, muntah, cirit-birit, kesakitan, ruam, batuk dan sakit kepala.
Cara yang paling mudah, seandainya anda berasakan anak agak berlainan daripada biasa, ikutlah gerak hati dan naluri seorang ibu. Bawalah mereka untuk mendapatkan pemeriksaan doktor.
Mencegah adalah perkara yang terbaik daripada merawat, bukan?
Lagipun tiada ruginya untuk anda membawa anak melakukan pemeriksaan, sekurang-kurangnya kebimbangan di hati dapat diredakan.