backup og meta

Bagaimana Haiwan Peliharaan Boleh Membantu Anak Autisme?

Bagaimana Haiwan Peliharaan Boleh Membantu Anak Autisme?

Gangguan spektrum autisme (ASD) dirujuk sebagai spektrum, kerana ia mencerminkan kepelbagaian simptom dan tahap intelektual. Simptom utama autisme adalah gangguan kemahiran sosial di samping tingkah laku dan minat yang terhad dan berulang. Terdapat pelbagai jenis terapi yang digunakan untuk membantu anak autisme, antaranya ialah dengan menggunakan haiwan peliharaan. Animal Asisssted Intervention ialah terapi atau aktiviti yang melibatkan haiwan yang dianggarkan digunakan oleh sekitar 25% daripada individu dengan autisme.

Bagaimana haiwan peliharaan membantu

Terdapat beberapa sebab mengapa haiwan mungkin membantu anak autisme. Haiwan antara lain menjadi bantuan sosial bagi manusia. Kita mungkin lebih cenderung untuk bersosial apabila terdapat kehadiran haiwan. Sebagai contoh, anda mungkin tidak segan silu menegur tuan seekor hamster atau anda mungkin lebih selesa didekati jika anda sedang bersama haiwan peliharaan berbanding waktu biasa. Kesan ini dapat menangani cabaran sosial yang dihadapi oleh anak autisme dalam kehidupan seharian mereka. Sesetengah kajian mendapati bahawa kanak-kanak dengan autisme lebih berinteraksi sosial dan lebih banyak tersenyum di sekitar haiwan.

Haiwan juga mempunyai keupayaan untuk menarik perhatian. Sebagai contoh, satu kajian mendapati bahawa kanak-kanak dengan autisme didapati memandang wajah anjing lebih lama berbanding wajah manusia. Oleh itu, kewujudan haiwan boleh menjadi cara untuk menjadikan kanak-kanak autisme memberi perhatian kepada sebarang interaksi.

Selain itu, haiwan dianggap sebagai peneman yang tidak akan memandang serong kepada anda (nonjudgmental). Ciri intervensi bantuan haiwan ini amat penting untuk anak autisme, yang sering menghadapi risiko tekanan dan buli oleh rakan sebaya mereka, terutamanya pada usia persekolahan.

Kisah anak autisme dan haiwan peliharaan

Terdapat pelbagai kisah biografi yang boleh dibaca oleh para ibu bapa untuk memahami sendiri impak haiwan peliharaan atau haiwan secara amnya terhadap kehidupan anak autisme. Bahkan antara tokoh autisme yang banyak menyumbang dalam pemahaman kepada dunia autisme, Dr Temple Grandin merupakan seorang pakar dalam bidang penternakan lembu. Beliau yang menulis buku Animals in Translation kerap mengaitkan cara haiwan dan anak autisme melihat dan bertindak kepada persekitaran mereka.

When Fraser met Billy pula mengisahkan tentang seorang anak autisme bernama Fraser dengan kucingnya, Billy. Selepas lama bergelut dengan masalah tingkah laku anaknya yang tidak terkawal, ibu Fraser mengambil keputusan untuk mencuba terapi haiwan untuk memperbaiki kehidupan anaknya tanpa mengharapkan kesan yang besar.

Tanpa disangka, Billy, kucing yang diambil mereka mengubah kehidupan keluarga tersebut. Billy akan mendekati Fraser setiap kali anak autisme tersebut mengamuk atau meragam untuk menenangkannya. Perubahan dalam tingkah laku Fraser akhirnya membolehkannya memasuki sekolah awam. Satu pencapaian yang dulunya disangka mustahil kerana masalah Fraser berinteraksi sosial.

Selain kucing, anjing dan kuda juga antara haiwan peliharaan yang digunakan sebagai bantuan untuk anak autisme. A Friend Like Henry, Cowboys & Wills dan The Horse Boy adalah antara autobiografi menarik tentang anak autisme dan penggunaan intervensi bantuan haiwan yang mengubah hidup mereka.

Dalam A Friend Like Henry, contohnya, ibu bapa si anak autisme bernama Dale tersebut menggunakan anjing mereka untuk memujuk Dale bercakap. Mereka berpura-pura membuatkan seperti Henry si anjing kelihatan bercakap dengan Dale sehinggalah anak autisme mereka berjaya bercakap dan memberi respon seperti kanak-kanak normal.

Pun begitu, bantuan haiwan dalam terapi dan aktiviti anak-anak autisme bukanlah satu penawar ajaib untuk anak autisme. Sebaliknya, ia bertindak sebagai jambatan yang menghubungkan anak autisme dengan ibu bapa mereka. Ia membantu para ibu bapa membuka pintu ke dunia anak mereka yang selama ini tertutup.

[embed-health-tool-child-growth-chart]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. O’Haire, Marguerite E. ‘Animal-Assisted Intervention for Autism Spectrum Disorder: A Systematic Literature Review’. Journal of Autism and Developmental Disorders 43, no. 7 (July 2013): 1606–22. https://doi.org/10.1007/s10803-012-1707-5, Accessed Dec 2 2019.
  2. Animal-assisted therapy, https://vet.purdue.edu/chab/ohaire/autism.php, Accessed Dec 2 2019.
  3. Autism Spectrum Disorder, https://habri.org/research/child-health/autism/, Accessed Dec 2 2019.
  4. Animal Therapy For Autism: The Social, Emotional, and Physical Benefits, https://adultautismcenter.org/blog/animal-therapy-for-autism/, Accessed Dec 2 2019.
  5. DOGS, HORSES AND ASD: WHAT ARE ANIMAL-ASSISTED THERAPIES?, https://iancommunity.org/cs/articles/asds_and_animal_assisted_therapies, Accessed Dec 2 2019.

 

 

Versi Terbaru

04/07/2022

Ditulis oleh Ahmad Farid

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim

Diperbaharui oleh: Muhammad Wa'iz


Artikel Berkaitan

Kudis Api, Masalah Kulit Kanak-Kanak Yang Lebih Bahaya, Ibu Bapa Perlu Awasi Tanda Ini!

Anak Kerap Demam? Ketahui 5 Punca Utama Kenapa Si Kecil Demam Berulang!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Muhamad Firdaus Rahim

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 04/07/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan